15 Jun 2010

Catatan Vanakam

Judul Buku: Vanakam
Penyelenggara: Uthaya Sankar SB
Penerbit: Uthaya Sankar SB
Cetakan Pertama: 2002
ISBN: 983-40562-2-2
Harga Pasaran: RM15.00
..
Senarai Cerpen (susunan abjad):
..

Bahang Pelukan oleh Sritharanee

Cat oleh Uthaya Sankar SB
I Love You, Raj oleh Bathmavathi Krishnan
Kamovarthini oleh Retna Devi Balan
Langkah Pertama oleh Vijayaletchumy Vellasamy
Manggei oleh M. Mahendran
Meenatchi oleh S.G. Prabhawathy
Mendamba Puyu di Air Jernih oleh Saroja Theavy Balakrishnan
Tidak Sehaluan oleh Ganesan Duraisamy
Vie en France oleh Raja Rajeswari Seetha Raman
....

Vanakam. Kedua-dua tapak tangan ditemukan pada paras dada dan kepala ditunduk sedikit sebagai tanda hormat. Tentunya senyuman mesra akan menambah lagi seri dan keintiman dalam pertemuan.

..

Demikianlah perlakuan yang disebut vanakam dalam budaya kaum India di Malaysia. Perlakuan ini masih diamalkan, bukan sahaja dalam kalangan masyarakat India, tetapi kini turut diterima pakai oleh masyarakat lain sewaktu berkomunikasi dengan rakan-rakan kaum India.

..

Vanakam juga diucapkan sewaktu bertemu. Di sini, vanakam bermaksud “selamat sejahtera”. Apabila perbuatan menemukan kedua-dua tapak tangan ke paras dada disekalikan dengan ucapan vanakam, ia pasti mengeratkan hubungan antara dua individu tanpa mengira batas kaum dan agama.

..

Antologi Vanakam tampil atas dasar yang sama. Ia memperkenalkan kepada umum seramai sepuluh penulis kaum India yang menghasilkan cerpen Bahasa Malaysia. Dalam kalangan mereka, ada yang sudah pun dikenali oleh para peminat sastera tanah air. Pada kali ini, mereka hadir bersama beberapa penulis baru untuk sama-sama mengucapkan vanakam kepada khalayak sastera Malaysia.

..

Saroja Theavy Balakrishnan sudah menghasilkan kumpulan cerpen Gemerlapan (1997). Saya pula sudah menghasilkan beberapa buku; Sasterawan Pulau Cinta (2001) pula projek sulung dalam penerbitan sendiri. Kini, peluang dibuka kepada rakan-rakan lain untuk turut melihat karya dibukukan.

..

Antologi Vanakam menampilkan citra budaya kaum India sebagaimana yang dilihat oleh penulis kaum India sendiri. Antara keistimewaan antologi ini adalah pada hakikat bahawa ia mampu memberi peluang kepada pembaca pelbagai kaum meneliti citra budaya kaum India secara lebih tepat, jujur dan realistik.

..

Antologi Vanakam yang terbit pada 2 Februari 2002 juga mencatat sejarah sebagai antologi cerpen sulung yang memuatkan sepenuhnya karya penulis kaum India yang ditulis secara asli dalam Bahasa Malaysia iaitu bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara Malaysia.

..

Bagi saudara yang sedia mengetahui, pada mulanya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah meluluskan penerbitan antologi Vanakam @ Seutas Rantai Loceng Suasa yang memuatkan cerpen penulis kaum India. Saudara boleh membaca ulasan mengenai antologi berkenaan dalam majalah Dewan Sastera, Mei 1997. Akan tetapi setelah surat perjanjian penerbitan ditandatangan, DBP tidak bersetuju untuk menerbitkan antologi berkenaan dengan alasan utama istilah "Bahasa Malaysia" digunakan di dalamnya.

.

Penerbitan antologi berkenaan terbatal. Dan antologi Vanakam yang terbit pada 2002 tidak ada sebarang kaitan dengan DBP dan antologi Seutas Rantai Loceng Suasa. Harap maklum.

..

Kelahiran antologi cerpen Vanakam menandakan satu lagi titik kejayaan bagi Kavyan khasnya dan kaum India di Malaysia amnya. Vanakam membuktikan bahawa penulis kaum India di Malaysia bukan sahaja menerima Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi, malah berjaya menguasainya secara mendalam sehingga mampu melahirkan karya kreatif yang tidak dapat dipertikaikan dari segi kualiti.

.

Tentu sahaja saya berasa seronok kerana dapat menyelenggara, membuat reka letak, menyunting, membaca pruf, mereka konsep kulit dan menerbitkan antologi cerpen Vanakam yang menggabungkan karya penulis mapan dan penulis baru daripada kalangan kaum India di Malaysia. Ada penulis dewasa dan ada penulis remaja. Tidak mustahil antologi Vanakam dijadikan kajian untuk melihat citra penulis kaum India Malaysia!

..

Pasti lebih banyak sejarah akan dicipta oleh Kavyan dan para penulis kaum India!

..

Terima kasih kepada akhbar New Straits Times dan Radio 6 (Minnal FM) RTM yang telah membuat promosi mengenai antologi ini semasa saya dalam proses mengumpul cerpen dahulu.

..

Sila KLIK DI SINI untuk membaca ulasan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan sila KLIK DI SINI untuk membaca catatan menggunakan Bahasa Inggeris.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!