10 Sept 2011

Kenapa Rohani buat laporan polis?

“Saya rasa dianiaya penerbit. Bukan sahaja tidak mahu bayar royalti, malah mungkin menipu Kementerian Pelajaran Malaysia dengan surat izin palsu. Saya hanya tahu cerpen saya jadi teks Komsas apabila dimaklumkan beberapa pelajar. Apabila saya tanya penerbit, dia kata, saya dah tak ada hak atas cerpen dan novel itu. Saya amat berharap karya saya dijadikan teks Komsas dan saya menerima royalti yang sepatutnya saya terima secara sah menerusi teks Komsas ini. Saya juga berharap tidak ada sesiapa menganiaya atau mengambil kesempatan terhadap saya.” – Rohani Deraman, Johor Bahru, Johor.

Maklumat:


Cerpen “Warkah Daripada Ibu” karya Rohani Deraman diterbitkan oleh Penerbit Mega Setia Emas Sdn Bhd pada 2001. Kemudian diterbitkan semula oleh Edu Quest Publisher. Kini cerpen itu diterbitkan dalam antologi Gema Sepi Gadis Genius (DBP: 2010) dan digunakan sebagai teks Komsas Tingkatan Dua. Malangnya, Penerbit Mega Setia Emas Sdn Bhd dan Edu Quest Publisher tidak mahu membayar royalti walau satu sen kepada penulis.


Novel Cempaka Putih Untukmu karya Rohani Deraman diterbitkan oleh Penerbit Mega Setia Emas Sdn Bhd pada 2001. Kini novel itu diterbitkan oleh Nur-Ilmu dengan judul Cempaka Putih Untukmu dan digunakan sebagai teks Komsas Tingkatan Tiga di Johor, Sabah, Sarawak dan Labuan. Malangnya, Penerbit Mega Setia Emas Sdn Bhd dan Nur-Ilmu Sdn Bhd tidak mahu membayar royalti walau satu sen kepada penulis.