7 Jul 2025

Contoh Biodata Penulis Malaysia

Berikut contoh biodata yang diambil daripada antologi Seruling Malam (2024).

Anuradha Chelliah lahir di Klang, Selangor pada 1978. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Methodist dan SMK Methodist, Banting sebelum melanjutkan pengajian Sarjana Muda Pembangunan Manusia di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang (2001). Seterusnya, Anuradha mendapat ijazah Sarjana Pendidikan Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (M.Ed TESL) dari universiti sama (2011). Beliau kini tinggal di Banting, Selangor dan berkhidmat sebagai guru Bahasa Inggeris di SK Sri Langat, Banting. Anuradha terlibat dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia dan Inggeris sejak tahun 2014. Karya beliau tersiar di The Star, The Malaysian Indian Anthology, Iris Magazine, Anak Sastra, Eksentrika, Dewan Budaya, dan portal Sastera Kavyan. Karya Anuradha juga termuat dalam antologi Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), dan Peluru Aksara (2020). Cerpen beliau termuat dalam antologi Meredah Kabus (2021), Serpihan Memorabilia 2020 - Suara (2021), Patah Tumbuh (2021), Kisah Musim Wabak (2021), Anekdot Peribahasa Yang Tersurat Yang Tersirat (2022), dan Siri Warisan Budaya - Teluk Belanga dan Periuk Belanga (2023).

Chia Chen Eng lahir di Muar, Johor pada 6 Mac 1974. Beliau menamatkan pengajian sarjana muda bahasa asing (Bahasa Cina) di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang dan sarjana linguistik di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur sebelum melanjutkan pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Sungai Long. Beliau kini tinggal di Petaling Jaya, Selangor dan bekerja sebagai pengurus editorial di sebuah penerbitan. Chia Chen Eng terlibat dalam bidang penulisan bahasa Cina sejak tahun 1999. Karya beliau tersiar di akhbar Sin Chew Daily dan China Press selain puisi termuat dalam antologi Membawa Banyak Beg ke Pantai: Kumpulan Puisi Kanak-Kanak Malaysia (2022) sementara cerpen dimuatkan dalam antologi Pilihan Cerpen Mikro Malaysia Kontemporari (2010). Augerah penulisan yang dimenangi termasuk hadiah utama dalam Pertandingan Hua Zong (kategori prosa), tempat kedua dalam Pertandingan Prosa Bahasa Cina Antarabangsa Singapura, serta Anugerah Khas Pilihan Cerpen Pendek dari Taiwan United Daily News.

Duola @ Lim Guat See lahir di Pulau Pinang pada tahun 1954. Beliau seorang penulis dan pelukis profesional serta pernah menerbitkan 52 buah buku. Duola merupakan penerima lebih daripada 60 anugerah sastera dari dalam dan luar negara. Sebahagian karya beliau diterjemah ke dalam pelbagai bahasa seperti Bahasa Malaysia, Inggeris, Jepun, dan Jerman. Duola juga sudah menganjurkan 26 pameran solo lukisan dan lebih daripada 60 kali pameran lukisan bersama pelukis lain. Beliau menerima anugerah DJN Negeri Pulau Pinang pada tahun 2019.

VK Ezhilarasi Velautham Krishnan lahir di Tangkak, Johor pada 20 Oktober 1967 dan belajar di Maktab Perguruan Raja Melewar, Seremban, Negeri Sembilan. Seterusnya, beliau mendapat ijazah sarjana muda pendidikan dari Universiti Putra Malaysia (UPM). Pesara guru ini tinggal di Cheras, Kuala Lumpur. Ezhilarasi suka menulis cerpen dan rencana berkaitan golongan remaja kurang bernasib baik.  Antara karya awal beliau ialah rencana di majalah Dewan Budaya (April 2016) dan cerpen di majalah Dewan Siswa (Februari 2020). Hasil karya Ezhilarasi turut termuat dalam antologi Busana Bahasa (2019) dan Landasan Hidup (2020). Beliau giat dalam aktiviti Kavyan seperti Baca di Anak Baba (September 2023), Bengkel dan Persembahan Drama Pentas Megha Duta (April-Ogos 2023), serta Bakat Seni dan Sastera Bangsa Malaysia (Disember 2023). Bengkel penulisan yang disertai termasuk Sesi Penulisan Intensif I (Disember 2018), Sesi Penulisan Intensif II (Mac 2019), Bengkel Penulisan Intensif di Taiping (Disember 2023), dan Bengkel Penulisan Intensif di Bandar Pinggiran Subang (Mac 2024). Ezhilarasi merupakan penolong setiausaha Kavyan mulai 2024.

Jeffry Solomon Victor dilahirkan di Ipoh, Perak pada 2 Mei 2002Beliau belajar di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Putra, Ipoh dan kemudian di Sekolah Menengah Kebangsaan Miharja, Kuala Lumpur sehingga lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Beliau menamatkan pengajian peringkat diploma dalam bidang sumber manusia dan kini menjadi tenaga pengajar di Dyslexia Genius Malaysia. Jeffry terlibat secara aktif dalam program anjuran Kavyan seperti Bengkel dan Persembahan Drama Pentas Megha Duta (April-Ogos 2023), Lepak Menulis Cerpen di Anak Baba (September 2023), Bakat Seni dan Sastera Bangsa Malaysia (Disember 2023), Bengkel Penulisan Intensif di Taiping (Disember 2023), dan Bengkel Penulisan Intensif di Bandar Pinggiran Subang (Mac 2024). Karya Jeffry tersiar di portal Sastera Kavyan.

Kamalah Suppiah lahir di Batu Feringghi, Pulau Pinang pada tahun 1960. Beliau mula menulis cerpen dan puisi moden Tamil pada tahun 1981 dan seterusnya menceburi bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia. Cerpen Tamil pertama tersiar di akhbar Tamil Osai pada 1981. Cerpen beliau muncul sebagai karya terbaik dalam Anugerah Sastera Datuk Athi Nagappan (1985). Novel Thimalar (1987) menang pertandingan menulis pada 1986. Novel sejarah itu kemudian menang Anugerah Buku 1988 anjuran Gabungan Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia (GAPETAM). “Tiada Penyesalan” ialah cerpen sulung Kamalah dalam Bahasa Malaysia. Cerpen itu menang tempat ketiga dalam Hadiah Cerpen Malayan Banking-DBP dan termuat dalam antologi Menara (1988) dan juga dalam antologi Hujan Emas di Negeri Orang (1989) serta Dari Pulau ke Pulau (1992). Buku persendirian Kamalah ialah kumpulan cerpen remaja Illaiyoor Kathaigal (2012), cerpen umum Yha (2021) dan koleksi esei motivasi Moodrezhutil (2023). Cerpen Bahasa Malaysia termuat dalam antologi Lakaran Diri (2022). Sepanjang penglibatan dalam dunia penulisan, Kamalan memenangi pelbagai hadiah dan pengiktirafan.

Lai Choy @ Lai Yoke Choy lahir di Kuala Lumpur pada 15 Disember 1941. Beliau mendapat pendidikan di beberapa sekolah rendah dan menengah berpengantar bahasa Cina di Kuala Lumpur sebelum mengikuti latihan perguruan di Maktab Perguruan Harian, Jalan Kuantan, Kuala Lumpur. Lai Choy berkhidmat sebagai tenaga pengajar di sekolah rendah, menengah, dan tinggi aliran Cina selama 36 tahun sebelum bersara dan kini tinggal di Kepong, Kuala Lumpur. Beliau terlibat dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia dan Cina sejak usia remaja. Selain media bahasa Cina, karya Lai Choy turut tersiar di akhbar Utusan Malaysia, Mastika, Dewan Sastera, Dewan Siswa, Dewan Masyarakat, dan Dewan Budaya. Buku persendirian beliau ialah Migrasi ke Selatan (1997), Menjejaki Sastera Melayu (2015), Kepingan Mozek (2016), dan Ada Padang Ada Belalang (2024). Lai Choy juga menghasilkan lebih daripada 50 jenis kamus ekabahasa dan dwibahasa. Anugerah penulisan yang dimenangi termasuk Anugerah Kesusasteraan Mahua pada tahun 2018. Beliau turut menyerlah dalam bidang pendidikan dan menerima Anugerah Kecemerlangan Perkhidmatan Pendidikan daripada Jabatan Pendidikan Kuala Lumpur pada tahun 1993.

Liumx @ Liew Meng Seng lahir di Kuala Lumpur pada tahun 1974. Beliau menerima pendidikan di SJKC Mun Choong, SM Raja Abdullah dan SM Maxwell di Kuala Lumpur sebelum melanjutkan pengajian sarjana muda kejuruteraan di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan sarjana sastera di Universiti Zhejiang, China. Liumx seorang penulis dan penterjemah bebas serta pernah bekerja sebagai jurutera kilang pendingin hawa kereta dan pemandu lori. Beliau menterjemah dua cerpen Duola untuk projek antologi ini.

M. Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang pada 28 Disember 1968. Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Sulaiman, Bentong dan Akademi Semantan, Temerloh. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Cerpen Mahendran termuat dalam antologi seperti Menara (1988), Menara 4 (1991), Tanpa Mengira Warna (1993), Vanakam (2002), Segugus Aksara Sealur Kasih (2003), Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), Peluru Akasara (2020), dan Lakaran Diri (2022). Kumpulan cerpen Mimpi dan Impian (2013) merupakan terjemahan dalam Bahasa Malaysia yang dilakukan oleh beliau untuk penulis veteran Tamil, mendiang M. Ramaiah. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung Mahendran dalam Bahasa Malaysia manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen Tamil. Karya beliau mendapat pengiktirafan menerusi Hadiah Cerpen Malayan Banking-DBP (1988, 1991) dan Hadiah Cerpen Pelbagai Kaum DBP (2003). Mahendran salah seorang pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada tahun 1999 dan beliau dilantik memegang jawatan pengerusi pada tahun 2023.

Malini Lakshmi Bai lahir di Kuala Lumpur pada 31 Julai 1992. Beliau mendapat pendidikan rendah di SK Taman Segar, Cheras, pendidikan menengah di SMK (P) Perempuan Pudu, Pudu dan pendidikan tingkatan enam di SMK Cochrane, Cheras sebelum mengikuti pengajian sarjana muda bahasa dan linguistik Inggeris di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Kampar, Perak. Malini juga berkelulusan dalam Program Latihan Perguruan Buddha-Dhamma yang dikendalikan oleh Sekolah Ti-Ratana Sukha Dhamma. Beliau meminati bidang kesusasteraan sejak di bangku sekolah. Pada tahun 2009, Malini mewakili sekolah dan daerah dalam beberapa forum pelajar, pertandingan debat, dan syarahan. Beliau kini tinggal di Cheras, Kuala Lumpur dan bekerja sebagai guru Bahasa Malaysia dan Inggeris di Valley International School, Brickfields. Malini juga menggalas jawatan bendahari dalam Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).  Beliau terlibat dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia dan Inggeris sejak tahun 2021. Hasil karya Bahasa Malaysia tersiar di portal Sastera Kavyan selain termuat dalam antologi Lakaran Diri (2022), manakala karya bahasa Inggeris disiarkan di laman Eksentrika.

Thivyajayanthi Nair lahir di Seremban, Negeri Sembilan pada 1 November 1997. Beliau belajar di Kolej Matrikulasi Johor. Seterusnya, beliau mendapat ijazah sarjana muda teknologi maklumat dari Universiti Teknikal Malaysia (UTeM), Melaka. Thivya kini tinggal di Cheras, Kuala Lumpur dan mengajar tuisyen, serta meneruskan pengajian ijazah kedua dalam bidang psikologi. Antara karya awal Thivya ialah cerpen bagi pertandingan menulis cerpen peringkat negeri Johor (2013). Beliau memenangi tempat keempat dalam pertandingan menulis cerpen bahasa Tamil anjuran Koperasi Permodalan Tanah NLFCS (2014). Thivya bergiat aktif dalam program anjuran Kavyan seperti Lepak Menulis Rencana di Anak Baba (Oktober 2023), Bengkel dan Persembahan Drama Megha Duta (April-Ogos 2023), Bakat Seni dan Sastera Bangsa Malaysia (Disember 2023), Bengkel Penulisan Intensif di Taiping (Disember 2023), dan Bengkel Penulisan Intensif di Bandar Pinggiran Subang (Mac 2024).

Uthaya Sankar SB lahir di Taiping, Perak pada 10 Jun 1972. Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Darul Ridwan dan Sekolah Menengah King Edward VII, Taiping sebelum mengikuti pengajian sarjana muda dan sarjana sastera di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Uthaya kini tinggal di Shah Alam, Selangor dan merupakan penulis sepenuh masa. Beliau terlibat dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia sejak tahun 1992. Karya Uthaya tersiar di pelbagai akhbar, majalah, dan portal dalam talian selain termuat dalam puluhan antologi sejak tahun 1993. Antara buku persendirian beliau ialah Orang Dimensi (1994), Kisah Dari Siru Kambam (2013), Bhagavad Gita (2021), The Painted Cat (2023), dan Dewi Pertiwi (2024). Anugerah yang diterima termasuk Hadiah Sastera Siswa-Bank Rakyat (1992), Hadiah Cerpen Maybank-DBP (1992, 1993, 1996), Hadiah Sastera Perdana Malaysia (1996/97, 1998/99), Anugerah Duta Keamanan (2008), dan Anugerah Tokoh Saraswati (2023).  Uthaya turut mengendalikan bengkel penulisan, kempen galakan membaca, dan projek komuniti di seluruh negara sejak 1994.

Dapatkan maklumat terperinci mengenai penulis kaum India dalam buku Kavya Sastra (2021).