31 Jan 2010

Aadum Koothu

“Annei annei aadum kootei
Naade seitai ennai”
.

Bertolak daripada rangkap sajak Subramaniam Barathi, filem “Aadum Koothu” (skrip dan arahan T.V. Chandran) menjanjikan pengalaman yang benar-benar berbeza sejak babak pertama; apatah lagi apabila membabitkan pelakon Cheran yang sedia dikenal sebagai artis yang memilih tema yang lain aripada yang lain.

.

Saya berpeluang menonton filem Tamil ini pada 21 Mei 2009. Catatan ini dibuat pada 22 Mei 2009.

.

[SPOILER ALERT]

.

Watak Manimegalai (lakonan Navya Nair) juga berjaya meniupkan imej positif bagi pelakon wanita kerana filem ini – sebagaimana filem “Naan Kadavul” – memberi keutamaan pada kemampuan berlakon artis wanita.

.

Manimegalai yang banyak membaca karya fiksyen Bahasa Tamil dikatakan suka berkhayal. Apatah lagi setelah menerima gelang tangan pemberian bakal suaminya; di mana gelang itu kononnya menyimpan “rahsia” filem-filem Tamil zaman hitam-putih.

.

Penonton dibawa untuk turut mencari-cari dan tercari-cari batas antara realiti dan fiksyen (ingat cerpen “Rudra Avatara”?) apabila Manimegalai yang berusia 19 tahun boleh melihat suatu insiden yang berlaku pada masa silam – membabitkan sepasang penari kampung (“koothaadi”) dan seorang zamindar.

.

Imej hitam-putih tanpa dialog dan kemudian bertukar ke imej warna berterusan sehingga akhirnya memaksa Manimegalai berusaha mencari puncanya. Apatah lagi, penari wanita bernama Valliamma dalam imaginasinya itu adalah dirinya sendiri yang dibotakkan kepala oleh zamindar yang zalim.

.

Manimegalai dan bakal suaminya pergi berjumpa seorang bekas guru (lakonan Prakash Raj). Lalu, kita (sebagaimana Manimegalai) mendapat tahu bahawa apa yang hadir dalam imaginasi Manimegalai adalah penggambaran sebuah filem pada tahun 1975 di mana Cheran menjadi pengarah dan pelakon utama, pelakon wanita bernama Prabha Menon (lakonan Navya Nair juga) memegang watak Valliamma, dan watak guru (lakonan Prakash Raj) memegang watak zamindar.

.

Prabha Menon bersetuju untuk benar-benar membotakkan kepala bagi memberi kesan “realiti” pada watak Valliamma lakonannya. Malangnya, pengambaran terhenti selepas babak membotakkan kepala itu, berikutan ugutan daripada anak kepada zamindar yang terlibat melakukan penganiayaan sebenar terhadap Valliamma suatu masa dahulu.

.

Bagi Prabha Menon, pembatalan filem itu adalah “suatu kehilangan bagi pengorbanannya”.

.

Bagi watak pengarah filem lakonan Cheran, dia sebenarnya telah berusaha menghasilkan filem berdasarkan kisah benar kezaliman zamindar yang pernah dilihatnya sendiri semasa kanak-kanak.

.

Seperti katanya, dia mahu “melakukan di layar perak apa yang tidak mampu dilakukannya dalam realiti” – iaitu memberi “keadilan” kepada penduduk yang tertindas oleh zamindar.

.

Namun, selepas segala apa yang berlaku, pemuda itu memutuskan untuk “melakukan dalam realiti apa yang tidak mampu dilakukannya di layar perak” – menghukum zamindar yang menindas penduduk.

.

Latar, suasana dan keadaan politik semasa pada tahun pertengahan 1970-an di India memberi kesan “realiti” pada apa yang berlaku dalam filem ini.

.

Watak Manimegalai yang lahir pada tahun 1985 pula seterusnya mendapat ilham selepas Prakash Raj membawanya ke pusara Cheran; dan pada batu nesan tertera petikan sajak Subramaniam Barathi:

.

“Annei annei aadum kootei

Naade seitai ennai”
.

Manimegalai berusaha mencari penari kampung (“koothaadi”) bernama Valliamma yang pernah benar-benar dibotakkan kepalanya oleh seorang zamindar.

.

Dan kita berpeluang melihat Manorama sebagai Valliamma yang sudah tua. …

.

“Annei annei aadum kootei

Naade seitai ennai”
.

Selamat datang ke dunia filem Tamil bermutu yang merangsang minda!

.

Sila KLIK DI SINI untuk senarai “Filem Tamil Wajib Tonton” (2000-2009).

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!