16 Jun 2019

Biodata — M. Mahendran

M. Mahendran @ M. Prabhu Bentong atau nama penuhnya Mahendran a/l Mathavarayan dilahirkan di Bentong, Pahang pada 28 Disember 1968. Bapanya Mathavarayan @ S. Mathavan bekerja sebagai kerani di National Union of Plantation Wokers (NUPW) di Bentong manakala ibunya Ambiga Arumugam bekerja sebagai guru di SRJK(T) Felda Lurah Bilut, Bentong ketika itu. Mahendran yang tidak pernah ke tadika, mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Sulaiman (1975-1980). Kemudian mendapat pendidikan menengah di Sekolah Menengah Rendah Jenis Kebangsaan, Ketari (1981-1983), Sekolah Menengah Sulaiman, Bentong (1984-1985) dan menyambung tingkatan enamnya di Akademi Semantan, Temerloh (1986-1987). Beliau pernah bertugas sebagai guru sementara di SRJK(T) Ladang Mentakab (1990) dan SRJK(T) Sungei Tekal (1991-1992) di Pahang dan meneruskan pekerjaannya dalam bidang peruncitan sehingga 2023.

Mahendran mula berkecimpung dalam bidang penulisan sejak sekolah rendah lagi. Dengan galakan ibu bapa, Mahendran mula menulis karangan pendek ke majalah tahunan sekolah (SUPRIMA) ketika berusia sembilan tahun (1977) dalam bahasa Inggeris dan Tamil. Semasa di Sekolah Menengah Sulaiman beliau menulis sebuah artikel Bahasa Malaysia untuk majalah sekolah. Mahendran terdorong untuk menulis dengan melihat kegiatan bapanya, mendiang S. Mathavan sering menulis artikel-artikel pendek ke majalah Indian Movie News pada penghujung 50-an hingga awal 70-an. Begitu juga dengan ibu saudaranya mendiang Puan Saratha Kannan,  banyak menulis cerpen dan skrip drama ke Radio Malaysia Rangkaian Merah dan ke akhbar dan majalah Tamil. Abang Mahendran, Mad Sentul (M. Mahesvaran) juga menulis ke ruangan surat pembaca, ruangan soal jawab dan menghasilkan kartun sejak awal 1980-an ke akhbar dan majalah Tamil. 

Ketika umurnya 16 tahun pada tahun 1984 Mahendran banyak menulis ke ruangan surat kepada editor, ruangan soal jawab bersama editor dan karangan-karangan pendek ke akhbar dan majalah Tamil. Semasa di tingkatan enam atas (1987), beliau bersama persatuannya, Gabungan Pelajar Tingkatan Enam Bawah dan Enam Atas (GAPETAS) menghasilkan majalah berkala dalam bentuk cetakan siklostil. Selaku penyelaras majalah, Mahendran menghasilkan beberapa cerpen terpendek.

Cerpen bahasa Malaysia dan Tamil mula dihasilkan untuk siaran akhbar dan majalah mulai tahun 1987. Karupaya adalalah cerpen pertama Mahendran yang memenangi hadiah sagu hati dalam pertandingan menulis cerpen  anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Malayan Banking pada tahun 1987. Cerpen Sementara Ke Neraka juga memenangi hadiah sagu hati oleh penganjur yang sama pada 1991. Pada tahun 2003 Mahendran memenangi lagi hadiah sagu hati untuk cerpennya Tiga Puluh Tiga Puluh dalam pertandingan menulis cerpen anjuran DBP.

Karya-karya Mahendran termuat di dalam antologi Menara (1988), Menara 4 (1991), Tanpa Mengira Warna (1991), Vanakam (2002), Segugus Aksara Sealur Kasih (2003), Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), Peluru Aksara (2020), Lakaran Diri (2022) dan Seruling Malam (2024). Kumpulan cerpen Mimpi dan Impian (2013) merupakan terjemahan dalam Bahasa Malaysia yang dilakukan oleh beliau untuk penulis veteran Tamil mendiang M. Ramaiah.  Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung beliau manakala Thalaivar (2021) merupakan kumpulan cerpen Tamil beliau.

Mahendran salah seorang pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) pada tahun 1999. Karya-karya Mahendran boleh dibaca di portal Sastera Kavyan, Eksentrika, mahendran28.blogspot, Cukaria serta di majalah  Thendral dan Vanampadi. Kini Mahendran menulis sepenuh masa sambil menjalankan aktiviti pembacaan dan penulisan kepada  beberapa orang pelajar sekolah rendah dan menengah untuk menguasai bahasa Malaysia dengan baik. Mahendran boleh dihubungi melalui talian telefon 016-9612085 dan e-mel johnmahendraprabhu@gmail.com.


(Bertarikh: 31 Disember 2025. Lihat juga—Biodata Sasterawan Kavyan)