28 Sept 2010

Sekolah Menengah Darul Ridwan (SMDR), Taiping

Berilmu Berbakti, Itu cogan kata
Berjasa Berbudi, Itulah amalan kita
Usaha Berdikari, Tabah dan setia
Berbakti Berbudi, Untuk bangsa dan negara
Tetap berjaya berjasa, Bersopan dan berbudi
Biarlah maju dipuja, Berilmu dan berbakti
Maju dan berjasa, Tetap berkekalan
Disanjung dipuja, Sekolah Darul Ridwan
.
Sekolah Menengah Rendah Laki-laki Taiping ditubuhkan pada 11 Januari 1965 dengan 8 kelas, 371 pelajar dan 15 guru. Pada masa itu, sekolah ini tidak mempunyai bangunan sendiri dan terpaksa menumpang di Sekolah Menengah St George, Taiping. Pengetua pertama bagi sekolah ini ialah Encik Lee Swee Keng.
.
Pada tahun 1966, pelajar sekolah ini bertambah kepada 564 orang dan 27 guru. Pelajar sekolah ini menumpang pula di Sekolah Kebangsaan Taiping dan SRJK (C) Aulong. Maka Pengetua terpaksa bergerak dari sebuah sekolah ke sebuah sekolah lain untuk memungut yuran dan menguruskan hal-hal lain berhubung pentadbiran sekolah.
.
Pada tahun 1967, sekolah ini mempunyai 743 pelajar dan 31 guru. Pejabat sekolah masih di Sekolah Menengah St George, Taiping. Kelas sidang petang pula diadakan di SRJK (C) Phui Choy, Kamunting dan Sekolah All Saints, Kamunting.
.
Pada tahun 1968, terdapat 939 pelajar dan 31 guru. Bangunan sekolah ini yang didirikan di Jalan Thomson (kini Jalan Izuddin Shah) hampir siap. Walau bagaimanapun, sekolah ini masih menumpang selama dua penggal pada tahun 1968 di SRJK (C) Phui Choy dan Sekolah All Saints, Kamunting. Kelas-kelas di Sekolah Menengah St George dipindahkan ke bangunan DTC di SRK King Edward VII, Taiping. Pada penggal ketiga, barulah kelas-kelas yang bertaburan itu kesemuanya dipindahkan ke bangunan sekolah yang sudah siap dibina.
.
Bangunan sekolah yang baru itu terdiri daripada dua blok (Blok A dan Blok B) serta sebuah kantin. Semuanya dibina di atas kawasan paya yang telah ditebus guna. Beberapa projek gotong-royong diadakan untuk menyiapkan padang dan kawasan sekolah.
.
Pada tahun 1974, bangunan Blok C mula digunakan.
.
Pada 1 Februari 1978, nama sekolah ditukar secara rasmi daripada Sekolah Menengah Rendah Laki-laki Taiping kepada Sekolah Menengah Darul Ridwan (SMDR), Taiping.
.
Pada tahun 1980, bangunan Blok D dan bangunan bengkel seni perusahaan pula mula digunakan.
.
Pelajar SMDR mula mengambil Peperiksaan LCE pada tahun 1968 dan MCE pada tahun 1970. Calon MCE hanya daripada aliran Sastera. Hanya pada tahun 1983, sekolah ini mula mengeluarkan pelajar lepasan SPM aliran Sains.
.
Pada tahun 1985, kumpulan pertama pelajar perempuan masuk Tingkatan Satu dan pada 1988, SMDR ditingkatkan ke Gred A, lalu Encik K Balasubramaniam menjadi pengetua pada 1989 menggantikan Encik Salleh Mohd Husein.
.
Pada tahun 1990, satu blok bangunan lapan bilik dicadangkan untuk mata pelajaran Kemahiran Hidup.
.
Pada tahun 1990 juga, SMDR menyambut Jubli Perak sempena ulang tahun ke-25.
.
“Sejak melangkah ke sekolah ini, saya telah diberi peluang untuk mengasah bakat yang terpendam di dalam diri saya. Ia ditambah dengan asuhan dan tunjuk ajar daripada guru-guru berpengalaman seperti Encik Mokhtar, Puan Hadebah dan Cik Pragasam. Penglibatan dalam arena pidato, cerpen, sajak dan drama adalah sesuatu yang tidak pernah saya duga sebelum menjadi pelajar sekolah ini. Akhir kata, diharap SMDR akan terus menjadi medan untuk mengembangkan bakat anak-anak Panther dalam segala bidang. Semoga SMDR terus berjaya!” – Uthaya Sankar SB dalam majalah SEDAR sempena ulang tahun ke-25 SMDR pada 1990.
.
“SMDR sesungguhnya telah banyak memberi pengalaman dalam hidup saya sebagai seorang pengurus pendidikan. Tetapi apa yang sangat menarik, SMDR mempunyai potensi yang mudah diurus. Kerjasama para sahabat guru, kakitangan, ibu bapa dan pelajar sangat mengagumkan. Semangat inginkan kejayaan ada di mana-mana. Untuk itu, saya sangat yakin SMDR akan terus berjaya insya-Allah akan terkemuka namanya suatu hari nanti.” – Encik Salleh b Mohd Husein PPT (Pengetua SMDR dari 15 Mac 1983 hingga 31 Disember 1988)
.
Maklumat di atas diambil daripada majalah SEDAR 1990.
.
Biarlah semangat Panther terus membara! Bekas pelajar dan guru SMDR diundang menghadiri Sarapan di Taiping yang dijadualkan pada 7 November 2010.

Lihat juga: Persatuan Bekas Pelajar Kaum India SMDR.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!