Kisah-kisah Vikramaditya
adalah cerita berbingkai yang cukup terkenal di negara India, dan juga dalam
kalangan kaum India di Malaysia.
Kisah asas adalah mengenai Vetalam, si puntianak, yang menyampaikan cerita demi cerita kepada
Raja Vikramaditya. Setiap cerita diakhiri dengan soalan yang menguji minda.
Berikut petikan salah sebuah
cerita:
Pada zaman dahulu, tinggal seorang saudagar kaya yang
mempunyai seorang anak lelaki bernama Mathan. Mathan hidup penuh mewah tanpa
perlu memikirkan sebarang masalah dalam hidup.
Tidak lama kemudian, saudagar kaya itu meninggal dunia. Akan
tetapi, harta yang ditinggalkan sudah mencukupi untuk Mathan terus hidup mewah.
Pemuda itu juga suka minum arak dan berjudi. Sepanjang hari, dia berjudi dan
menghabiskan wang yang banyak kerana selalu kalah judi.
Akhirnya, Mathan kehilangan semua wang dan harta.
Rakan-rakan yang mendampingi sudah meninggalkannya. Para penduduk pula
sedikitpun tidak menghormati kaki botol dan kaki judi itu.
Maka, Mathan mengambil keputusan untuk meninggalkan tempat
asal dan pergi ke sebuah bandar di negeri lain. Di bandar itu, Mathan
berpeluang bertemu seorang saudagar yang kaya.
Mathan diberi peluang kerja. Tidak cukup dengan itu,
saudagar itu mengambil keputusan untuk mengahwinkan Mathan dengan anak
gadisnya. Mathan menerima tawaran itu dengan tangan terbuka kerana anak gadis
bernama Mathavi memang amat jelita.
Beberapa bulan berlalu. Mathan kini memiliki banyak wang
yang diberi oleh bapa mentuanya. Saudagar kaya itu juga memberi banyak barangan
kemas kepada Mathavi sebagai hadiah perkahwinan.
Apabila sudah memiliki wang dan harta, Mathan kembali
teringin untuk berjudi. Wang pemberian bapa mentua serta barang-barang kemas
yang dimiliki Mathavi membuatkan keinginan Mathan untuk berjudi semakin
membuak.
“Sudah terlalu lama saya tinggal di sini. Izinkan saya untuk
pulang ke negeri asal,” Mathan memberitahu bapa mentuanya pada suatu hari.
Saudagar kaya itu mengakui kebenaran kata-kata menantunya.
Maka, persediaan dibuat untuk menghantar Mathavi bersama-sama Mathan ke negeri
asal. Akan tetapi, saudagar kaya itu meletak satu syarat.
“Saya mahu pengasuh ini pergi bersama-sama Mathavi untuk
menjaganya,” kata saudagar kaya itu sambil merujuk kepada wanita tua yang
menjaga Mathavi sejak kecil.
Mathan menerima syarat itu tanpa sebarang bantahan. Maka,
pemuda itu bersama-sama Mathavi dan pengasuh tua memulakan perjalanan pulang ke
negeri asal Mathan.
Wang pemberian saudagar kaya dimasukkan ke dalam beg khas
dan Mathavi memakai barangan kemas yang dihadiahkan oleh bapanya.
Tidak lama kemudian, ketiga-tiga mereka menghampiri sebuah
hutan. Mathan sengaja memilih jalan itu. Dia memang ada rancangan jahat untuk
merampas wang dan barangan kemas yang diberi oleh bapa mentuanya.
“Kita mesti berhati-hati. Di kawasan pinggir hutan ini ada
ramai penyamun dan perompak,” Mathan memberitahu Mathavi dan pengasuh tua.
“Oh! Semoga kita terlindung daripada sebarang bencana,”
wanita tua itu lantas berdoa.
“Berdoa sahaja tidak cukup. Kita perlu mengambil langkah
berjaga-jaga. Tanggalkan barangan kemas yang dipakai. Masukkan ke dalam guni
ini,” Mathan memberi cadangan berupa arahan kepada isterinya.
Tanpa membantah, Mathavi menanggalkan kesemua barangan kemas
dan memasukkannya ke dalam guni yang dihulurkan oleh suaminya. Guni itu diikat
kemas dan diletakkan di sisi beg berisi wang pemberian saudagar kaya.
Beberapa minit kemudian, Mathan, Madhavi, dan pengasuh tua
tiba di sisi sebuah perigi. Mereka singgah untuk minum. Semasa pengasuh tua
tunduk untuk mencedok air, Mathan cuba menolak wanita itu ke dalam perigi!
Demikian petikan salah satu cerita
yang terkandung dalam buku Vetalam dan Vikramaditya (2020).
Dapatkan naskhah anda untuk membaca pelbagai kisah menarik dalam cerita berbingkai ini.