Kerja-kerja memilih, menyaring, menyunting, menambah baik, dan menyusun kandungan kumpulan esei Dewi Pertiwi dimulakan pada 1 November 2023. Ada esei baharu dan ada juga esei lama, khasnya rencana yang tersiar di akhbar Utusan Malaysia. Kesemua esei ini belum dibukukan.
Setiap esei dalam kumpulan ini dijamin mengandungi sekurang-kurangnya sedikit bahan atau maklumat baharu yang boleh membantu menjadikan pembaca lebih berilmu.
1. Apabila saya
membaca pelbagai dokumen, buku, kertas kerja, dan bahan arkib berkaitan Tanah Rizab
Melayu, memang ada hal-hal yang rumit untuk difahami orang awam. Malah,
ada semacam kelonggaran pada bahagian tertentu yang mungkin memberi kesan
kepada pelaksanaan Enakmen Tanah Rizab Melayu serta membuka “ruang” bagi
penyelewengan tanah rizab (simpanan) oleh pihak tidak bertanggungjawab. Dua rencana ditulis untuk membimbing
orang Melayu menimba ilmu demi mempertahankan hak sebelum terlewat.
2. Sementara
kumpulan samseng kaum Cina dan Melayu berperanan melindungi kaum sendiri, gengster kaum India
pula menjadi samseng yang memeras dan mengumpul wang daripada kaum sendiri. Ada
individu menjadi ahli kongsi gelap pada usia 13 tahun dan ramai yang mati sebelum
mencapai umur 21 tahun. Topik ini turut dikupas untuk membantu kita memahami
masalah gengsterisme yang semakin meruncing dalam komuniti India.
3. Rumah milik Kapitan Chung Keng Kwee di Jalan
Berek, Taiping, Perak sudah bertukar menjadi kedai barangan antik. Saya
melawatnya pada 2 Disember 2021 sempena ulang tahun ke-200 kelahiran Kapitan Cina
itu dan berpeluang mendengar pelbagai maklumat dan trivia menarik yang tiada
dalam buku teks sekolah. Maka, dikongsi dalam buku ini untuk membantu orang
ramai mengetahui sejarah dan kisah sebenar yang mencorak sejarah Malaysia.
4. Dalam seni dan sastera India, burung kuyil yang bersuara merdu
sentiasa dijadikan simbol cinta sejati. Sebenarnya, burung berbulu hitam ini
adalah penjenayah dan pembunuh kejam, serta ibu bapa yang langsung tidak bertanggungjawab.
Data dan maklumat dari pelbagai sumber kajian ilmiah turut digunakan untuk
menulis rencana ini.
5. Gelaran atau label Jaati Bukkan
dianggap sesuatu yang menghina dalam kalangan penutur bahasa Tamil di Malaysia.
Generasi muda pada masa kini sudah hampir tidak mengenali frasa itu kerana
semakin jarang digunakan. Sebuah rencana dalam buku ini menghuraikan makna
sebenar serta asal-usul gelaran berkenaan.
6. Bolehkah seorang gadis
India-Hindu berkahwin dengan adik lelaki kepada ibunya? Bagaimana pula dengan
adik lelaki kepada bapanya? Apa pula reaksi masyarakat sekiranya seorang balu
atau janda
mahu berkahwin
semula? Pertanyaan ikhlas seorang rakan dihuraikan menerusi sebuah rencana demi
manfaat semua.
7. Kata purana
sering disamakan dengan epik dan teks suci agama Hindu. Sebuah rencana ditulis untuk
menghuraikan ciri purana, epik,
hikayat, dan kisah pengembaraan dalam karya tradisional. Diterangkan juga beza
antara Skanda Purana (Sanskrit) dan Kanda
Puranam (Tamil).
8. Pelbagai majlis dan upacara
kebudayaan India dan agama Hindu tidak lengkap tanpa pakaian tradisional
seperti sari
bagi wanita dan veshti bagi lelaki. Walau
bagaimanapun, mengapa tidak ada kilang pengeluaran sari dan veshti di Malaysia? Topik ini turut
dibincangkan untuk renungan para pembaca.
9. Saya pernah menghubungi sekitar
300 rakan kaum India tetapi hanya seorang mengenali serta memiliki nettipattam atau aana
patta sebagai hiasan. Maka, aspek budaya komuniti Malayali ini
diterangkan secara ringkas menerusi sebuah rencana untuk menambah pengetahuan
masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.
10. Laporan Barnes (1951) mendapat
reaksi kaum Cina menerusi Laporan Fenn-Wu (1951), lalu lahirlah Ordinan Pelajaran
(1952) yang menjadi asas kepada Laporan Razak (1956) dan Dasar Pelajaran
Kebangsaan (1971) yang terus menjadi rujukan sehingga kini. Tidak adakah
sebarang bantahan dan cadangan kaum India terhadap Laporan Barnes? Fakta dan data
yang “disembunyikan” daripada buku teks Sejarah
di sekolah boleh dibaca dalam kumpulan rencana ini.
11. Dalam situasi sekarang,
ibu bapa sibuk dengan kerja. Anak-anak pula lebih mesra dengan gajet dan
peranti, sekali gus kurang interaksi dengan datuk dan nenek. Warga emas pula
mungkin makan hati kerana tidak berpeluang berkongsi cerita rakyat dengan cucu. Pada
masa sama, benarkah cerita rakyat dianggap generasi muda sebagai ketinggalan
zaman?
12. Gelaran Golden Chersonese (Semenanjung Emas), Suvarnadvipa (Kepulauan Emas), Suvarnapura (Bandar Emas), dan Suvarnabhumi (Tanah Emas) pernah digunakan
apabila merujuk kepada suatu kawasan yang masih tidak dapat dipastikan lokasinya
secara tepat dan khusus. Saya cuba membawa pembaca menimba ilmu dari beberapa
sumber tentang nama yang unik ini.
13. Malachi
Edwin Vethamani menghasilkan buku A Bibliography
of Malaysian Literature in English (2016), selain terus prolifik
menghasilkan pelbagai buku lain. Pada Februari 2023, saya berbual dengan beliau
untuk mendapatkan gambaran sebenar tentang penglibatan kaum India dalam
penulisan karya
bahasa
Inggeris. Rencana ini membuka jendela untuk mengenali satu kelompok penulis
yang berjuang sendirian tanpa sebarang pengiktirafan kerajaan.
14. Pada November 2021, Wacana Minda
@ Mohamad Asri Husin didedahkan sebagai penciplak tegar yang “mencuri” puisi dan esei orang lain
tanpa rasa malu. DBP yang menyiarkan karyanya membisu seribu bahasa manakala Presiden
PENA menyalahkan masyarakat kerana “menafikan hak penciplak”. Saya berkongsi
pandangan dan kritikan berhubung perkara ini.
15. Saya berpeluang mendengar dahulu
versi audio novel Blindness karya penerima
Hadiah Nobel Kesusasteraan, Jose Saramago sebelum membaca buku dan kemudian
menonton versi filem. Suatu pengalaman yang memang unik dan menarik. Catatan
lama itu dimasukkan dalam buku ini kerana pada masa kini memang ramai orang
berpeluang mendengar buku dalam bentuk audio.
16. Seorang
lelaki kaum Cina datang sebagai “pendatang, imigran, sin kheh, orang luar” yang tunduk kepada penduduk tempatan (Melayu).
Hasil perancangan penuh licik, dia akhirnya menjadi “orang penting, ayam
tambatan, pakar runding syarikat dengan Inggeris”. Mesej tersirat dalam
kumpulan cerpen Bendera Putih (2015) dikupas
tanpa berselindung.
17. Memang
seronok apabila berpeluang membaca buku atau novel yang bercerita pula tentang
dunia seorang penulis. Menerusi sebuah rencana dalam buku ini, saya menggunakan
kerangka intertekstual untuk mengulas
pengalaman menonton filem The Words
yang berkisar tentang sebuah novel berjudul The
Words. Begitu juga pengalaman menonton siri A Young Doctor’s Notebook berasaskan buku A
Country Doctor’s Notebook oleh Mikhail Bulgakov.
18. Lagu “Surangani”,
“Chinna Maamiye”, dan “Dinggiri Dinggale Minachi” terus diminati generasi demi
generasi dan dipaparkan dalam beberapa filem sejak tahun 1950-an. Sejumlah
artis Melayu juga mempopularkan lagu-lagu itu di Malaysia sejak dahulu. Sejarah
lagu Baila
bermula di Ceylon (Sri Lanka) pada tahun 1630-an. Pelbagai maklumat disajikan
dalam sebuah rencana yang ditulis khusus mengenai lagu-lagu Baila.
19. Dalam
cerita rakyat dan hikayat di negara-negara Asia Tenggara, kita sering bertemu
watak raksasa, gergasi, dan bota. Kesemuanya berasal daripada watak-watak asura dalam epik, mitos, dan purana Hindu. Siapakah golongan sura dan asura ini? Adakah mereka benar-benar
jahat dan zalim seperti sering digambarkan? Semoga rencana ini boleh membantu
kita mendapatkan pencerahan minda.
20. Apakah ada wali
dan nabi
dalam Hinduisme? Adakah kandungan kitab veda
diwahyukan
Tuhan atau rekaan para maharishi semata-mata? Pasti ada sebab ajaran Hindu yang
merupakan agama tauhid terawal digelar Sanathana Dharma dan Vaidika Dharma. Diulas
menggunakan Bahasa Malaysia yang mudah demi manfaat para pembaca.
21. Salah satu
daripada Aimperukapiyam (“Lima Karya
Besar”) dalam sastera klasik Tamil ialah Silappatikaram
(“Kisah Gelang Kaki”). Karya ini antara lain mengangkat tema perlunya pemimpin
menegakkan keadilan atau dharma.
Kisah klasik ini – khasnya perwatakan Kannagi – wajar diketahui, dihayati, dan dijadikan
panduan hidup orang ramai. Rencana ini cuba membantu menambah pemahaman.
22. Tidak lama
dahulu, saya berpeluang membaca dengan penuh minat buku Mining
in Malaya (1940) yang
memperincikan realiti penglibatan kaum Melayu, Cina, dan India dalam perlombongan
bijih timah di Malaya. Kandungan buku ini tidak diajar di sekolah. Maka,
rencana berasaskan buku berkenaan pasti membantu pembaca generasi muda menimba
pelbagai ilmu baharu.
23. Cerpen “Carpe
Diem” oleh Lee
Keok Chih @ Adrique Lee didapati diciplak daripada cerpen “Apa Yang
Kau Cari” oleh Azman Hussin. Dia juga didapati menciplak karya dari China dan
Taiwan untuk disiarkan di akhbar Cina di Malaysia. Saya menghubungi penulis ini
pada November 2021 untuk mendapatkan pengesahan. Pandangan beberapa rakan
mengenai budaya ciplak
dan plagiat
dimasukkan dalam buku ini.
24. Filem Ponniyin Selvan (2022) menarik minat orang
ramai untuk menyelami novel sejarah yang ditulis oleh Kalki pada tahun 1950-an. Kalki
dianggap perintis sastera moden Tamil dan antara pengarang berwawasan yang terus
diraikan. Keunikan karya dan gaya penulisan beliau wajar diketahui khalayak
pelbagai kaum di Malaysia. Maka, sebuah rencana lama dikemas kini untuk
dimasukkan dalam buku ini.
25. Belanda
pernah menjajah Melaka selama hampir 180 tahun, manakala Indonesia pula dijajah
selama 350 tahun. Maka, tidak hairanlah kata “Belanda” digunakan dalam
pelbagai frasa dan peribahasa di Malaysia dan Indonesia. Pasti ada trivia dan kisah
menarik di sebalik setiap penggunaan itu yang wajar diketahui generasi muda.
26. Bahasa Sanskrit
yang berusia lebih 4,000 tahun sering dikatakan sudah pupus dan tidak digunakan
lagi. Sebenarnya, selagi masih ada manusia menggunakan Bahasa Malaysia dan
Bahasa Indonesia, selagi itulah bahasa Sanskrit tetap hidup dan bernyawa. Huraian
berserta contoh dikemukakan menerusi tiga
rencana dalam buku ini untuk membuktikan hujah saya.
27. Politikus
Melayu gemar memetik kisah Si Kitol dan Raja Mendeliar, dua watak Keling
yang membawa kepada kejatuhan Melaka dalam Sejarah
Melayu. Sebenarnya, ada tokoh
saudagar Tamil seperti Naina Chattu dan Suryadeva Nayinar yang menguasai
perdagangan di Melaka sebelum dan selepas penjajahan Portugis. Ketahuilah kisah
mereka dengan membaca buku ini.
28. Saya pernah
menulis sebuah rencana bertajuk “Hang Tuah Hanya Mitos?” pada tahun 2016. Kini,
selepas meneliti lebih banyak hujah daripada kedua-dua pihak, serta
perkembangan “Projek Bongkar Misteri Hang Tuah”, saya kemas kini rencana itu
dan meletakkan tajuk yang lebih tepat: “Hang Tuah Tidak Wujud!”
29. Saya sentiasa
cuba menyelongkar pelbagai maklumat dan fakta yang kurang diketahui tentang
sejarah silam orang Melayu. Pembacaan buku pelbagai bahasa oleh
penulis pelbagai bangsa amat membantu memberi perspektif baharu dalam usaha
menimba ilmu. Sebahagian maklumat menarik hasil pembacaan sebuah buku tulisan Nicholas
Belfield Dennys pada 1894 dikongsi demi berkongsi ilmu dengan orang
ramai.
30. Golongan janda
(bercerai), balu
(kematian suami), dan andartu (anak dara tua) masih dipandang rendah
dalam masyarakat India dan dipinggirkan dalam pelbagai acara seperti majlis
perkahwinan dan upacara keagamaan. Sembilan rakan terlibat dalam perbincangan
berkaitan topik ini. Semoga dokumentasi hasil perbincangan itu dalam bentuk
bertulis menarik minat masyarakat untuk membincangkan isu berkenaan secara
lebih terbuka.
31. Saya
mengikuti perkembangan sastera dan penulis Tamil di Malaysia secara dekat sejak
tahun 1993. Ada begitu banyak rencana, ulasan, dan kritikan yang ditulis
berdasarkan pengalaman, pemerhatian, dan pergaulan saya dalam “dunia” sastera
Tamil. Sementara kerajaan menyalurkan dana yang agak lumayan, Persatuan Penulis
Tamil Malaysia dikatakan masih mengharapkan bantuan dan “perlindungan” daripada
Kerajaan Tamil Nadu, India. Bacalah tiga
esei berkaitan dalam buku ini.
32. Dalam dunia
politik tempatan dan antarabangsa, kita tahu tentang nasib golongan politikus
yang tidak dapat mengawal nafsu seks – termasuk seks songsang – sehingga
membawa kepada kehancuran karier politik. Sebenarnya, perkara seperti ini
bukanlah sesuatu yang baharu. Kisah Yavakrida dalam epik Mahabharata dihuraikan secara mudah dalam sebuah rencana sebagai
pengajaran kepada generasi muda.
33. Watak Krishna
dalam epik Hindu terkenal dengan Raslila
dan Krishnalila. Selain terlibat dalam
tarian penuh mengasyikkan bersama-sama Radha dan para wanita seperti
digambarkan dalam Bhagavata Purana
dan Gita Govinda, Krishna juga mempelopori budaya melarikan gadis disukai. Sepupunya,
Arjuna
pula ada pengalaman menarik dalam percintaan dengan wanita tomboi yang perkasa.
Anda akan tahu dari mana Bollywood dan Kollywood mendapatkan inspirasi!
34. Michael Soosai
merupakan “penjenayah paling dihendaki” di Malaysia sehingga Januari 2021. Beliau
dilaporkan pernah memalsukan kematiannya pada September 2003. Michael Soosai menelefon
saya dari India pada 1 Februari 2023. Rupa-rupanya, selain daripada Bukit Aman,
beliau juga memantau perkembangan saya. Bacalah kisah menarik ini.
35. Jika anda
melancong ke Taiping, Perak, jangan lepaskan peluang berswafoto di hadapan
mural Amelia
Earhart—sebelum ia diubah atau dipadam terus bagi membetulkan
kesalahan fakta sejarah. Apakah kisah di sebalik mural ini yang mendapat
pengiktirafan Malaysia Book of Records
pada Disember 2019? Sebagai anak kelahiran Taiping, saya rasa bertanggungjawab untuk
menulis tentang isu ini.
36. Ramai
(termasuk Anwar Ibrahim?) tidak sedar bahawa Malaysia sudah menandatangani Perjanjian
Marrakesh pada 31 Mac 2022. Sepatutnya, sudah tidak ada masalah
untuk Kerajaan Perpaduan/MADANI, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), serta
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membuka akses bahan bacaan kepada golongan cacat
penglihatan. Namun, apabila tidak ada “niat” untuk membantu OKU, pastilah tidak
ada apa-apa yang akan dilakukan golongan “buta hati”.
37. Pada April
2008, orang Punjabi
beragama Sikh marah dan kecewa apabila Menteri Besar Perak tidak mampu
membezakan antara orang Punjabi dan Bengali. Sebenarnya, kekeliruan itu masih
wujud sehingga kini dalam komuniti. Elok juga kita mengetahui punca kekeliruan,
selain mendidik diri supaya tidak mengulangi kesilapan—walaupun Karpal Singh menganggap
ia isu remeh-temeh sahaja.
38. Dalam usaha
mengenali dan memahami budaya, identiti, dan jati diri komuniti Bengali,
saya berbual dengan seorang rakan daripada komuniti itu—selain mengunjungi beliau
untuk menikmati sajian khas berasaskan ikan mengikut tradisi Bengali. Perkongsian
maklumat mengenai komuniti “minoriti dalam minoriti” ini penting dalam usaha
meraikan kepelbagaian dan memupuk perpaduan Bangsa Malaysia.
39. Pandangan
negatif terhadap “Keling” dan “Kalinga” masih wujud—akibat kejahilan kita.
Sama ada di India atau di Filipina, Kalinga adalah komuniti yang berbangga dengan
sejarah, tradisi, budaya, dan jati diri. Saya membaca pelbagai buku, jurnal,
dan akhbar untuk berkongsi maklumat dalam sebuah rencana demi manfaat bersama.
40. Peribahasa “Bahasa
Menunjukkan Bangsa” dan slogan “Bahasa Jiwa Bangsa” sering digunakan dengan
andaian bahawa “bangsa” merujuk kepada keturunan, etnik, atau ras. Untuk
memahami makna sebenar slogan dan peribahasa itu, kita perlulah kembali kepada
istilah asal—bhasa, jiva, dan vamsa. Anda pasti akan belajar sesuatu yang baharu menerusi rencana
ini.
41. Jika
berkunjung ke Facebook milik Tang Ah Chai,
kita dapat melihat dan membaca pelbagai perkongsian tentang budaya India dan
Hindu ditulis menggunakan bahasa Cina. Beliau sebenarnya menjadi “duta” yang
membantu masyarakat Cina mengenali budaya, jati diri, amalan, adat, dan
pemikiran masyarakat India di Malaysia. Wajarlah saya mendokumentasi sumbangan
beliau dalam buku ini.
42. Karya
sulung Lai
Choy tersiar di akhbar pada Mac 1956, sewaktu berumur 15 tahun.
Kini, pada usia 82 tahun, beliau masih aktif menghasilkan karya Bahasa Malaysia
dan Cina, selain melakukan terjemahan silang, serta menyusun kamus ekabahasa,
dwibahasa, dan tribahasa. Saya melihat beliau sebagai jambatan penghubung
Melayu-Cina.
43. Palaniappan
Periannan terlibat dalam penterjemahan karya Tamil sejak tahun
1970-an. Walaupun beliau tidak lagi aktif dalam bidang itu sejak tahun 2016, sumbangan
pada masa lalu wajar dihargai dan didokumentasi. Saya berjaya menghubungi
beliau dengan bantuan Dr. Sivabala Naidu pada Disember 2022, lalu menulis
sebuah rencana hasil perbualan telefon.
44. Pada tahun 2011,
sekitar 55% kanak-kanak kaum India belajar di SJKT. Menjelang tahun 2023, hanya
45% belajar di SJKT. Malah, kini hampir 140 SJKT hanya ada kurang daripada 30
murid. Apabila saya mengemukakan cadangan dan kritikan pada tahun 2016, saya dituduh
“pengkhianat”. Namun, saya tetap bersuara berdasarkan fakta kerana saya tidak
mahu sekolah Tamil mengalami nasib sama seperti sekolah Malayalam dan Telugu di
Malaysia. Bacalah dua rencana
berkaitan topik ini.
45. Masakan kari
kepala ikan kurang enak tanpa daun kari. Begitu juga pelbagai masakan lain
yang berasal dari Benua Kecil India, khususnya India Selatan. Kehadiran herba
ini kurang disedari kepentingan dan manfaatnya. Sebuah rencana ditulis khusus
untuk memperkatakan pelbagai hal mengenai daun kari yang kini menjadi ramuan
masakan penting di seluruh dunia.
46. Sementara
politikus serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) rakus meminjam istilah bahasa
Inggeris untuk memperkasa kosa kata bahasa kita, jangan terkejut jika
perkataan-perkataan itu sebenarnya dipinjam pula daripada bahasa-bahasa di
Benua Kecil India. Proses Indianisasi bahasa Inggeris turut
diperkatakan dalam buku ini.
47. Kali
pertama saya tahu mengenai “caping” adalah apabila membaca novel Sudara (1994) oleh Arena Wati. Saya
berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang budaya yang sudah hampir pupus
dalam masyarakat Melayu. Tanpa diduga, saya belajar pula dari mana datangnya budaya
memakai caping bagi kanak-kanak. Sesungguhnya, kita belajar benda baharu setiap
hari. Semoga anda juga belajar sesuatu dengan membaca buku ini.
48. Saya sering
dikecam kerana berani menyelongkar pelbagai isu berkaitan sejarah, budaya, dan asal
usul orang Melayu di Malaysia. Saya tidak mahu keunikan identiti dan jati diri orang
Bugis, Jawa, Minangkabau, Boyan, Mandailing, Banjar, Kerinci, Melayu, dan sebagainya
terhakis, lalu hilang terus. Saya membaca tentang orang Jawa dan berkongsi maklumat
dalam sebuah rencana.
49. Rasa ingin
tahu menjadi asas kepada kebanyakan rencana yang saya tulis. Misalnya, sejak
kecil, saya tertanya-tanya mengapa Ipoh Bakery
terletak di Taiping (tempat kelahiran saya) dan bukannya di Ipoh. Begitu juga
dengan “roti
benggali” yang dijual oleh orang India-Muslim dan bukannya orang
Bengali atau Punjabi. Jawapan dan maklumat yang dikumpul dikongsi pula dalam
buku ini supaya kita boleh sama-sama tahu.
50. Tahukah
anda? Kamus Dewan pernah meletakkan
salah satu definisi “jakun” sebagai “sangat mudah kehairanan
apabila ternampak sesuatu yang baru kerana belum pernah melihatnya dahulu”.
Perkataan “sakai”
pula masih diberi makna “orang suruhan, hamba, pengikut, orang yang di bawah
perintah, orang bawahan yang boleh disuruh-suruh”. Dalam buku ini, dihuraikan
tentang “Sakai” di Jepun dan Amerika Syarikat.
Harap
maklum bahawa ada topik yang terdiri daripada dua atau tiga buah rencana. Maka,
jumlah keseluruhan ialah 57 rencana.
Susunan di atas tidak mengikut urutan dalam buku.