Sai Vijay @ Vijay a/l R. Pragash dilahirkan di Kajang, Selangor pada 6 Mei 2000. Beliau melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Visual dengan Kepujian di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Kini beliau menetap di Semenyih, Selangor dan bekerja sebagai pelukis dengan mengusahakan jenamanya, AV Arts Studio sejak tahun 2019.
Sai Vijay memulakan kerjaya dalam bidang seni sejak kecil dan tampil dalam pameran pertamanya pada usia 15 tahun bersama sembilan pelukis lain di Balai Berita News Straits Times pada tahun 2015. Salah satu karya beliau yang bertajuk Refreshment merupakan karya pertama yang terjual pada hari perasmian pameran tersebut. Beliau mendapat liputan di akhbar seperti News Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro.
Pameran ketiga disertai Sai Vijay pada tahun 2017 telah memperkenalkan nama beliau sehingga mendapat jemputan ke program Vizhuthugal di Astro Vaanavil bagi sesi temu bual secara langsung. Sai Vijay menyertai pelbagai pameran seni lukis berkumpulan dan merupakan ahli Persatuan Komuniti Pelukis India Malaysia (IACoM).
Selepas 10 tahun terlibat secara aktif, dengan sembilan pameran berkumpulan, beliau menganjurkan pameran solo pertama, iaitu pameran kesepuluh beliau, di Anak Baba, Brickfields pada 27 September 2025 sempena Bicara Nayagi.
Selain aktif dalam pameran, Sai Vijay juga menjalankan perniagaan melukis potret tempahan. Di samping itu, beliau turut mempunyai minat mendalam dalam bidang perfileman sejak tahun 2020 dengan melibatkan diri sebagai pelakon, penulis skrip dan pengarah.
Selepas berkerja dalam lebih 10 projek filem pendek, beliau berlakon dalam filem cereka pertama berjudul Irudhi Strike yang dijadualkan tayangan di pawagam seluruh negara pada 30 Oktober 2025.