9 Jan 2010

SN untuk Dr Lim Swee Tin

Berikut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Uthaya Sankar SB pada 25 Jun 2009:
.
Pada 24 Jun 2009, saya secara serius memulakan usaha mencalonkan Prof Madya Dr Lim Swee Tin sebagai penerima Anugerah Sastera Negara yang membawa gelaran “Sasterawan Negara”.
.
Maklumat berhubung syarat dan prosedur pencalonan sudah saya peroleh dari Bahagian Pengembangan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 24 Jun 2009 bagi memudahkan urusan menyediakan laporan penilaian.
.
Bagi saya, keputusan untuk mencalonkan Dr Lim Swee Tin tidak ada apa-apa kaitan dengan “kaum”, “agama”, “jantina” dan sebagainya.
.
Sebaliknya, Dr Lim Swee Tin mahu dicalonkan kerana beliau layak dan memenuhi syarat untuk menerima Anugerah Sastera Negara.
.
Pada pandangan saya, adalah tidak adil dan suatu bentuk diskriminasi jika individu yang layak, tidak dicalonkan.
.
Anugerah Sastera Negara dikurniakan oleh Kerajaan Malaysia kepada sasterawan yang menulis dalam Bahasa Kebangsaan dan menurut pendapat panel telah memberikan sumbangan yang cemerlang dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan yang bermutu tinggi.
.
“Sasterawan” bererti penulis yang menghasilkan karya dalam Bahasa Kebangsaan seperti novel, cerpen, drama, puisi dan lain-lain. (Karangan mengenai sastera yang mendorong ke arah pembinaan dan pengembangan Sastera Kebangsaan dianggap sebagai unsur tambahan kepada darjat sasterawan.)
.
“Panel” bererti badan penilai yang anggotanya dilantik oleh Perdana Menteri Malaysia daripada kalangan cerdik pandai kesusasteraan, kebudayaan, kemasyarakatan, keagamaan dan lain-lain yang mengikut serta memahami perkembangan dan kemajuan sastera.
.
“Ciptaan yang bermutu tinggi” bererti ciptaan sastera dalam Bahasa Kebangsaan yang berjaya mengungkapkan ketinggian nilai isi dan mutu teknik sebagai hasil seni yang bermanfaat kepada pengalaman, perkembangan intelek, pembentukan kebudayaan kebangsaan dan kepada ketinggian martabat manusia.
.
Antara tugas dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dalam usaha mencalonkan Dr Lim Swee Tin sebagai penerima Anugerah Sastera Negara adalah (antaranya):
.
1) Mengemukakan pencalonan berdasarkan format yang disediakan oleh Urus Setia.
.
2) Mengemukakan hujah secara bertulis berdasarkan: (a) penilaian tentang karya sastera calon, (b) penilaian tentang sumbangan fikiran calon tersebut yang berkaitan dengan dunia sastera, (c) penilaian yang saksama tentang kegiatan calon yang mendorong ke arah pembinaan dan pengembangan sastera kebangsaan.
.
Bagi memudahkan urusan menyediakan Laporan Penilaian Calon, saya mengharapkan kerjasama dan sumbangan daripada semua pihak yang turut menyokong usaha mencalonkan Dr Lim Swee Tin sebagai Sasterawan Negara.
.
Senarai “keperluan” berikut akan ditambah dari semasa ke semasa.
.
1) Senarai puisi oleh Dr Lim Swee Tin.
2) Senarai cerpen oleh Dr Lim Swee Tin.
3) Senarai artikel/makalah oleh Dr Lim Swee Tin di akhbar.

4) Senarai artikel oleh Dr Lim Swee Tin di majalah.
5) Senarai kertas kerja yang dibentangkan oleh Dr Lim Swee Tin.
6) Senarai bengkel penulisan yang dikendalikan oleh Dr Lim Swee Tin.
7) Senarai puisi Dr Lim Swee Tin yang diterjemah ke bahasa-bahasa lain: misalnya Mandarin, Inggeris.
8) Senarai cerpen Dr Lim Swee Tin yang diterjemah ke bahasa-bahasa lain.
9) Senarai tulisan orang lain (pengkaji/pengkritik dll) mengenai puisi-puisi Dr Lim Swee Tin di akhbar dan majalah pelbagai bahasa.
10)Senarai tulisan orang lain mengenai cerpen-cerpen Dr Lim Swee Tin di akhbar dan majalah pelbagai bahasa.
11)Senarai tulisan orang lain mengenai Dr Lim Swee Tin.
12)Senarai kajian ilmiah (peringkat sarjana muda) yang dibuat mengenai karya-karya Dr Lim Swee Tin.
13)Senarai kajian ilmiah (peringkat sarjana) yang dibuat mengenai karya-karya Dr Lim Swee Tin.
14)Senarai kajian ilmiah (peringkat kedoktoran) yang dibuat mengenai karya-karya Dr Lim Swee Tin.
15)Biodata lengkap Dr Lim Swee Tin (sejak lahir hingga kini).
16)Bengkel penulisan yang dikendalikan oleh Dr Lim Swee Tin.
17)Buku-buku mengenai panduan penulisan yang dihasilkan oleh Dr Lim Swee Tin.
18)Senarai kajian ilmiah di universiti di mana Dr Lim Swee Tin menjadi penyelia.
19)Senarai hadiah dan anugerah yang dimenangi.
20)Senarai lengkap buku yang dihasilkan oleh Dr Lim Swee Tin (puisi, cerpen, esei dll).
21)Senarai buku yang diselenggarakan oleh Dr Lim Swee Tin.
22)Senarai kajian di negara luar mengenai Dr Lim Swee Tin dan karya beliau.
23)Senarai liputan di media (bercetak dan elektronik) mengenai Dr Lim Swee Tin dan aktiviti yang beliau sertai.
24)Senarai acara baca puisi yang disertai oleh Dr Lim Swee Tin.
25)Senarai penulis yang pernah menerima bimbingan Dr Lim Swee Tin.
26)Senarai majlis/acara yang diadakan khusus untuk membincangkan karya-karya Dr Lim Swee Tin.
27)Senarai majlis/acara yang diadakan khusus untuk meraikan karya Dr Lim Swee Tin: misalnya Baca Puisi Lim Swee Tin, Bicara Karya Lim Swee Tin, Majlis Pelancaran Buku Lim Swee Tin.
28)Senarai karya Dr Lim Swee Tin yang dijadikan teks di sekolah & pusat pengajian tinggi; sama ada teks wajib atau bacaan tambahan (termasuk petikan puisi dalam soalan peperiksaan dan buku latihan).
29)Senarai sebarang bahan yang ada kaitan secara langsung atau tidak langsung dengan Dr Lim Swee Tin. Misalnya esei mengenai “Penulis Bukan Melayu”, “Penulis Kaum Cina” dan “Penulis Pelbagai Kaum”.
30)Mana-mana pihak yang pernah mengundang Dr Lim swee Tin ke acara sastera diharap dapat memberikan maklumat acara.
31)Mana-mana pihak (pengkaji, pelajar dll) yang pernah/sedang membuat kajian mengnai karya-karya Dr Lim Swee Tin diharap dapat memberikan maklumat/topik kajian.
.
Segala maklumat bolehlah dikirim kepada saya melalui e-mel uthayasb@yahoo.com.my atau menghubungi talian 012-3368142. [Nota - nombor mulai 17 Mac 2010: 016-3288142]
.
Saya juga bercadang membuat kajian bahan di beberapa perpustakaan utama, selain menghubungi pengkaji sastera untuk mendapatkan bahan-bahan yang perlu.
.
Arkib Negara, Perpustakaan Negara Malaysia, Perpustakaan Universiti Malaya, Pusat Dokumentasi DBP, Universiti Putra Malaysia
.
Dan tentu sahaja saya akan mendapatkan bantuan daripada Dr Lim Swee Tin dan keluarga beliau bagi memudahkan urusan mendapatkan segala bahan yang diperlukan.
.
Laman CITRA KURNIA dan ruang siber juga menjadi sumber rujukan.
.
Sesiapa yang mahu membantu secara sukarela amatlah dialu-alukan. Khususnya mahasiswa dan tenaga pengajar yang memang sedang membuat kajian mengenai apa-apa perkara yang ada hubung kait dengan Dr Lim Swee Tin.
.
Komunikasi boleh sahaja dijalankan melalui telefon, e-mel, YM dan Facebook.
.
Sokonglah usaha mencalonkan Dr Lim Swee Tin bagi Anugerah Sastera Negara.
.
Kitalah yang harus melakukan perubahan yang mahu kita saksikan di dunia ini; seperti kata Mahatma Gandhi.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!