Tuesday, 26 January 2010

Sevisei Sitter

Sevisei Sitter Re. Shanmugam mungkin tidak memiliki pendidikan formal yang tinggi, tetapi bakat semula jadi dan pengalaman yang dimiliki menjadikan beliau seorang tokoh seniman yang amat terkenal di kalangan masyarakat India di negara ini.
.

Beliau lahir sebagai anak sulung kepada pasangan Rengasamy dan Sinthamani Ammal pada 14 Disember 1934 di Kulim, Kedah. Tidak lama kemudian, mereka sekeluarga berpindah ke Bidong.

.

Semasa Perang Dunia Kedua dan Zaman Penjajahan Jepun (1942-1945), persekolahan Shanmugam terhenti. Malah, selepas perang, masalah kemiskinan menyebabkan beliau tidak dapat menyambung pelajaran.

.

Bapanya, Rengasamy bekerja sebagai posmen. Beliau seorang penyair dan pencinta bahasa Tamil. Pada setiap Ahad, Rengasamy, penyair Muttiah dan beberapa rakan lain berkumpul di rumah untuk membincangkan hal-hal mengenai perkembangan sastera Tamil.

.

Shanmugam yang berumur 12 pada waktu itu ditugaskan membawakan makanan dan minuman kepada para penyair berkenaan. Hasil daripada itulah Shanmugam mula meminati bidang seni dan sastera. Beliau juga mula membaca buku-buku kepunyaan bapanya untuk menambah ilmu dan pengalaman.

.

Selain daripada itu, Shanmugam juga secara semula jadi mempunyai bakat menyanyi lagu-lagu klasik dan karnatik Tamil. Pada masa itu, setiap kali perayaan di kuil, persembahan nyanyian dan drama pentas diadakan selama beberapa malam. Seorang pelakon, Vaitiyanathan dan seorang pemilik syarikat drama, Vasu menyedari minat yang ditunjukkan oleh Shanmugam.

.

Maka, Shanmugam diberi peluang untuk menyanyi dan berlakon. Peluang itu digunakan sebaik-baiknya untuk membuktikan kemampuan yang dimiliki. Shanmugam sudah memutuskan bahawa dia mahu menjadi seniman. Tidak hairanlah, apabila bapanya menghantar semula Shanmugam ke sekolah Tamil pada sekitar tahun 1947, dia hanya belajar hingga Darjah Empat.

.

Bapanya mahu Shanmugam menjadi peniaga. Maka, dia dihantar bekerja di beberapa kedai runcit. Semasa berumur sekitar 17 tahun, Shanmugam dibawa oleh sepupunya, Sundram, untuk bekerja di kedai runcit di Cameron Highlands, Pahang.

.

Selama lima tahun di sana, Shanmugam mula terkenal sebagai penyanyi muda yang berbakat di kalangan penduduk di Ringlet, Sungai Palas dan Tanah Rata. Beliau bersama-sama sekumpulan pemuda tempatan turut sering membuat persembahan drama pentas. Puisi-puisi Shanmugam juga mula mendapat tempat dalam akhbar Tamil Murasu hasil bimbingan penyair terkenal, Ka. Perumal dan K.M. Karupiah.

.

Shanmugam mula sering ke Pulau Pinang di mana beliau mula mengenali beberapa penulis muda berbakat yang menganggotai Tamil Maanavar Mani Mandram. Antaranya ialah N. Mariappan, Hassan Ghani, M. Sultan, Karaikilar, Karu Velusamy dan Karu Tiruvarasu. Kehadiran di kalangan penulis membuatkan Shanmugam semakin bercita-cita untuk menjadi seniman dan sasterawan.

.

N. Mariappan dan K.M. Hanif pula memberi peluang kepada Shanmugam untuk menyanyi dalam siaran Tamil di Radio Pulau Pinang dua kali sebulan. Pada masa yang sama jugalah beliau mula bercinta dengan seorang pelakon drama, Chandra yang berasal dari Bidor, Perak.

.

Shanmugam berpindah dari Cameron Highlands ke Pulau Pinang pada tahun 1950-an dan menjadi penulis, penyanyi dan seniman sepenuh masa. Semasa berlakon drama radio, beliau mendapat idea untuk menulis skrip drama radio.

.

Selepas berkahwin pada tahun 1962, Shanmugam dan Chandra tinggal di Taiping, Perak. Selain terus aktif di Radio Pulau Pinang, mereka juga menyertai kumpulan drama Kalaimahal Nadaga Kullu yang diusahakan oleh R.P.S. Maniam.

.

Malangnya, pada tahun 1960-an, tayangan filem Tamil di layar mula berkembang pesat dan menular ke kawasan ladang dan estet. Orang ramai mula meminati tayangan seumpama itu yang menampilkan pelakon-pelakon dari India. Malah, pada pandangan Shanmugam, industri drama pentas Tamil yang jatuh pada waktu itu tidak mampu bangun sehingga kini.

.

Nasib yang melanda perkembangan drama pentas Tamil di Malaysia telah beliau luahkan melalui sebuah cerpen berjudul “Oru Marabin Veelchi”. Tema itu juga sering diselitkan dalam skrip drama radio yang beliau hasilkan pada kemudian hari.

.

Shanmugam agak bernasib baik kerana mendapat peluang daripada R. Balakrishnan untuk bekerja di stesen radio di ibu negara. Maka, beliau dan isteri berpindah ke sebuah rumah di Jalan Berhala, Brickfields, Kuala Lumpur. Akan tetapi, oleh kerana tidak mempunyai kelulusan bahasa kebangsaan yang baik, beliau tidak diterima sebagai pekerja sepenuh masa.

.

Tidak lama kemudian, adiknya, Re. Kartigesu dan rakan karibnya, Hassan Ghani menyertai Radio Tamil sebagai pekerja tetap. Beliau juga berpeluang bertemu ramai rakan-rakan yang sama-sama meminati bidang seni dan sastera.

.

Selain bekerja di radio Tamil, Shanmugam juga terlibat secara aktif menulis skrip drama, berlakon, menulis lirik lagu, menggubah muzik, menulis puisi, esei dan cerpen untuk radio dan akhbar. Beliau juga bekerja sebagai pembaca pruf di akhbar Tamil Nesan untuk menampung kos menyara keluarga.

.

Drama “Mana Kadal” (“Lautan Hati”) yang ditulis oleh Shanmugam disiarkan secara bersiri di radio selama 104 minggu dan mendapat sambutan di luar dugaan daripada para pendengar. Apatah lagi, pada waktu itu belum ada saingan daripada televisyen.

.

Shanmugam turut menulis skrip drama bersiri mengenai Zaman Penjajahan Jepun berdasarkan pengalaman sendiri untuk Radio Tamil. Drama “Neenda Kaalam” (“Masa yang Panjang”) ke udara selama 52 minggu manakala drama “Irunda Kaalam” (“Zaman Kegelapan”) yang berkisarkan zaman keganasan komunis juga disiarkan selama 52 minggu.

.

Shanmugam turut menghasilkan lebih daripada seribu lagu yang ditulis, digubah muzik dan dinyanyikan sendiri oleh beliau. Beliau turut menulis lirik dan menggubah muzik bagi penyanyi lain sehingga kini.

.

Apabila televisyen diperkenalkan di Malaysia, Shanmugam mendapat peluang bekerja di bahagian rancangan Tamil. Beliau menjayakan program nyanyian “Inba Geetham” yang disiarkan selama setengah jam setiap minggu.

.

Beliau juga mula berminat untuk menghidupkan semula persembahan drama pentas. Drama sulung beliau bertajuk “Mana Kadal”, berdasarkan skrip drama radio yang ditulis dahulu. Memandangkan filem di pawagam dan televisyen amat berpengaruh, Shanmugam terpaksa bersusah-payah mendapatkan penonton hadir menyaksikan drama beliau!

.

Shanmugam pergi ke Tamil Nadu, India selama setahun pada 1965 untuk belajar muzik klasik dan karnatik secara sempurna. Sekembali ke tanah air pada tahun 1966, beliau kembali menjayakan pelbagai program di Radio Tamil bersama-sama isteri beliau dan rakan-rakan seperjuangan.

.

Shanmugam juga diperkenalkan kepada Seniman Agung P. Ramlee oleh Dato’ L. Krishnan. Hasil daripada perkenalan itu, P. Ramlee memilih Chandra sebagai pelakon wanita dalam filem Gerimis (1968). Pasangan Shanmugam dan Chandra juga selalu berkongsi pengalaman dan kisah suka-duka bersama pasangan P. Ramlee dan Saloma yang mula menjadi kenalan rapat.

.

Pada akhir tahun 1980, Shanmugam ditawarkan bekerja di Radio Tamil Singapura. Selama enam tahun di sana, Shanmugam telah menggunakan peluang sebaik-baiknya untuk menimba ilmu, menonjolkan bakat serta meningkatkan mutu siaran Radio Tamil.

.

Apabila pulang semula ke Malaysia pada tahun 1987, Shanmugam membuat drama pentas bertajuk “Naana? Neeya?” (“Kaukah? Atau Aku?”) iaitu sebuah komedi. Drama itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan dipentaskan lebih daripada dua puluh kali.

.

Dalam perkembangan terkini, anak-anak beliau, iaitu Malarvili, Tharmavathi dan Balamurali mengusahakan telemovie berbentuk VCD berdasarkan drama “Naana? Neeya?”. Ternyata mereka semua adalah keluarga seniman. Apatah lagi, Malarvili juga seorang penyanyi Tamil terkenal.

.

Pada sekitar akhir tahun 1989, Shanmugam mendapat peluang daripada Vijaya Singham untuk menulis skrip drama televisyen. Beliau menghasilkan skrip bagi telemovie bertajuk “Deepavali Parisu” (“Hadiah Deepavali”). Terdapat lebih daripada dua puluh skrip drama bersiri televisyen yang dihasilkan oleh Shanmugam sehingga kini.

.

Drama bersiri berjudul “Ottada Uravugal” disiarkan melalui RTM2, setiap Isnin-Rabu, 6:00 petang. Drama ini adalah berdasarkan novel Tediirukum Tarunangal karya adik beliau, Re. Kartigesu. Sebuah drama bersiri yang menunggu giliran untuk siaran ialah “Nenjangal” yang merupakan skrip asli tulisan Shanmugam.

.

Walaupun tidak mempunyai penguasaan bahasa Inggeris, Shanmugam tetap menimba ilmu melalui buku-buku yang diterjemah ke bahasa Tamil. Pada tahun 2006, beliau pergi ke London semata-mata untuk menonton persembahan beberapa teater di sana dan menimba ilmu serta pengalaman yang bakal dicurahkan dalam penulisan beliau pada masa hadapan.

.

Kumpulan puisi yang beliau terbitkan sendiri berjudul Pratanai (1989). Beliau turut menerbitkan sebuah memoir berdasarkan pengalaman dari tahun 1934 hingga 1987 dengan judul Indha Meedayil Sila Nadagangal (1997). Kumpulan cerpen terpilih beliau pula diterbitkan dengan judul Re. Shanmugam Kathaigal (2004).

.

Sesuai dengan perkembangan teknologi dan perisian komputer, Shanmugam yang kini tinggal di Petaling Jaya, Selangor menggunakan kemudahan komputer untuk menulis cerpen dan skrip drama.

.

Banyak penghargaan kecil dan besar yang Shanmugam terima atas sumbangan beliau yang tidak terhingga dalam bidang seni, sastera dan bahasa Tamil di negara ini. Pada tahun 1991, Sangeetha Aalayam, sebuah institusi yang khusus menjaga kebajikan seniman, memberi anugerah dan gelaran Sevisei Sitter kepada beliau.

.

Pada tahun 1992, Shanmugam menerima pingat Pingat Pangkuan Negara (PPN). Anugerah Tokoh Seniman Sepanjang Hayat 2003 diterima pada Festival Filem Tamil Antarabangsa, manakala pingat Ahli Mangku Negara (AMN) diterima pada tahun 2004.

.

(Uthaya Sankar SB, "Re. Shanmugam: Sevisei Sitter", Dewan Budaya, Jun 2007)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!