Sunday, 14 March 2010

Genius dan Maru Malarchi

Apa gunanya saya bercerita kepada anda? Anda hanyalah sebahagian daripada kelompok manusia yang sekadar mahukan hiburan; memilih untuk membaca kisah remeh-temeh dan separa porno dalam majalah-majalah murahan yang langsung tidak mengharapkan penglibatan khalayak yang mampu menggunakan otak.
..

Saya adalah jenis sasterawan (penulis karya sastera; rujuk cerpen Sasterawan Pulau Cinta untuk penjelasan lanjut) yang tidak teragak-agak memulakan cerpen dengan intro seperti di atas.

..

Ciri-ciri narrative hook pernah saya terangkan melalui siri tulisan dalam akhbar Mingguan Wawasan pada Mac-Julai 1998. Namun, telah juga saya sebutkan bahawa ada kalanya penulis boleh melanggar syarat narrative hook dan masih mampu menarik minat pembaca.

..

Pelanggaran seperti ini sering saya lakukan dalam karya kreatif.

..

Gaya penulisan yang menggunakan teknik intro seperti ini bukanlah sesuatu yang muncul secara mendadak. Sebaliknya ia telah melalui suatu proses yang cukup panjang sebelum saya mula menulis, malah.

..

Kisah bagaimana saya melibatkan diri dalam penulisan secara amatur dan kemudian secara profesional telah saya terangkan di beberapa tempat sebelum ini. Antaranya dalam prakata kumpulan cerpen Siru Kambam (1996), semasa sesi Minggu Penulis Remaja (1997) serta dalam bengkel-bengkel penulisan yang saya kendalikan.

..

Saya memang gemar membaca dan menulis karya kreatif sejak kecil. Karya-karya saya kemudian mula tersebar di kalangan rakan-rakan Sekolah Menengah Darul Ridwan, Taiping. Guru-guru saya, khasnya Encik Mokhtar, Puan Hadebah Duseh, Puan Hasnah dan Cik Pragasam memberi galakan. Namun, cerpen-cerpen awal saya yang berbentuk juvenilia belum saya bukukan.

..

Pada peringkat sekolah dan daerah, saya terlibat secara aktif dalam pertandingan pidato, deklamasi puisi, drama, bahas dan pantun. Begitu juga dalam berpersatuan. Saya memegang jawatan-jawatan penting dalam Persatuan BAHASA MALAYSIA, Bahasa Tamil, Bahasa Inggeris serta beberapa kelab.

..

Saya terlibat sama dalam penghasilan majalah persatuan dan sekolah. Dalam persatuan, kami susun aktiviti yang ada kaitan dengan dunia penulisan kreatif. Semua ini menjadi asas kepada minat saya dalam bidang penulisan. Saya terus menulis dan menulis untuk diri sendiri, rakan-rakan dan majalah sekolah.

..

Penglibatan saya dalam bidang penulisan mula semakin terarah setelah berpeluang menemui saudara A. Rahim Abdullah sewaktu beliau memberi ceramah “Sastera Melayu Membuka Jendela Dunia” di Dewan Perbandaran Taiping pada 14 Jun 1991 sempena Pesta Buku. Saya pada waktu itu menjadi pengacara majlis Sayembara Deklamasi Sajak Peringkat Menengah Rendah.

.

Sewaktu sesi soal-jawab selepas ceramah tersebut, saya telah banyak bertanya kepada saudara A. Rahim tentang peluang yang ditawarkan oleh DBP kepada penulis remaja. Tambahan, beliau pada waktu itu terlibat dalam Skim Penggalakan DBP. Beliaulah yang telah meminta saya kirimkan manuskrip cerpen saya kepada beliau untuk diteliti dan dikomen. Beliau juga sempat menasihati, Selamat belajar dan menjadi penulis besar!

..

Lalu, dengan semangat berkobar-kobar, saya kirimkan manuskrip cerpen “Mereka Tidak Mengerti” kepada beliau. Saya telah mengharapkan agar cerpen saya dikomen dan dikembalikan. Tetapi saudara A. Rahim tidak pernah memulangkan manuskrip itu.

..

Sebaliknya, pada 26 Julai 1991, saya menerima surat jemputan menyertai MPR. Rupa-rupanya saudara A. Rahim telah mengemukakan manuskrip “Mereka Tidak Mengerti” kepada urus setia Minggu Penulis Remaja (MPR) dan editor majalah Dewan Siswa.

..

Lalu, saya dijemput menyertai MPR. Sewaktu saya menyertai MPR pada 19-23 Ogos 1991, saya merupakan peserta termuda. Muda bukan dari segi usia tetapi dari segi pengkaryaan. Atau lebih tepat lagi, dari segi kuantiti karya yang sudah tersiar dalam media massa.

..

Para peserta lain sudah banyak berkarya serta banyak tersiar dalam pelbagai media serta menang banyak pertandingan menulis. Karya saya pula sehingga itu belum pernah tersiar di mana-mana media bertaraf nasional. Salah saya juga kerana tidak mengambil inisiatif mengirimnya ke mana-mana.

..

Sepanjang MPR 1991 juga saya berpeluang mendengar ceramah Pak Arena Wati, Pak Shahnon Ahmad, Pak A. Samad Said, Pak Haji Othman Puteh dan Pak Rahman Shaari. Tidak terkecuali juga peluang mengenali Zaen Kasturi, Ahmad Patria Abdullah dan Tuan Faridah Syed Abdullah sekadar menyenaraikan beberapa nama.

..

Ahmad Patria menasihati saya, “Uthaya, versatility is an advantage. To be able to use the sword with both hands is a great gift.” Tuan Faridah pula mengingatkan, “Sekali menulis, terus menulis”.

..

Selepas itu? Saya terus menulis.

..

Selepas itu? The rest is history.

..

Memanglah segalanya tidak semudah dan semendatar yang saya ceritakan di sini. Pembinaan diri sebagai seorang sasterawan melibatkan proses yang cukup rumit dan seringkali sukar diceritakan. Mungkin kajian terhadap teks-teks yang dihasilkan oleh sasterawan terbabit boleh membantu.

..

Apa yang nyata, proses kreativiti saya telah bermula jauh sebelum saya mula menulis. Mungkin benar bahawa ada individu yang memang ditakdirkan menjadi pengarang tulen. Dan tentu ada tujuan mengapa Tuhan membuat keputusan ini.

..

Saya seorang yang pelupa; sangat pelupa. Hal ini telah saya terangkan dalam Siru Kambam. Sifat pelupa ini masih ada hikmah tersembunyi. Sekurang-kurangnya saya sendiri boleh membaca karya-karya saya berulang kali. Ada bahagian yang saya ingat dan ada bahagian yang ternyata sudah hilang dari ingatan saya!

..

Proses penulisan saya juga agak menarik atau pelik. Apabila saya ada idea untuk cerpen, saya tidak menceritakannya kepada sesiapa. Sebabnya ada saya terangkan dalam tulisan bertajuk “Penulis bukan penglipur lara” (Mingguan Malaysia, 22 Oktober 1995).

..

Saya akan mula mengumpul segala bahan yang perlu dalam menghasilkan karya yang masih mementingkan faction (fakta dan fiksyen). Apabila segalanya sudah terkumpul, kisah itu mula mengalir sendiri secara lancar dalam bentuk bertulis.

..

Proses penulisan saya melibatkan genius iaitu kehadiran suatu proses yang sering dinamakan auto suggestion, sixth sense dan seumpamanya. Namun saya lebih selesa menggunakan istilah genius.

..

Genius inilah yang berperanan mengumpul segala bahan yang saya perlukan. Apabila bahan sudah terkumpul, saya mula menulis. Apabila draf pertama siap, saya akan membacanya semula sebagai seorang sasterawan.

..

Kemudian saya akan membacanya secara kritikal sebagai seorang pengkritik. Saya akan ubah/betulkan apa yang patut dan perlu. Maka manuskrip cerpen saya sudah siap untuk dikirim ke akhbar/majalah.

..

Pada tahap ini, saya akan membaca semula manuskrip cerpen saya sebagai seorang editor; melihat sama ada manuskrip berkenaan mampu menarik minat saya (sebagai seorang editor). Tumpuan utama pada peringkat itu biasanya pada bahagian intro; beberapa perenggan awal.

..

Melalui pembacaan sebagai seorang editor, saya sudah tahu akhbar/majalah mana yang sesuai untuk menyiarkan cerpen tersebut. Lalu saya kirim. Biasanya saya dapati cerpen-cerpen saya sangat serasi dengan akhbar Mingguan Malaysia. Cik Siti Rohayah Attan cukup cekap dan cepat dalam menangkap makna-makna tersirat dalam karya-karya saya.

..

Sekadar contoh terdekat, cerpen “Cat”, “Diwali” dan “SB” mungkin kelihatan entah apa-apa bagi sekumpulan masyarakat. Namun, sebagai editor yang berilmu, Cik Siti mampu menangkap apa yang terkandung dalam cerpen-cerpen itu.

..

Memanglah ada suara-suara sumbang yang mempersoalkan mengapa cerpen-cerpen saya yang entah apa-apa sering tersiar dalam Mingguan Malaysia dan Dewan Sastera. Tetapi itu hanyalah suara-suara sumbang dan tidak perlu diendahkan.

..

Daripada penjelasan tadi, ternyata bahawa saya tidak menceritakan kisah dalam cerpen saya sebelum ia ditulis. Manuskrip yang siap juga tidak saya berikan kepada sesiapa untuk dibaca dan dikomen. Mungkin kerana genius dalam diri saya mampu melaksanakan tugas pengumpul bahan, penulis, penyunting, pengkritik dan sebagainya!

..

Apabila karya tersiar, nah! Inilah masanya untuk khalayak memberi reaksi. Cukup adil, bukan?

..

Saya tidak membelakangkan pembaca; sekurang-kurangnya pembaca yang berfikiran pro-aktif. Memanglah timbul suara-suara sumbang (sekali lagi!) setelah saya mengeluarkan kenyataan yang agak kasar dalam Dewan Sastera, Mei 1997:

..

Terus terang, minat saya untuk menulis cerpen timbul lantaran rasa mual sewaktu membaca karya-karya yang termuat dalam antologi cerpen remaja yang terbit sebelum tahun 1988. Mungkin juga saya hanya terbaca karya yang kurang bermutu. Namun, rasa mual itulah yang membuatkan saya mahu menghasilkan karya yang lebih baik daripada karya-karya yang sudah terbit itu. Maaf jika ada yang terasa.

..

Mengapa saya menulis karya yang tidak konvensional? Saya yakin bahawa hanya orang yang tahu menggunakan otak akan membaca karya saya. Jadi, saya perlu menghormati minda dan intelektualiti mereka. Saya berpegang pada ideologi bahawa penulis adalah penimbul persoalan untuk renungan pembaca. Saya mahu sentiasa menjadi sasterawan yang berani mengkritik bagi tujuan membina. Namun, bukan mudah untuk mengkritik pihak tertentu. Sebab itulah saya hasilkan karya-karya parodi yang ketara berlatarkan Siru Kambam dan Pulau Cinta.

..

Mungkin benar tidak ramai yang menggemari karya saya. Tetapi saya hanya memerlukan 10 pembaca berotak untuk membuatkan saya terus berkarya! Tidak sukar mencari 10 manusia berotak, bukan?

..

Tidak hairanlah jika dalam The Sun (28 September 1998), saya digambarkan sebagai pengarang yang ambitious, confident, and even perhaps, a little arrogant. Kesimpulan yang tidak salah.

..

Ramai juga yang bertanya, Apa perlunya karya anda disiarkan dalam akhbar kalau hanya untuk dibaca oleh sepuluh orang?

..

Saya tidak perlu menjawab kerana orang yang bertanya ternyata tidak berusaha memikirkan makna sebenar yang terkandung dalam kata-kata tersebut.

..

Ramai juga yang meluahkan rasa terkilan kerana cerpen-cerpen saya tidak ada ending; tidak ada penyelesaian kepada persoalan. Ini tidaklah menghairankan kerana ideologi saya cukup jelas: Penulis adalah penimbul persoalan untuk renungan pembaca.

..

Saya tidak mahu membaca karya-karya di mana penulis cuba mengajar pembaca bagaikan pembaca adalah golongan manusia yang tidak tahu berfikir; yakni tidak tahu menggunakan otak.

..

Sejak kecil, saya suka membaca. Malangnya tidak banyak bahan bacaan yang memenuhi selera (selera intelek) saya pada waktu itu. Keadaan sebegitu juga menjadi antara pencetus pada keinginan menulis sastera yang tidak klise. Saya tidak mahu memperbodohkan pembaca. Saya menghormati tahap mentaliti khalayak. Saya tidak mahu masyarakat terus disogokkan dengan bahan bacaan yang tidak mencabar minda.

..

Saya mahu melakukan maru malarchi kerana sebagai sebahagian daripada anggota masyarakat, saya tidak sanggup melihat masyarakat terus diperbodohkan oleh beberapa individu yang bodoh.

..

Namun tidak dapat dinafikan bahawa masih ada kumpulan yang terus selesa berada dalam kedudukan kevala yang tidak mengharapkan hijrah. Biarkan. Saya tetap menghormati tahap mentaliti dan intelektualiti mereka. Dalam Dewan Sastera (Mei 1997) telah saya huraikan ciri beberapa kelompok penulis dan beberapa kelompok pembaca.

..

Cukup jelas bahawa saya tergolong dalam kumpulan penulis yang suka bercakap tentang karya sendiri. Tetapi bukan pula dalam erti kata mengangkat bakul sendiri. Sebaliknya saya bangga dengan karya-karya saya. Saya yakini mutu karya saya. Untuk membolehkan saya mampu memperkatakan karya sendiri, tentulah saya perlu pastikan mutunya. Ini merupakan salah satu cara bagi golongan penulis karya sastera memastikan bahawa karya mereka layak diperkatakan; sama ada oleh orang lain atau oleh diri sendiri.

..

Saya juga sering menulis di akhbar dan majalah dalam usaha membimbing bakat baru sekadar yang termampu. Biasanya artikel saya bertolak dari pengalaman saya sendiri dalam bidang penulisan.

..

Antara artikel yang mungkin anda pernah (atau wajar) baca adalah “Mendekati Khalayak Remaja” (Dewan Sastera, Julai 1995 - juga dijadikan Prakata bagi Kathakali), “Penulis Tidak Kering Idea” (Mingguan Malaysia, 30 Julai 1995), dan “Antara Nama Pena dan Nama Samaran” (Mingguan Malaysia, 21 Januari 1996).

..

Begitu juga dengan siri artikel “Bertemu Sasterawan Dalam Diri” sepanjang 1996 serta siri artikel “Proses Kreativiti” yang disiarkan pada April-Disember 1997 dalam majalah Dakwah. Tidak terkecuali juga teks ucapan dalam Dewan Sastera, Mei 1997.

..

Teks saya selalunya berciri intertekstual; sama ada teks fiksyen atau non-fiksyen. Semuanya saling melengkapi; walaupun tetap mampu berdiri sendiri. Bagaikan jaring (web) yang tidak berkesudahan. Mungkin inilah antara faktor yang membuatkan sekelompok masyarakat malas membaca karya-karya saya. Mungkin sahaja.

..

Walau bagaimanapun, saya sedar bahawa saya tidak boleh memenuhi selera semua pihak. Saya perlu melakukan pemilihan yang bijak. Saya perlu tetapkan kelompok mana yang menjadi target audience saya. Apabila pemilihan sudah dibuat, senanglah untuk saya berkarya kerana saya tahu pembaca sasaran saya.

..

Perkara ini telah saya jelaskan dalam kertas kerja bertajuk Genius dan Maru Malarchi pada Seminar Kebangsaan Kesusasteraan di Malaysia anjuran Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia pada 8 November 1998.

..

Saya tidak perlu risau memikirkan apakah kelompok di luar daripada target audience ini mampu mencerna karya-karya saya. Saya tidak harus mengabaikan kelompok bermentaliti @ tahu menggunakan otak semata-mata kerana terlalu mengasihani kelompok yang malas menggunakan otak.

..

Kalau saya menghasilkan karya bodoh, memang jumlah pembaca bermentaliti rendah boleh bertambah. Pada masa yang sama, kelompok bermentaliti tinggi akan kecewa kerana karya bodoh saya memang memperbodohkan mereka. Selayaknyalah mereka beralih membaca karya bijak.

..

Kelompok bermentaliti tinggi ini tidak akan kerugian; kerana mereka cukup bijak untuk tetap setia pada karya bijak yang dihasilkan oleh penulis lain. Kelompok bermentaliti rendah juga tidak rugi apa-apa. Sebaliknya mereka beruntung kerana karya bodoh semakin bertambah. Kelompok penulis yang sudah sedia menghasilkan karya bodoh juga tidak menanggung apa-apa kerugian kerana walaupun jumlah penulis karya bodoh semakin bertambah, permintaan juga bertambah. Malah permintaan bagi karya bodoh jauh melebihi penawaran.

..

Lalu siapa yang rugi?

..

Saya.

..

Tetapi ini tidak bermakna bahawa saya menulis karya bijak kerana terpaksa. Sebaliknya adalah atas pilihan; pilihan bijak. Walaupun saya penulis, saya juga seorang pembaca. Saya tidak mahu membaca karya bodoh yang memperbodohkan pembaca. Saya memahami perasaan kelompok pembaca intelek.

..

Karya bodoh tidak akan berkurangan di pasaran. Biarkan. Peminat karya bodoh ternyata menghadapi kesukaran memahami karya bijak. Biarkan. Apa gunanya saya bercerita kepada mereka? Mereka hanyalah sebahagian daripada kelompok manusia yang sekadar mahukan hiburan memilih untuk membaca kisah remeh-temeh dan separa porno dalam majalah-majalah murahan yang langsung tidak mengharapkan penglibatan khalayak yang mampu menggunakan otak.

..

Lebih baik saya bercerita kepada anda. Anda tentu tergolong dalam kelompok yang sukakan karya bijak. Jika tidak, masakan anda sedang membaca semua ini!

..

Terima kasih. Anda termasuk dalam target audience bagi karya-karya saya.

..

..

Prakata kumpulan cerpen Sasterawan Pulau Cinta (2001) dan juga kertas kerja Seminar Kebangsaan Kesusasteraan di Malaysia anjuran Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia pada 8 November 1998.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!