20 Jul 2021

Biodata — Malini Lakshmi Bai

Malini Lakshmi Bai dilahirkan di Kuala Lumpur pada 31 Julai 1992. Beliau memperoleh pendidikan rendah di SK Taman Segar, pendidikan menengah di SMK Perempuan Pudu, serta melanjutkan tingkatan enam di SMK Cochrane. Minat beliau terhadap bahasa dan kesusasteraan bermula sejak zaman persekolahan, dengan penglibatan aktif dalam pertandingan debat, syarahan, dan forum pelajar. Pada tahun 2005 dan 2006, beliau pernah menerima Anugerah Pembaca Terbanyak bagi Program NILAM, diikuti kejayaan meraih gelaran johan dan naib johan dalam pertandingan debat dan syarahan pada tahun 2009.

Malini menamatkan pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang Bahasa Inggeris dan Linguistik di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Kampar. Beliau pernah bekerja sebagai guru akademik yang mengajar subjek Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia di beberapa sekolah antarabangsa di Kuala Lumpur dan Selangor. Sepanjang dalam bidang pendidikan, beliau membangunkan pendekatan pengajaran yang menekankan kefahaman bahasa, pemikiran kritis, dan kesedaran budaya. Malini juga berkelulusan dalam Program Latihan Perguruan Buddha-Dhamma yang dikendalikan oleh Sekolah Ti-Ratana Sukha Dhamma.

Setelah hampir sepuluh tahun berkhidmat sebagai pendidik, Malini kini beralih sepenuhnya ke bidang editorial dan berkhidmat sebagai editor pengurusan di My Aviation Magazine. Sejak tahun 2021, beliau aktif menulis dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, merangkumi karya kreatif dan bukan kreatif. Beliau melihat penulisan sebagai cara menzahirkan diri secara lebih berfikir dan mendalam. Hasil karya Bahasa Malaysia beliau tersiar di portal Sastera Kavyan serta termuat dalam antologi Lakaran Diri (2022) dan Seruling Malam (2024), manakala karya Bahasa Inggeris disiarkan di laman Eksentrika. Untuk urusan berkaitan penulisan, penyuntingan, dan kolaborasi sastera, beliau boleh dihubungi melalui emel malinilakshmibai@gmail.com, serta diikuti di Facebook dan Instagram.

(Bertarikh: 31 Disember 2025. Lihat juga—Biodata Sasterawan Kavyan)