Sunday, 14 February 2010

Selamat Datang ke Dunia Faksyen

Cerpen “Persaudaraan Banyan” saya olah semula daripada beberapa catatan masa lalu dengan memasukkan unsur mimetik, ekspresif, imaginasi, fiksyen dan faction.
.

Demikian saya nyatakan pada bahagian prakata Siru Kambam (1996). Pada waktu itu, “faction” masih sesuatu yang amat asing di Malaysia.

.

Tidak hairanlah, apabila saya menyebut pada prelim novel Panchayat (2002) bahawa “This novel is simply a work of faction,” seorang pengkaji sastera - pada Disember 2003 - lebih berminat mempersoalkan mengapa saya menggunakan Bahasa Inggeris berbanding meneliti unsur faksyen dalam novel berkenaan!

.

Saya tidak pernah membaca istilah “faction” diterjemah ke Bahasa Malaysia. Maka, saya memutuskan untuk menggunakan ejaan “faksyen” iaitu gabungan “fakta” (facts) dan “fiksyen” (fiction).

.

Kalau tidak silap, kali pertama saya menggunakan ejaan “faksyen” adalah dalam cerpen “Rudra Avatara” (Dewan Sastera, Januari 2005). Berikut bahagian awal cerpen itu:

.

“Di manakah batas antara realiti dan imaginasi, antara rasional dan tidak rasional, antara fiksyen dan faksyen, antara logik dan tidak logik?”

.

Pada bahagian dalam kulit hadapan buku Rudra Avatara (2008) ada dinyatakan, “Uthaya Sankar SB ketara menghasilkan karya berbentuk faksyen iaitu karya yang menggabungkan fakta dan realiti bersama-sama fiksyen dan imaginasi.”

.

Unsur faksyen bukan sesuatu yang baru dalam sastera Barat. Ia merujuk pada karya berbentuk neologisme (neologism) yang mungkin menggabungkan fakta sejarah dan tokoh sebenar bersama-sama pelbagai maklumat tambahan yang direka menggunakan imaginasi.

.

Tidak hairanlah ada pihak yang kurang menyukai karya faksyen kerana ia sedikit “mengelirukan” bagi mereka yang mahu mendapatkan fakta sejarah melalui pembacaan karya berkenaan. (Walaupun, tentunya, buku-buku “sejarah” belum tentu 100 peratus memuatkan fakta sebenar!)

.

Contoh faksyen boleh dilihat seawal abad ke-12 dalam karya-karya Geoffrey of Monmouth (1100-1155) yang banyak menulis tentang sejarah awal Britain dan kisah-kisah King Arthur. Terdapat laporan bahawa ada pengkaji sejarah yang terkeliru dan tertipu kerana menyangka karya-karya fakyen yang dihasilkannya adalah karya sejarah (fakta sebenar)!

.

Pada 2001, Beryl Bainbridge menghasilkan sebuah novel berjudul According to Queeney. Kisahnya mengenai Samuel Johnson (1709-1784), seorang penyair, pengarang, pengkritik dan penyunting terkenal dalam sastera Inggeris.

.

Kisah disampaikan menggunakan sudut penceritaan watak Queeney Thrale iaitu anak sulung kepada Henry dan Hester Thrale, rakan Samuel Johnson. Maka, novel According to Queeney adalah contoh karya faksyen yang menggabungkan unsur fakta (kisah tokoh sebenar) dan fiksyen (imaginasi pengarang).

.

Novel In Cold Blood (1966) oleh Truman Capote diakui sebagai karya sulung dalam genre novel non-fiksyen. Para penonton filem Capote (2005) pasti boleh membayangkan bagaimana Truman menggunakan fakta berhubung kes pembunuhan keluarga Herbert Clutter di Kansas pada 1959 untuk menulis novel berciri faksyen itu.

.

Roots (1977) dan Roots: The Next Generations (1979) merupakan siri televisyen yang sangat popular suatu masa dahulu. Kisah mengenai sembilan generasi Kunta Kinte adalah berdasarkan novel Roots: The Saga of an American Family (1976) karya Alex Haley (1921-1992).

.

Alex kononnya menulis novel sejarah mengenai nenek-moyangnya yang dibawa sebagai hamba-abdi dari Benua Afrika. Bagaimanapun, Alex sebenarnya menggabungkan fakta sejarah bersama-sama unsur imaginasi bagi menghasilkan sebuah karya faksyen yang sangat berjaya.

.

[Malah, Alex dikatakan meniru banyak fakta dari novel The African (1967) tulisan Harold Courlander, seorang pengkaji dan penulis. Alex sendiri membuat pengakuan selepas kes dibawa ke mahkamah pada 1978; walaupun pada mulanya Alex mengaku tidak pernah membaca novel The African (1967) sebelum menulis novel Roots: The Saga of an American Family (1976).]

.

Apapun, faksyen bukan sesuatu yang baru dalam dunia sastera. Saya juga menggunakannya dalam kebanyakan karya.

.

Senario politik – antarabangsa dan setempat – sering menjadi pencetus idea bagi sasterawan untuk ketawa sendirian dan seterusnya berkongsi kisah-kisah itu bersama khalayak dalam bentuk karya kreatif dan imaginatif.

.

Saya suka menghasilkan karya faksyen yang boleh dan perlu dibaca berulang kali pada lapis makna berbeza.

.

Kisah-kisah yang saya paparkan dalam karya berbentuk faksyen sesungguhnya ditulis berdasarkan pelbagai insiden sebenar; kecuali dapat dibuktikan sebaliknya.

.

Antara cerpen berciri faksyen adalah “Kakak, Tolonglah Saya!”, “Sengketa Pulau Cinta”, “Bermulanya Perang Saudara”, “Paul Lathic”, “Datuk Datang ke Kampung Kami”, “Yang Aneh-aneh”, “Sasterawan Pulau Cinta”, “Le Spectre de la Rose”, “Cat”, “Fail Merah: Konspirasi Membunuh Sasterawan Pulau Cinta” dan “Catatan Sipahi Muda”.

.

Selamat datang ke dunia faksyen!

0 comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!