29 Jun 2020

Sastera dan Picisan Bersatu … Tiada?


[Berikut adalah petikan yang disunting dan diringkaskan daripada bahagian “Prakata” buku Putaria: Kumpulan Fiksyen Bahasa Malaysia.]

Walaupun saya bermula dengan menulis di majalah-majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta akhbar Mingguan Malaysia, cerpen-cerpen saya turut mendapat tempat di pelbagai media penyiaran lain yang dianggap bukan arus perdana, bersifat alternatif, tabloid, malah picisan (murahan).

Perkembangan politik tanah air kekal menjadi sumber idea bagi saya dalam penulisan cerpen sejak tahun 1990-an. Politik di sini tidak semestinya terhad kepada parti politik dan politikus semata-mata. Cerpen “Legasi” perlu dibaca pada pelbagai lapis makna. Jika tidak, ia akan menjadi sehambar perkembangan politik tanah air pasca Pilihan Raya Umum Ke-14.


Cerpen “Sumanti” adalah usaha kecil mendokumentasi kemungkinan pengalaman segelintir buruh asing di Malaysia. Tentu sahaja kisah cuba disampaikan dengan memanfaatkan gaya penulisan thriller, saspens, red herring, dan unsur luar dugaan.

Aspek-aspek serupa cuba diterapkan dalam cerpen “Hadiah” yang relatif lebih pendek. Saya membimbing peserta Antologi Karya Penulis Malaysia menulis cerpen dan esei sekitar 500 patah perkataan. Maka, saya juga wajar mengamalkannya, bukan?

Ada Apa Dengan Fiksyen?

Cerpen “Kakak” masih mengangkat kisah kekeluargaan; dengan mementingkan aspek emosi, komunikasi, dan interaksi antara watak, situasi, dan kisah silam. Ini sebuah lagi cerpen yang sengaja ditulis dalam lingkungan 500 patah perkataan.

Sebuah lagi cerpen dalam lingkungan 600 perkataan adalah “Paramapatham”. Ia disampaikan secara ringkas-padat sambil berusaha memancing dan mengekalkan minat serta rasa ingin tahu pembaca.


Dalam cerpen “Perang” pula,  wujud penceritaan selari (parallel) membabitkan watak Arjuna dalam epik Mahabharata, dan watak Arjunan, seorang lepasan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang mengaku tidak pernah membaca karya agung berkenaan.

Bagaimana minda segelintir macai dan politikus berfungsi dan berubah-ubah seperti mengalami masalah neurosis? Cerpen “Putaria” mengisahkan seorang individu — anda pasti mengenalinya — yang sepatutnya menjadi pemimpin, tetapi kecewa, lalu mengatur strategi jangka panjang bagi menghancurkan seluruh keturunan.

Cerpen “Remaja” ditulis sejurus sebelum Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson; sewaktu Anwar Ibrahim dikatakan masih aktif berjoging dan mengutip sampah di pantai. Juga sebelum Wan Azizah Wan Ismail merasmikan Hari Kesihatan Mental Sedunia di Putrajaya. 

Apa Akan Berlaku Seterusnya?

Apa yang akan berlaku apabila seorang individu mengundang wakil media berkumpul, lalu menanggalkan tudung di hadapan orang ramai? Dalam cerpen berjudul “Tudung”, sedikit demi sedikit, pembaca didedahkan dengan maklumat yang membawa kepada kemuncak cerita.

Cerpen “Hanuman” meneruskan tradisi dan minat saya mengangkat kisah-kisah daripada epik Ramayana sejak tahun 1990-an. Hanuman yang diutuskan oleh Rama ke Langka dalam Ramayana, pulang membawa berita mengenai Sita. Tentulah khabar yang dibawa dalam cerpen ini agak berbeza dengan apa yang disangka pembaca.


Saya amat jarang — dan tidak pandai — mengarang cerita cinta. Cerpen “Kekasih” mungkin merupakan satu usaha memenuhi kekurangan itu. Atau sekurang-kurangnya, demikianlah kesimpulan yang boleh dibuat berdasarkan reaksi ikhlas yang diterima daripada 18 orang pembaca beta.

Watak Cathy dalam cerpen “Isteri” merupakan seorang wanita yang memahami, menyedari, mengakui, serta memperakukan hakikat kelahirannya di bumi sebagai manusia adalah semata-mata untuk menjadi isteri ketiga.

Cerpen “Kebun” adalah sebuah karya yang mendapat reaksi seperti “membosankan”, “saya tidak begitu tertarik”, “tiada narrative hook”, dan “tidak mengungkitkan perasaan ingin tahu” daripada sebahagian pembaca beta.

Fiksyen dan Faksyen

Cerpen “Hujan” mungkin dianggap sedikit berat kerana lebih mengutamakan idea (pemikiran) berbanding aksi (fizikal). Lebih memberatkan dan mengutamakan makna tersirat berunsur sastera yang mungkin sedikit sukar ditafsir secara harafiah.

Turut dimuatkan dalam buku ini adalah fiksyen “Ugut” yang berciri pulp fiction (fiksyen picisan, fiksyen murahan), menggabungkan unsur-unsur saspens, misteri, thriller, politik, kritikan sosial, seks, seksualiti, ugutan siber, cangkuk naratif, dan twist. Perlu juga dinyatakan — diingatkan — bahawa banyak dialog bahasa Inggeris dan bahasa rojak sengaja digunakan dalam fiksyen ini.


Latar masa adalah pada tahun 2011. Sebelum wujud Paradigm Mall di Kelana Jaya. Malah, rakaman klip video hubungan seks melibatkan seorang lelaki “menyerupai” Anwar Ibrahim hanya disimpan dalam pemacu pena (pendrive) sebelum ditayangkan kepada wakil media secara tertutup.

Sekiranya kita rajin mengikuti perkembangan politik tanah air, maka akan kelihatan seolah-olah ada hubungan paralel antara fiksyen dan realiti. Saya sengaja tidak menggunakan label faksyen pada kali ini kerana mahu pembaca menikmati kesemua cerita sebagai fiksyen semata-mata.

[Petikan di atas merupakan versi yang disunting dan diringkaskan daripada “Prakata” buku Putaria: Kumpulan Fiksyen Bahasa Malaysia. © Uthaya Sankar SB]