3 Nov 2025

Catatan Tentang Kisah-kisah Panchatantra

Berikut saya mendokumentasi catatan sepanjang menguruskan projek menceritakan semula Panchatantra dalam Bahasa Malaysia. Catatan ini khusus berkaitan kisah-kisah dalam teks asal dan pengalaman saya menangani proses penceritaan semula.

Sebagaimana dilakukan dalam usaha menceritakan semula Thirukkural dan Megha Duta (2018), Ramayana dan Mahabharata (2019), Bhagavad Gita (2021), Khanda Puranam (2022), serta Katha Sarit Sagara (2023), saya membaca pelbagai teks dalam pelbagai versi dan bahasa.

Apa yang saya lakukan bukan terjemahan; sebaliknya penceritaan semula dengan gaya bahasa dan gaya penulisan tersendiri.

3 November 2025:

Bahagian awal menceritakan bagaimana kisah dalam teks Panchatantra bermula. Saya memutuskan untuk tidak bercerita tentang sejarah, asal usul, dan pelbagai maklumat di sebalik kelahiran teks klasik ini. Mungkin akan dimasukkan sedikit pada bahagian “Prakata”. Orang ramai boleh membaca rencana “Panchatantra, Kisah Binatang Tentang Manusia” (Utusan Malaysia, 26 Jun 2021) yang dimasukkan dalam buku Suvarna Bhumi (2022).

Cerita 1 dalam Buku 1 berkisah tentang seekor lembu yang ditinggalkan selepas patah kaki. Kemudian, cerita berbingkai dimasukkan pula kisah ringkas (Cerita 2) tentang seekor monyet yang penyibuk. Berjaya menulis sekitar 2,300 perkataan pada hari pertama selepas mengkaji dan meneliti kisah-kisah daripada pelbagai sumber dalam pelbagai bahasa.

4 November 2025:

Mungkin juga kerja terjemahan langsung (direct translation) lebih mudah kerana hanya perlu bergantung kepada satu teks induk. Berbeza dengan apa yang sering saya lakukan iaitu mengusahakan penceritaan semula sambil membaca pelbagai teks dalam pelbagai bahasa. Memang prosesnya lebih lama dan rumit, tetapi lebih menyeronokkan kerana saya berpeluang menikmati dan menghayati variasi teks sepanjang proses penulisan.

Dalam usaha mendapatkan jawatan penasihat kepada raja rimba, serigala bernama Damanaka menyampaikan Cerita 3 tentang seekor serigala. Damanaka dan Karataka ialah watak serigala yang penting dalam Panchatantra. Malah, nama serigala inilah dijadikan judul buku dalam terjemahan bahasa Parsi (Kalilag-o Demnag) dan Arab (Kalila wa Dimna).

Damanaka yang licik cuba memanipulasi raja rimba dan sang lembu demi kepentingan peribadi.

5 November 2025:

Kisah tentang sang singa, sang serigala, dan sang lembu diselitkan pula Cerita 4 tentang seorang saudagar kaya yang menghina seorang tukang sapu. Kesemua kisah dalam cerita berbingkai ini saling berkait, atau sekurang-kurangnya berperanan menguatkan cerita utama. Tentu sahaja setiap cerita ada nilai, moral, dan pengajaran yang cuba disampaikan menerusi watak-watak binatang. Maka, kisah Panchatantra sesuai bagi kanak-kanak. Pada masa sama, pembaca remaja dan dewasa boleh membaca kisah-kisah ini untuk lebih memahami realiti kehidupan seharian pada masa kini.

10 November 2025:

Keunikan plot cerita berbingkai ialah di dalam sebuah cerita boleh ada beberapa lagi cerita, dan di dalam cerita itu pula mungkin ada cerita lain, sebelum kembali kepada cerita asal. Misalnya, Damanaka menyampaikan tiga buah cerita-dalam-cerita kepada Karataka. Cerita 5 mengenai seorang penyamun yang mahu menipu seorang lelaki alim, Cerita 6 tentang kambing biri-biri yang dilihat oleh lelaki alim itu, dan Cerita 7 berkaitan kisah dua pasangan suami-isteri yang disaksikan oleh si lelaki alim. Malah, Cerita 7 selalu ditinggalkan (dibuang) dalam versi buku kanak-kanak. Saya kekalkan kerana mahu pembaca menikmati cerita asal sebagaimana terdapat dalam versi Sanskrit. Panjang manuskrip sehingga kini ialah sekitar 6,200 perkataan.

13 November 2025:

Apabila membaca cerita-cerita dalam teks Panchatantra, anda akan sedar bahawa kebanyakan cerita ini pernah didengar atau dibaca pada usia kanak-kanak. Selama ini, anda mungkin menyangka cerita-cerita moral ini merupakan kisah-kisah dari Eropah yang diceritakan semula. Sebenarnya, kesemuanya merupakan kisah-kisah dalam teks Sanskrit yang diterjemah kepada bahasa Parsi, Arab, Perancis, Inggeris, dan sebagainya, sebelum dibawa pula ke negara kita, lalu disajikan sebagai “cerita moral” (moral stories).

Sebagai contoh, Cerita 8 ialah kisah mengenai sepasang burung gagak yang berusaha membunuh seekor ular tedung kerana ular itu membunuh anak-anak mereka. Cerita yang anda baca semasa di sekolah rendah, bukan? Cerita 9 pula mengenai seekor bangau yang menipu ikan-ikan di kolam untuk menjadikan mereka makanan harian. Saya ceritakan semula cerita-cerita ini daripada versi asal Sanskrit. Sekurang-kurangnya boleh membantu anda terkenang zaman kanak-kanak.

20 November 2025:

Walaupun pada mulanya saya merancang untuk menulis setiap hari, ternyata sukar untuk melakukannya secara penuh disiplin. Bagaimanapun, tidaklah bermakna saya tidak membaca dan menulis pada setiap hari. Sebenarnya, saya perlu mengimbangi masa bagi kerja-kerja lain berkaitan penulisan, pembacaan, penyuntingan, penyediaan kertas kerja, terjemahan dan seumpamanya. Pada masa sama, seperti yang sudah dimaklumkan, saya tidak melakukan terjemahan kisah-kisah Panchatantra, sebaliknya membaca pelbagai versi dalam pelbagai bahasa sebelum melakukan penceritaan semula khusus untuk buku yang sedang diusahakan.

Cerita 9 adalah satu lagi cerita yang pasti anda pernah baca pada usia kanak-kanak. Ia berkaitan seekor arnab, seekor singa, dan bayang-bayang pada permukaan air perigi. Dalam buku ini, memandangkan ia bukan buku cerita moral bagi kanak-kanak, saya lebih bebas bercerita mengikut cerita asal versi Sanskrit. Pada masa sama, Cerita 9 ialah cerita berbingkai dalam Cerita 3 melibatkan watak Damanaka dan Karataka.

Akan dikemas kini dari semasa ke semasa …