21 Mar 2010

Ramayana dalam Pelbagai Versi

Ramayana adalah sebuah epik India yang agung. Ia ditulis dalam bahasa Sanskrit iaitu bahasa sastera dan agama yang dibaiki dan diperhalusi daripada bahasa Arya.
.

Tarikh sebenar Ramayana ditulis sukar dikesan, tetapi dipercayai ia ditulis antara abad ke-4 SM dan abad ke-2 M.

.

Penulis asal Ramayana ialah Valmiki iaitu seorang penyair agung. “Ayana” bermaksud “perjalanan hidup” atau “panduan hidup”. Rama pula adalah watak utama epik ini.

.

Ramayana adalah epik suci agama Hindu dan menjadi panduan hidup kepada para penganut. Ia juga merupakan karya sastera agung (adi-kavya) dan karya sejarah (itihasa).

.

Karya ini tersebar luas ke seluruh dunia bersama penyebaran agama Hindu. Epik ini juga dialih bahasa serta diubahsuai mengikut keadaan setempat.

.

Ramayana terdapat dalam bahasa Tamil, Telegu, Malayalam serta bahasa-bahasa lain di India. Ia juga ditemui di negara-negara Asia, terutamanya Malaysia, Thai, China, Jepun, Tibet, Fiji, Surinam, Indonesia dan Burma.

.

Tema Ramayana adalah tentang kebaikan menentang kejahatan. Cerita asas adalah mengenai penculikan Sita, isteri Rama, oleh Ravana. Lalu, Rama, Laksamana dan Hanuman berusaha menyelamatkan Sita.

.

Tidak lama selepas Sita diselamatkan dan mereka pulang ke Ayodhya, Rama mencurigai kesetiaan Sita. Maka Sita dihantar ke hutan.

.

Di situ, dia dipelihara oleh Valmiki. Penyair inilah yang kemudian kononnya menghasilkan Ramayana.

.

Epik ini sentiasa diubahsuai dan diberi interpretasi baru. Misalnya dalam versi di Tibet, Sita dikatakan anak Ravana. Hikayat Seri Rama (Malaysia) dan Ramajataka (Thai) pula menyebut Hanuman sebagai anak Rama.

.

Rama pula dipercayai adalah inkarnasi (avatara) Dewa Vishnu. Penganut agama Buddha pula percaya bahawa Rama adalah inkarnasi Gautama Buddha. Hanuman adalah inkarnasi Dewa Shiva yang kesebelas iaitu Rudra.

.

Ramayana juga menjadi bahan cerita bagi drama tari Kutiyattam, Kathakali, Yakshgana, Ramlila dan Therukuttu di India.

.

Di Kerala dan Mysore, India, ia menjadi sumber pertunjukan wayang kulit; seperti di Malaysia, Indonesia dan Thai.

.

Bentuk-bentuk seni persembahan seperti Wayang Wong dan Tari Puteri di Indonesia serta Nang Yai, Nang Talung dan Khon di Thai turut mengambil kisah daripada epik Ramayana.

.

Epik ini boleh didapati dalam pelbagai edisi dan bahasa. Ada edisi ringkas yang dipenuhi lukisan bagi bacaan kanak-kanak. Ada juga edisi yang sesuai bagi bacaan remaja dan dewasa.

.

Malah, pada setiap kali kita membacanya, kita boleh mendapat suatu pengalaman serta ilmu baru.

.

Epik Ramayana sentiasa diberi interpretasi baru dari masa ke semasa oleh para pengkaji yang peka dan berfikiran kritikal.

.

Misalnya Kembang Kanigara (DBP: 1992) karya S.M. Zakir cuba menghalusi jiwa Indrajit, anak Ravana. Hanuman: Potret Diri (DBP: 1996) pula menghalusi jiwa Hanuman, si kera putih bermata hijau.

.

Di tangan Uthaya Sankar SB juga lahir beberapa cerpen parodi yang mengambil bahan daripada pelbagai versi Ramayana. Antaranya “Bitara Sita”, “Bitara Rama”, “Sengketa Pulau Cinta” dan “Sasterawan Pulau Cinta”.

.

Ramayana, sebagaimana juga Mahabharata, Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu, adalah umpama telaga ilmu yang boleh terus ditimba airnya. Makin kita menimba, makin jernih dan segar air yang kita perolehi.

.

Generasi baru diharap akan terus menaruh minat terhadap epik-epik seperti ini. Mereka diharap berupaya menghayati dan menginterpretasi apa yang tersirat di dalamnya.

.

[Sila KLIK DI SINI untuk "Ramayana dari Sudut Pandangan yang Lain"]

.

(Uthaya Sankar SB, Utusan Malaysia, 9 Mac 1996)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!