Buku ini terhasil daripada disertasi (tesis) bertajuk Sumbangan Penulis Kaum India Kepada Perkembangan Sastera Kebangsaan: Analisis Budaya Dalam Cerpen 1985-2019 yang diserah untuk memenuhi keperluan ijazah sarjana sastera di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya.
Penyelidikan ini bertujuan mendokumentasi sumbangan kumpulan penulis kaum India (Sasterawan Kavyan) yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia. Penambahbaikan, olahan, rombakan, dan kemas kini dilakukan sebelum disertasi diterbitkan dalam bentuk buku supaya hasil kajian akademik dapat disajikan secara lebih komprehensif dan terkini kepada khalayak umum.
Pada tahun 1993, jumlah penulis kaum India yang aktif menulis karya sastera Bahasa Malaysia boleh dibilang dengan jari sebelah tangan. Keadaan masih sama sedekad kemudian sewaktu saya menulis rencana bertajuk “Sasterawan Kaum India: Melukut atau Menyengat?” di majalah Minda (Ogos 2003).
Hasil penelitian sejak awal 1990-an, saya mendapati ada penulis kaum India yang timbul, ada yang tenggelam, dan ada pula yang timbul-tenggelam-timbul. Rata-rata, permasalahan yang dihadapi sama sahaja dengan penulis mana-mana kaum yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia; fiksyen dan bukan fiksyen.
Bagaimanapun, kelompok penulis kaum India yang menulis karya sastera (fiksyen) Bahasa Malaysia boleh dikatakan berada di sebuah dimensi lain berbanding penulis kaum Melayu yang menulis karya Bahasa Malaysia (bahasa Melayu) serta penulis kaum India yang menulis karya bahasa Tamil.
Pada sekitar tahun 1970-an, muncul kelompok
penulis bahasa Tamil yang mula menulis atau menterjemah karya Tamil kepada
Bahasa Malaysia. Sebagai kumpulan awal dan minoriti kecil, mereka tidak
membantah apabila dilabel sebagai Penulis Tamil dan/atau Penulis Bukan Melayu.
Pada sesi Diskusi Sastera Kavyan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 10 Julai 2004, istilah “Sasterawan Kavyan” diperkenalkan secara rasmi. Sejak itu, golongan penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia mendapat identiti yang khusus dan unik, iaitu Sasterawan Kavyan.
Kelompok Sasterawan Kavyan mempunyai keistimewaan kerana mampu menulis karya Bahasa Malaysia tanpa perlu menggadai jati diri sebagai individu kaum India. Golongan ini mampu menggambarkan citra budaya kaum India di Malaysia dalam karya Bahasa Malaysia untuk tatapan seluruh rakyat Malaysia. Sekali gus, menghasilkan karya yang memenuhi kriteria dan ciri Sastera Kebangsaan yang diimpikan sejak tahun 1971.
Dalam pada itu, pada tahun 1970-an, muncul beberapa penulis kaum India berikutan pengenalan istilah “Bahasa Malaysia” serta kempen mencintai bahasa kebangsaan. Namun, anehnya, pada awal tahun 1980-an, muncul kemarau yang tidak diketahui puncanya.
Alasan yang sering diberi oleh masyarakat India mengenai persoalan mengapa kurang terlibat dalam penulisan kreatif Bahasa Malaysia adalah kononnya mereka tidak diberi peluang dan pendedahan mengenai teknik penulisan karya.
Sejak tahun 1990-an, jumlah keseluruhan penulis kaum India yang aktif berkarya tidak ramai. Nama-nama yang muncul ternyata tidak kekal lama. Kehilangan mereka diganti pula nama baharu.
Tahun 2000-an menampakkan suasana yang lebih aktif dalam kalangan kelompok kecil sasterawan kaum India; khususnya selepas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) diasaskan pada Ogos 1999 dengan prinsip “Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia”.
Mungkin sahaja apa yang perlu diberi perhatian adalah terhadap kualiti karya dan bukan pada kuantiti penulis semata-mata. Jika begitu, kelompok Sasterawan Kavyan memang sudah berjaya mewarnai Sastera Kebangsaan dengan memberi sumbangan yang amat bernilai.
Hasil kajian komprehensif yang terkandung dalam buku ini diyakini mampu memberi jawapan yang menyeluruh dan mendalam kepada pelbagai persoalan. Buku ini juga bahan dokumentasi paling lengkap setakat ini mengenai penglibatan penulis kaum India dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia.
Kajian akademik yang dibuat bagi tujuan disertasi sarjana sastera telah menggunakan pelbagai sumber rujukan. Walau bagaimanapun, dalam versi buku ini, saya cuba mengurangkan paparan sumber (citation) supaya tidak terlalu mengganggu pembacaan.
Format rujukan American Psychological Association (APA) yang terlalu akademik diubah kepada format yang lebih selesa dan santai bagi bacaan umum. Namun begitu, kesemua sumber rujukan dinyatakan pada Bibliografi.