Friday, 19 January 2018

Biodata Suresh Kumar N Vellymalay

Dr. Suresh Kumar N Vellymalay dilahirkan di Taiping, Perak Darul Ridzuan. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan St. George dan Sekolah Menengah Kebangsaan St. George, Taiping sebelum melanjutkan pengajian ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau adalah lulusan bidang Antropologi dan Sosiologi dari Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan UKM bagi ijazah sarjana muda dengan kepujian (B.A.(Hons.)) dan seterusnya memperoleh ijazah sarjana (M. Soc. Sc.) dan ijazah kedoktoran (Ph.D) dalam bidang Antropologi dan Sosiologi dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM). Beliau kini bertugas sebagai Pensyarah Kanan di Bahagian Antropologi dan Sosiologi,  Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh USM. Bidang kepakaran Dr Suresh Kumar adalah kerjasama keluarga, sekolah dan komuniti, hubungan etnik, etnik minoriti, isu sosial, ketidaksamaan sosial dan kemiskinan bandar. Beliau banyak terlibat dalam penyelidikan tentang kerjasama keluarga, sekolah dan komuniti dan, hubungan etnik.

Beliau merupakan seorang penulis yang prolifik. Beliau bergiat aktif dalam penulisan buku dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Ibu Bapa dalam Pendidikan Anak di Sekolah (2015), Guru Hebat Penjana Tranformasi Pendidikan Negara (2015), Pendidikan Anak di Rumah: Penglibatan Ibu Bapa (2017), Hubungan Etnik di Sekolah: Mempertingkatkan Kesepaduan dalam Kepelbagaian (2017), Guru Berkesan Pemangkin Kecemerlangan (2017), Menzahirkan Anak Intelektual (2018) dan Kepercayaan dan Pantang Larang Masyarakat Tamil di Malaysia (2018) merupakan buku-buku yang diterbitkan oleh DBP. Beliau juga merupakan kolumnis bagi Majalah Pendidik. Tulisan beliau juga pernah diterbitkan dalam majalah Dewan Masyarakat selain puisi dalam akhbar Utusan Pengguna.

Dr Suresh Kumar merupakan pakar motivasi yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam menggendalikan program seminar dan ceramah motivasi bagi murid sekolah dan peringkat komuniti di bawah tema “pendidikan, estim diri dan kecemerlangan akademik” yang turut diperluas kepada kelompok sasaran guru. Selain itu, beliau juga pernah terlibat dalam menggendalikan beberapa program latihan di bawah tema “Estim diri dan budaya kerja positif’” dan “Kemahiran komunikasi berkesan” anjuran Unit Latihan USM. Dalam aspek latihan, beliau merupakan jurulatih bertauliah oleh Pembangunan Sumber Manusia Berhad, Kementerian Sumber Manusia. Beliau merupakan penerima Anugerah Dekan Perkhidmatan Cemerlang Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (USM, 2009), Anugerah Mini Sanggar Sanjung Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (USM, 2009), Anugerah Dekan Perkhidmatan Cemerlang Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (USM, 2010) dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (USM, 2014). - Baca juga - [Biodata Sasterawan Kavyan] - [Sasterawan Kavyan dan Sastera Kebangsaan

(Biodata dan foto dikirim oleh penulis menerusi e-mel pada 19 Januari 2018 untuk dokumentasi Kavyan)