11 Jun 2021

Biodata — Lingswaran Singh

Lingswaran Singh seorang peguamcara dan peguambela. Lebih dikenali dengan timangan Lings, beliau mengamalkan penulisan ras undang-undang sebagai mata pencarian profesional. Namun demikian, Lings juga percaya bahawa penulisan atau olahan kata-kata adalah antara zat-zat kebenaran mutlak yang kerap dientengkan.

10 Oktober 2016, seusia 25 tahun Lings menyedari bahawa realiti dibina atas konotasi makna, dan bahasa adalah pengaturcaraan untuk mengamati hakikat. Lings cenderung menulis perkara-perkara yang mengganggu jiwa, menuntut kejujuran mutlak dan sering mencabar kebenaran.

Lings juga menulis bersama sekutu-sekutunya secara gerila sebagai Group Diskopi. Ditubuhkan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kumpulan perbincangan kritikal tersebut kemudian menjadi wadah untuk mengasah dan melatih kepetahan mengolah aksara menjadi makna, makna menjadi senjata, dan senjata menjadi kitab.

Lings turut mengambil sedikit bangga kerana pengalaman berkhidmat sebagai setiausaha kepada Professor Dr Syed Husin Ali mengajarnya menyusun kata-kata menekuni adab budaya akademik selain cara membangunkan ucapan untuk memperkasakan masyarakat dan berbudi sesama insan. [Lihat juga — Biodata Sasterawan Kavyan]