24 Apr 2010

Nayagi

Uthaya Sankar SB, “Nayagi” dalam Siru Kambam (KL: DBP, 1996), hlm. 82-98.
..
Madhavi berumur 16 tahun. Dia tinggal bersama emak dan seorang adik perempuan. Kakaknya Malathi sudah berkahwin. Walaupun masih berusia muda, Madhavi mengasuh kanak-kanak lelaki bernama Hari Kumar. Malah, anak yang tidak beribu itu cukup rapat dengan Madhavi dan tidak mahu berenggang dengannya.
.
Hari Kumar ialah anak bongsu kepada Ravi Kumar yang berumur 32 tahun. Anak sulung bernama Vijay Kumar, 17 tahun. Pertalian keluarga Madhavi amat kompleks. Misalnya, nenek Madhavi (Laxmi) ialah kakak kepada Senggoda Kurunadhar. Anak-anak Laxmi bernama Ravi Kumar, Siva Kumar dan Abhirami. Senggoda Kurunathar telah berkahwin dengan Abhirami iaitu anak kepada kakaknya. Ini memang amalan tradisi dalam budaya India.
.
Anak-anak kepada pasangan Senggoda Kurunathar dan Abhirami ialah Malathi, Madhavi dan Pallavi. Kemudian, Ravi Kumar sepatutnya berkahwin dengan Malathi iaitu anak kepada kakaknya. Walau bagaimanapun. Ravi Kumar berkeras untuk berkahwin dengan kekasihnya, Chellama yang sudah pun mengandungkan Vijay Kumar. Akhirnya Malathi dikahwini Siva Kumar.
.
Sementara itu, Chellama pula meninggal dunia semasa melahirkan anak ketiga iaitu Hari Kumar. Lalu Madhavi mengasuhnya dengan penuh kasih sayang seperti seorang ibu. Pada masa yang sama, Madhavi menaruh hati kepada Vijay Kumar, abang kepada Hari Kumar. Pemuda itu memiliki semangat nasionalisme Tanah Melayu yang cukup kuat dan kental. Selain berpendidikan, Vijay Kumar juga menyokong usaha meningkatkan taraf wanita dalam masyarakat. Dia percaya bahawa golongan wanita @ ibu menjadi titik mula kepada kelahiran warga berjiwa merdeka.
.
Dalam pada itu, Ravi Kumar juga menaruh hati terhadap Madhavi. Dia sebenarnya ingin menikmati hidup berkelamin selepas kematian isterinya, Chellama. Walau bagaimanapun, dia memberi alasan kononnya dia bukan mahu mengahwini Madhavi untuk kepuasan badan. Sebaliknya untuk menjadikan Madhavi ibu kepada Hari Kumar.
.
Laxmi dan Abhirami menerima baik cadangan Ravi Kumar. Mereka menganggap langkah itu amat wajar memandangkan sepatutnya Ravi Kumar dulu berkahwin dengan Malathi, kakak Madhavi. Jadi ini peluang baik untuk mengeratkan semula hubungan kekeluargaan. Dengan itu, segala persiapan dibuat untuk majlis peminangan.
.
Pada mulanya, apabila Ravi Kumar memberitahu bahawa dia akan datang ke rumah untuk meminang Madhavi, gadis itu benar-benar yakin bahawa dia sebenarnya akan dijodohkan dengan Vijay Kumar. Dia mula membayangkan betapa indahnya hidup bersama Vijay Kumar yang dicintainya dalam diam.
.
Bagaimanapun, segala mimpi indah dan harapan yang menggunung musnah sebaik sahaja Madhavi mengetahui siapakah bakal pengantin lelaki. Namun begitu, gadis itu tidak mudah menyerah. Dia menentang keputusan emak dan neneknya. Ini bermakna dia sekali gus menentang amalan tradisi.
.
Abhirami cuba memujuk Madhavi dengan mengatakan bahawa Ravi Kumar tidak berniat jahat. Tambahan pula, ketiga-tiga anak Abhirami adalah perempuan belaka. Apabila Ravi Kumar tidak mengharapkan mas kahwin (dowri), Abhirami menerima sahaja permintaan lelaki itu untuk memperisterikan Madhavi.
.
Madhavi dengan tegas mengatakan bahawa dia masih sanggup menjaga Hari Kumar sebagai seorang ibu tanpa perlu berkahwin dengan Ravi Kumar. Maka timbullah perbalahan dan pertelingkahan mulut antara Madhavi dengan Abhirami dan Laxmi. Pelbagai cara digunakan untuk memujuk – malah memaksa – Madhavi menerima Ravi Kumar sebagai suami.
.
Di tengah suasana yang tegang, Madhavi mendedahkan pula bahawa dia mahu berkahwin dengan Vijay Kumar, anak sulung Ravi Kumar. Kenyataan itu merupakan tamparan hebat kepada Abhirami dan Laxmi. Mereka menentang pilihan Madhavi. Malah akhirnya mereka memberitahu Madhavi bahawa jika dia sayangkan Hari Kumar serta mahu menjaga nama baik keluarga, dia perlu menerima Ravi Kumar sebagai suami. Sebaliknya, jika dia memilih Vijay Kumar, keputusan itu bermakna dia tidak boleh menjaga Hari Kumar dan dianggap telah mencemar maruah keluarga.
.
Madhavi mengalami dilema yang cukup hebat. Dia terperangkap antara Abhirami, Laxmi, Ravi Kumar, Vijay Kumar dan hatinya sendiri. Namun akhirnya, benar-benar di luar jangkaan emak dan neneknya, Madhavi mendukung Hari Kumar dan dengan berani mengumumkan bahawa kanak-kanak itu ialah adik iparnya. Ini bermakna, Madhavi kekal dengan keputusan untuk memilih Vijay Kumar sebagai pasangan hidup.
..
Maklumat yang dipaparkan adalah petikan Bab Tiga tesis Uthaya Sankar SB bertajuk Imej Wanita Kaum India Dalam Cerpen Bahasa Malaysia (Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya: 1998). Cerpen ini boleh dibaca dalam buku Kisah dari Siru Kambam (2013).

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!