7 Jul 2025

Antologi Bongkar Kultus: Pukul Anak Sindir Menantu

Susulan insiden disiasat Bukit Aman dan masuk lokap IPD Dang Wangi pada April 2022 [baca dokumentasi penuh di sini], Uthaya Sankar SB mengumumkan dia tidak akan lagi menulis apa-apa tentang Islam.

Dia kemudian memilih untuk menumpukan kepada kajian dan penulisan fiksyen yang membongkar amalan kultus ajaran sesat tertentu.

Maklumat tentang kultus (cult) yang dimaksudkan tidak didedah secara khusus, melainkan menerusi sejumlah fiksyen.

Dari Oktober 2023 hingga Mac 2025, Uthaya menulis sepuluh cerpen yang secara khusus membicarakan tentang kultus ajaran sesat. Petikan cerpen-cerpen ini dikongsi di blog peribadi dan portal milik Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Digambarkan bahawa kultus yang cuba dibongkar melibatkan pengikut daripada kalangan kaum India beragama Hindu. Watak Maharishi, Guruji, Guluji dan Swamiji digunakan mewakili pemimpin beberapa kultus yang khabarnya menjadi sumber kepada semua karya fiksyen ini.

Cerpen “Anak Bunian” dan “Toyol Pak Darus” berkisar orang Melayu beragama Islam. Cerpen pertama termuat dalam antologi Seruling Malam (2024) manakala cerpen kedua hanya disiarkan petikan awal di blog.

Kedua-dua cerpen ini tidak dimasukkan dalam kumpulan fiksyen Sebelas Amanat Swamiji (2025), mungkin kerana Uthaya mahu menumpukan kepada cerpen berkaitan orang India beragama Hindu sahaja.

Malah, pada bahagian prakata, dinyatakan bahawa “semua fiksyen ini tiada apa-apa kaitan – secara langsung atau tidak langsung – dengan Melayu dan Islam”.

Kumpulan cerpen Sebelas Amanat Swamiji oleh Uthaya merupakan karya yang berani dan provokatif serta mengupas apa yang dianggap sebagai isu kultus ajaran sesat dalam kalangan masyarakat India beragama Hindu di Malaysia.

Melalui sepuluh cerpen yang ditulis antara Oktober 2023 dan Mac 2025, Uthaya menampilkan naratif yang menggugah pemikiran dengan gaya penulisan yang tajam dan penuh sindiran.

Sejak hujung tahun 2018, Uthaya menjadi pembimbing siri bengkel penulisan intensif anjuran Kavyan. Katanya, selain membimbing para peserta, dia juga menulis cerpen semasa bengkel berlangsung.

Cerpen-cerpen itulah yang dimuatkan dalam buku ini. Sepuluh cerpen khusus menyentuh topik kultus manakala enam lagi berkisar cerita-cerita lain yang tidak kurang mencabar minda.

Cerpen Sentuh Kes Anwar

Sebuah cerpen yang berlatarkan tahun 2000 turut menyentuh perbicaraan kes melibatkan Anwar Ibrahim, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, Munawar Ahmad Anees dan Azizan Abu Bakar yang memang amat hangat di media arus perdana pada waktu itu.

Rata-rata cerpen dalam kumpulan ini menyorot bagaimana individu atau kumpulan tertentu mengeksploitasi kepercayaan para pengikut demi kepentingan peribadi.

Uthaya tidak sekadar mengkritik amalan sesat dalam kultus tetapi turut menelanjangkan hipokrasi dan penindasan yang berlaku dalam masyarakat dan arena politik.

Watak-watak dalam kumpulan cerpen ini sering kali terperangkap dalam dilema moral, sekali gus mencerminkan konflik antara kepercayaan tradisional dan realiti semasa.

Beberapa watak meninggalkan ajaran Hindu dan menyertai kultus tertentu untuk mencari penyelesaian kepada masalah hidup. Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Setiap cerpen dimulakan dengan situasi yang biasa, namun dengan cepat membawa pembaca ke dalam konflik yang kompleks dan berlapis-lapis. Cangkuk naratif (narrative hook) yang digunakan memang berkesan dalam usaha menarik perhatian pembaca sejak awal.

Plot cerpen disusun dengan rapi, menggabungkan elemen kejutan dan pendedahan yang tidak dijangka, maka menjadikan setiap cerita sarat dengan ketegangan dan saspens.

Uthaya mahir mencipta suasana saspens yang membuatkan pembaca terus ingin mengetahui perkembangan seterusnya. Kelebihan ini dapat dilihat dalam karyanya yang tersiar di pelbagai akhbar, majalah, antologi serta portal dalam talian sejak awal 1990-an.

Unsur twist dalam buku Sebelas Amanat Swamiji sering kali mengejutkan, sekali gus mengubah persepsi pembaca terhadap watak atau situasi yang digambarkan.

Teknik ini bukan sahaja menambah daya tarik cerita tetapi juga mengajak pembaca merenung dan menilai semula pandangan mereka terhadap isu yang dibangkitkan.

Sedikit demi sedikit, pembaca dapat merasakan seolah-olah topik sebenar yang diketengahkan bukan tentang pemimpin kultus ajaran sesat tetapi ada pihak lain yang sebenarnya cuba dikritik oleh Uthaya.

Kritikan itu kadang-kadang amat nyata, jelas dan terang-terangan dalam beberapa cerpen, namun tidak cukup bukti untuk disaman oleh pihak terbabit.

Gaya penulisan Uthaya dalam kumpulan cerpen ini konsisten dengan karya-karya terdahulunya—tajam, sinis dan penuh sindiran. Dia menggunakan bahasa yang padat dan langsung, tanpa berselindung dalam menyampaikan kritikan sosial.

Renung Isu Sensitif

Penggunaan dialog yang realistik dan naratif yang mengalir lancar menjadikan cerpen-cerpen ini mudah diikuti, namun tetap mencabar pemikiran pembaca untuk memahami mesej dan kritikan tersirat di sebalik cerita.

Buku Sebelas Amanat Swamiji adalah kumpulan cerpen yang berani dan penting dalam landskap sastera Malaysia. Uthaya melalui karya swaterbit ini tidak hanya menghibur tetapi juga mengajak pembaca berfikir dan merenung isu-isu yang sering kali dianggap sensitif.

Dalam satu catatan di media sosial, Uthaya sendiri menggelarkan cerpen-cerpen dalam koleksi ini umpama autostereogram di mana sebaik pembaca mampu “melihat” imej tersembunyi di dalam cerpen, maka pandangan hidup mereka akan berubah buat selama-lamanya.

Misalnya, dalam sebuah cerpen, dipaparkan beberapa amanat yang wajib dipatuhi pengikut. Contohnya: “Gunakan apa-apa senjata berbahaya untuk menakutkan sesiapa yang tidak mahu menyertai kultus ini” dan “Hanya ajaran kultus ini paling mulia. Kalau sesiapa cuba mengangkat teks ajaran lain, ugutlah untuk memancung leher mereka.”

Apakah benar-benar wujud satu kultus yang berpegang kepada amanat sedemikian dalam kalangan kaum India di Malaysia? Atau mungkinkah ada sindiran halus dan tersembunyi yang dituju oleh Uthaya kepada pihak lain; umpama pukul anak, sindir menantu?

Kesemua 16 cerpen dalam buku setebal 150 halaman ini perlu dibaca dengan teliti sebelum membuat sebarang kesimpulan. Kumpulan cerpen ini sesuai untuk pembaca matang yang mencari karya fiksyen yang mendalam, kritikal dan mencabar norma, namun pada masa sama mendaulatkan penggunaan bahasa yang betul.

Kumpulan fiksyen Sebelas Amanat Swamiji boleh didapati [di sini].

[SUHAIMIE SULAIMAN ialah peminat buku dan pembaca Malaysiakini. Ulasan ini disiarkan di portal Malaysiakini pada 4 Julai 2025. Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.]