Buku “Suvarna Bhumi” setebal 500 halaman dan memuatkan 73 esei Bahasa Malaysia. Saya menyunting satu demi satu esei berkenaan secara teliti dari 17 Oktober hingga 8 November 2021. Penambahbaikan juga dilakukan supaya pembaca boleh menikmati maklumat tambahan dan terkini berkaitan topik-topik yang diketengahkan.
Berikut merupakan catatan harian yang dibuat selepas saya selesai menyunting setiap esei. Semoga catatan ini turut membantu para penyumbang budiman lebih mengenali kandungan buku berkenaan.
17 Oktober 2021:
1. Tuhan adalah Tuhan. Tidak ada Tuhan lain. Titik. Demikian saya tegaskan dalam sebuah rencana pada Oktober 2013. Ternyata tindakan fasis dan subversif DBP menafikan hak umat Bukan Islam menggunakan “Tuhan” sudah lama dirancang secara penuh licik. MIC pula tunduk kepada manipulasi DBP dalam isu novel Interlok pada tahun 2011. Selepas istilah “Allah”, saya membayangkan bahawa “Tuhan” juga akan dituntut sebagai milik eksklusif oleh puak tertentu.
2. Ada pelbagai mazhab dalam Buddhisme. Ajarannya juga agak kompleks – sepertimana ajaran Hindu – dan sering disalahertikan masyarakat Malaysia. Konvoi Rumah Ibadat anjuran Kavyan mulai 2010 turut memberi peluang kepada peserta pelbagai kaum dan agama mengunjungi wat dan berinteraksi dengan bhikkhu untuk menambah ilmu. Esei ini merupakan pelengkap kepada makalah yang termuat dalam buku Malaiur Manikam (2015).
3. Apabila Persatuan Telugu Malaysia pada tahun 2014 meminta supaya keturunan “Telugu” dikekalkan dalam sijil kelahiran, mereka menjadi mangsa amarah “pejuang Tamil”. Pada waktu itu juga saya menyedari maklumat keturunan saya sudah diubah! Makalah penuh kontroversi mengenai keturunan, kaum, dan bangsa ada dalam Malaiur Manikam (2015). Esei ini pula khusus mengenai konsep keturunan, identiti, dan jati diri dalam kalangan kaum India di Malaysia.
18 Oktober 2021:
4. Sama-sama kita doakan supaya roh arwah ditempatkan dalam kalangan golongan yang soleh, dicucuri rahmat Allah, serta dikurniakan husnul khatimah. Demikian fikiran saya setiap kali membaca dan meneliti tulisan berkaitan misteri kematian Rabia Salam pada tahun 1994. Saya masih berharap himpunan kisah dan berita yang termuat dalam makalah ini akan membuka pintu untuk kita akhirnya menemui jawapan kepada punca sebenar atlet muda itu membunuh diri.
5. Raja Rajeswari Seetha Raman dan editor Dewan Sastera, Fadli Al-Akiti pernah bersekongkol menyiarkan “kajian ilmiah” menggunakan data palsu dan fakta rekaan di majalah berkenaan. Tujuan tulisan itu terbukti semata-mata mahu menyebarkan fitnah dan data palsu mengenai penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia, Tamil, dan Inggeris. Saya pula mengumpul maklumat daripada para Sasterawan Kavyan, lalu menulis artikel untuk menjawab fitnah itu.
6. Walaupun Kavyan diterajui sekumpulan penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia, kehadiran khalayak pelbagai kaum yang menghasilkan karya bahasa Inggeris, Tamil, dan Mandarin turut dialu-alukan dan diraikan dengan penuh gembira. Sebuah esei ditulis khusus untuk Dewan Sastera bagi membetulkan data palsu dan fakta rekaan yang tersiar sebelum ini di majalah berkenaan. Jika tidak, khalayak sastera akan mempercayai berita palsu (fake news) yang disebarkan oleh Raja Rajeswari dan Fadli Al-Akiti.
7. Salah satu salah tanggap, prejudis, dan stereotaip yang terus wujud terhadap kaum India adalah bahawa kelompok ini kurang terbuka terhadap kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, bahasa komunikasi, bahasa rasmi, bahasa perpaduan, dan bahasa pengantar. Berbekalkan pengalaman sendiri sejak kanak-kanak serta pengalaman Kavyan sejak 1999, saya berhujah bahawa kaum India menerima sepenuhnya Bahasa Malaysia dalam kehidupan seharian. Sebarang pandangan yang sebaliknya hanya tuduhan berniat jahat daipada pihak tidak bertanggungjawab.
8. Sekolah Tamil (SJKT) dan
Cina (SJKC) sering dituduh menjadi punca generasi muda Bukan Melayu tidak
menguasai Bahasa Malaysia. Bagi orang seperti Teo Kok
Seong
dan Ku Seman Ku Hussain, kumpulan ini lebih
teruk daripada orang Bangladesh dalam soal mempelajari bahasa Melayu. Hasil
pengalaman dan penelitian Kavyan pula, ramai murid dan guru di sekolah
vernakular ada minat dan penguasaan Bahasa Malaysia yang sangat menakjubkan.
Maka, mengapa dikatakan sistem pendidikan vernakular melambatkan usaha memartabatkan Bahasa
Malaysia?
19 Oktober 2021:
9. Epik Ramayana tulisan Valmiki sebenarnya sebuah fiksyen sains yang menggambarkan pelbagai teknologi yang mustahil wujud pada zaman itu. Contoh terbaik yang masih menjadi bahan kajian pakar aerodinamik dan aeronautik di India dan Amerika Syarikat ialah Pushpa Vimana. Selepas membaca esei ini, anda pasti tidak akan membaca Ramayana dan Mahabharata dengan cara yang sama.
10. Sesi latihan kolattam pernah dikendalikan di bawah Projek Komuniti Kavyan di Aulong Lama, Taiping, Perak mulai Jun 2017. Kanak-kanak, remaja, dan belia bukan sahaja terhibur mempelajari seni persembahan tradisional, malah teruja apabila diundang membuat persembahan pada pelbagai acara. Sebuah esei ditulis untuk mendokumentasi seni persembahan kolattam yang wajar terus dipelihara sebagai warisan budaya.
20 Oktober 2021:
11. Pada Mei 2019, Pusat Aduan Rakyat Malaysia (PAR Malaysia) menyerahkan memorandum kepada Kementerian Dalam negeri (KDN) bagi menggesa buku Malaiur Manikam (2015) diharamkan. “This book written by a Hindu without any knowledge about Hinduism and he is neither a spiritual master nor a Hindu scholar,” kata puak berkenaan. Mereka pasti terkejut besar, sakit jantung, dan terberak dalam seluar apabila membaca “Dewa Ganesha ketinggalan zaman” dalam kumpulan esei baharu ini.
12. Susulan penyiaran esei mengenai veshti, buat pertama kali, Berita Bernama (Tamil) menyiarkan liputan khas di televisyen pada 6 Januari 2019 sempena sambutan Veshti Dhinam. Tentu sahaja saya berasa gembira kerana berpeluang memainkan peranan mendidik masyarakat pelbagai kaum di Malaysia tentang pakaian tradisional kaum India. Keunikan cara mengikat veshti oleh orang Tamil, Malayali, dan Telugu turut dihurai dalam esei berkenaan.
13. Salah satu permainan tradisional kaum India yang cukup menarik untuk dipelajari dan diamalkan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia ialah Aadu Puli Aatam. Sekiranya diterjemah, ia membawa makna “Permainan Kambing dan Harimau”. Agak menakjubkan kerana permainan yang menguji minda ini turut ada di pelbagai negara selain India. Sebuah esei ditulis untuk memperkenalkan semula permainan ini kepada generasi muda.
21 Oktober
2021:
14. Ada sekurang-kurangnya 1,500 penulis Tamil tempatan menjadi ahli Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia. Namun, sehingga kini, tidak ada seorang pun dikenal pasti aktif menyumbang kepada perkembangan Sastera Kebangsaan, iaitu bidang penulisan Bahasa Malaysia. Mungkin senario pada hari ini amat berbeza jika persatuan itu berjaya menjadi ahli kerabat GAPENA pada tahun 1972. Kisah itu turut didokumentasi dalam sebuah esei sebagai penyuntik semangat pada masa depan.
15. Golongan penulis kaum India di Malaysia sudah melalui perjalanan panjang dalam Sastera Kebangsaan sejak tahun 1960-an. Mereka diyakini akan terus menyerlah dan memberi sumbangan yang signifikan dan bermakna kepada bidang penulisan Bahasa Malaysia. Buku Kavyan Sastra (2021) merupakan bahan dokumentasi paling lengkap setakat ini. Beberapa sumbangan, harapan, dan impian golongan Sasterawan Kavyan diperkatakan juga dalam kumpulan esei baharu ini.
16. Saras Manickam menjadi sebutan ramai apabila cerpen “My Mother Pattu” diumum sebagai pemenang Hadiah Cerpen Komanwel bagi rantau Asia pada Mei 2019. Saya bertemu beliau untuk wawancara khas bagi ruangan “Sastera Antarabangsa” di majalah Dewan Sastera. Pelbagai topik dan isu penting dibincangkan secara penuh santai. Salah satu keistimewaan Saras Manickam adalah pemaparan watak dan budaya orang Malaysia dalam karya bahasa Inggeris. Esei ini akan membantu orang ramai lebih mengenali beliau.
17. “Berikan dua atau tiga dekad — saya amat pasti akan muncul bakat-bakat Bukan Melayu yang cukup menarik,” kata Ismail Hussein dalam wawancara di Dewan Sastera (April 1982). Beliau tidak mahu Sastera Kebangsaan terus “terkurung dalam tradisi alam pemikiran Melayu-Islam” (Dewan Sastera, Jun 1982). Kavyan berasa bangga kerana turut berperanan memastikan impian Allahyarham menjadi kenyataan. Komen dan pandangan beliau dipaparkan dalam sebuah esei khas.
22 Oktober 2021:
18. Unsur Hindu dan Islam kerap diselitkan dalam cerpen Bahasa Malaysia yang dihasilkan oleh penulis kaum India. Namun begitu, pemaparan elemen agama Kristian amat jarang ditemui dalam Sastera Kebangsaan. Sejak dahulu, dalam Sastera Melayu, watak Kristian ditampilkan sebagai antagonis atau diakhiri dengan individu itu masuk Islam. Dalam situasi ini, Saroja Theavy Balakrishnan secara bijak berjaya mengetengahkan Roh Kudus dan ajaran Kristian dalam sebuah cerpen. Karya itu diulas untuk membantu pembaca lebih memahami mesej sebenar yang cuba disampaikan.
19. Pada November 2017, saya membuat pembentangan mengenai upacara perkahwinan Hindu sempena seminar di Muzium Sultan Alam Shah. Kemudian, bahan pembentangan digunakan bagi menulis sebuah rencana untuk majalah Dewan Budaya (Januari 2020). Walaupun tidak ada satu amalan standard bagi pelbagai keturunan, agama, dan mazhab dalam kalangan kaum India, esei ini diharap mampu membantu pemahaman masyarakat awam.
23 Oktober 2021:
20. Tahukah anda? Seni melukis kolem bukan hanya ada unsur budaya tetapi juga menyumbang kepada kajian sains dan akademik pada peringkat universiti. Di negara India, ramai pakar sains, kejuruteraan komputer, fizik, dan matematik melakukan kajian ilmiah terhadap corak, rekaan, titik, dan garisan pada lukisan kolem tradisional. Mereka mengkaji algoritma yang terkandung dalam proses menghasilkan pelbagai bentuk kolem. Salah sebuah esei dalam buku ini memuatkan pelbagai fakta yang wajar anda ketahui tentang tradisi melukis kolem.
21. Apabila bercakap tentang Sastera Kebangsaan, bukanlah peranan dan tanggungjawab penulis untuk menampilkan watak Melayu, Cina, India, Siam, Iban, Melanau, Bajau, Murut, Jahai, Temuan, dan sebagainya dalam cerpen dan novel yang dihasilkan. Sebaliknya, para penulis hanya perlu memainkan peranan memaparkan realiti hidup komunitinya dalam karya. Perkara ini saya tegaskan dalam bengkel penulisan dan menerusi kebanyakan tulisan. Saya tegaskan semula keunikan itu dalam buku ini.
22. Mahathir Mohamad sering mencanangkan asimilasi sebagai langkah menyatukan rakyat ke arah pembinaan Bangsa Malaysia. Sebenarnya, asimilasi bukan pilihan bijak bagi Malaysia yang meraikan kepelbagaian. Sebaliknya, kita perlu memahami makna pelbagai bentuk fobia — Islamofobia, xenofobia — dan pelbagai -isme — etnosentrisme, xenosentrisme, relativisme — serta konsep amalgamated bagi melahirkan Bangsa Malaysia tanpa jatuh ke dalam jerat Mahathirisme.
23. Ramai dalam kalangan kita masih meletakkan atau melonggokkan kaum India dalam satu kelompok yang sama dan serupa (stereotaip). Tindakan jahil ini menunjukkan kelemahan kita kerana gagal memahami realiti kepelbagaian bahasa, keturunan, budaya, dan agama yang wujud dalam komuniti Tamil, Malayali, Telugu, dan Punjabi. Beberapa esei dalam buku ini diharap dapat membantu kita menjadi individu yang lebih sensitif dan prihatin.
24. Saya menulis sebuah rencana khas sempena pameran Sayang Menyayang: A Batik Fine Art Tribute to Merdeka and Malaysia yang berlangsung secara maya di Balai Seni Menara Maybank pada 24 Ogos – 19 September 2020. Menerusi esei itu, saya mengimbau keharmonian hidup masyarakat majmuk pada masa lalu dan mencadangkan langkah yang boleh kita lakukan sekarang kerana benih yang kita tanam hari ini pasti membuahkan hasil dalam masa terdekat.
24 Oktober 2021:
25. Sementara kaum India di Malaysia tetap berbangga dengan identiti dan jati diri keturunan Tamil, Malayali, Telugu, Punjabi, Benggali, dan sebagainya, agak sedih apabila rata-rata orang Melayu “terpaksa” menanggalkan dan meninggalkan budaya dan bahasa ibunda keturunan masing-masing. Identiti Bugis, Jawa, Minangkabau, Boyan, Mandailing, Banjar, Kerinci, dan pelbagai etnik lain semakin pupus. Saya dikecam kerana berani mengetengahkan pelbagai topik sensitif tentang “Melayu” dalam buku Malaiur Manikam (2015). Maka, saya lakukan lagi dalam buku baharu ini.
26. Secara tradisi, Onam disambut sepanjang bulan Chingam (Ogos/September) tetapi kemudian hanya diraikan selama sepuluh hari oleh penduduk Malayali di Kerala, India. Dalam kalangan diaspora Malayali di Malaysia pula, sambutan lazimnya hanya selama sehari dan lebih berupa upacara melibatkan ahli keluarga. Selain daripada Onapookolam dan mundum neriyathum, sambutan Onam tidak lengkap tanpa hidangan Onam Sadhya. Saya gembira kerana generasi muda masih mempertahankan budaya, identiti, dan jati diri.
27. Pada tahun 1970-an, terdapat usaha menterjemah karya bahasa Tamil tempatan kepada Bahasa Malaysia. G. Soosai dan Joseph Selvam terlibat secara aktif dalam usaha itu, selain turut menghasilkan karya Bahasa Malaysia. Selepas tahun 2000, selain daripada M. Mahendran, nampaknya jarang ditemui penulis kaum India yang menceburi bidang penulisan kedua-dua bahasa secara konsisten.
25 Oktober 2021:
28. Hubungan langsung saya dengan penduduk Kampung Chetti di Melaka bermula pada tahun 2006. Beberapa artikel ditulis untuk menonjolkan keunikan sejarah dan budaya komuniti ini. Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) turut berusaha melatih generasi muda Chetti Melaka menulis dan mendokumentasi keunikan yang dimiliki. Blog “Solidariti Kampung Chetti” khusus mendokumentasi kisah Kampung Chetti yang pernah berdepan ancaman akibat pembinaan di “Lot 93”. Sedikit keunikan Chetti Melaka dimuatkan dalam buku ini supaya orang ramai tidak lupa tentang komuniti berkenaan.
29. Perkataan “Senoi” membawa makna “orang” dalam bahasa Semai dan Temiar. Suku kaum Jakun dan Sakai merupakan sebahagian Orang Asli yang sesungguhnya merupakan “orang asal” dan “bumiputera” di negara ini. Kita patut berbangga dengan pencapaian Orang Asli dalam pelbagai bidang, walaupun kejayaan mereka sering tidak didendang. Sebaliknya, mereka sering dilabel sebagai “penceroboh” apabila mempertahankan tanah adat. Saya menulis sebuah esei ringkas untuk “memperkenalkan” pelbagai suku kaum Orang Asli di Semenanjung Malaysia.
30. Ada sebab mengapa orang ramai masih menggelarkan orang Punjabi sebagai “Benggali”. Ada juga sebab mengapa orang Tamil pada masa silam kurang bergaul dengan orang Punjabi. Malah, ada pula sebab mengapa orang Punjabi pernah menghadapi masalah membeli unit Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) pada tahun 2018. Generasi muda komuniti itu yang majoriti beragama Sikh juga sedang berdepan cabaran mengekalkan identiti dan jati diri. Hal-hal ini juga dilihat sepintas lalu untuk membuka pintu perbahasan positif.
31. Pada 2013, kerajaan mengesahkan status Bumiputera bagi komuniti Siam di Malaysia. Status itu turut diperakui dalam Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Walau bagaimanapun, apakah pengiktirafan itu hanya pada kertas atau benar-benar dilaksanakan tanpa pilih kasih? Mungkin kita akan lebih memahami isu ini apabila kita berpeluang mengenali sejarah, budaya, dan amalan/agama orang Siam di Malaysia.
32. Majalah Dewan Siswa diterbitkan sejak Januari 1979. Dalam keluaran Jun 1989, seorang remaja kaum India yang lengkap berpakaian penari bharatanatyam menghiasi kulit depan. Saya berjaya mengesan Chitra Devarajoo pada Oktober 2020 dengan “kuasa” Facebook dan bantuan rakan-rakan. Lalu, saya menulis sebuah rencana pendek di akhbar Utusan Malaysia dan sebuah rencana lebih terperinci bagi majalah Dewan Budaya. Saya harap kisah Chitra akan membantu generasi muda mencintai budaya tradisional.
26 Oktober 2021:
33. Tahukah anda? Sehingga kini masih ada usaha pihak tertentu mendesak supaya Deepavali tidak diiktiraf sebagai cuti umum di Malaysia. Semuanya bermula pada tahun 1947 apabila Persekutuan Liga Dravidian yang memperjuangkan bahasa Tamil, budaya Tamil, dan menentang penggunaan istilah “India” mahu hanya sambutan ponggal (pesta menuai) orang Tamil diiktiraf kerajaan Malaya (Malaysia). Sedikit maklumat berkaitan sambutan pesta cahaya dikongsi dalam buku ini demi manfaat orang ramai.
34. Persekutuan Malaysia diasaskan pada tahun 1963. Akan tetapi, istilah “Malaysia” sudah sedia digunakan pelbagai pihak jauh sebelum itu. Misalnya, sudah ada akhbar Malaysia Malayalee sejak tahun 1920-an di Malaya. Ada buku berjudul Malaysia terbit pada tahun 1937. Malah, nama “Malaysia” pernah dicadangkan pada 1831 bagi seluruh Nusantara! Apa pelbagai maklumat menarik yang tidak diajar di sekolah. Semuanya disajikan dalam kumpulan esei ini untuk menjadikan anda lebih berilmu dan bijaksana.
27 Oktober 2021:
35. Mengikut rekod terkini Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), terdapat 29 pertubuhan komuniti Malayali yang masih aktif di Malaysia. Secara perbandingan, hanya 32 daripada 450 pertubuhan “Tamil” berdaftar masih aktif. Pertubuhan pertama bagi orang Malayali di Malaya diasaskan pada tahun 1917. Sejak itu, komuniti “minoriti dalam minoriti” ini — secara individu atau berkumpulan — terus gigih mempertahankan identiti dan jati diri sambil berbangga menjadi sebahagian daripada masyarakat majmuk di Malaysia.
36. Sejumlah 17 remaja kaum India pernah mengikuti program Minggu Remaja/Minggu Penulis Remaja anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sejak tahun 1985. Anehnya, cerpen hanya seorang daripada 17 peserta itu tersiar di majalah Dewan Siswa sehingga kini (November 2021). Majalah Dewan Siswa terbit sejak Januari 1979, tetapi sehingga kini, hanya 13 cerpen oleh 5 penulis kaum India pernah disiarkan di sana. Sebuah esei ditulis khusus untuk menganalisis situasi ini.
37. Selepas berusaha lebih 30 tahun, M. Mahendran berjaya menembusi majalah Dewan Sastera pada tahun 2019. Saya amat tertarik dengan cerpen “Demi Revathy Kutti” kerana ia menampakkan kematangan dan keunikan penulis veteran ini dalam sumbangannya kepada usaha memperkaya khazanah Sastera Kebangsaan. Menerusi watak seperti Vasanthi, Vengkatan, dan Revathy, pembaca berpeluang menikmati suasana hidup kaum India pada tahun 1980-an. Pelbagai unsur yang sering saya tekankan dalam bengkel penulisan ada pada karya berkenaan. Saya berasa gembira dapat menulis ulasan cerpen ini.
38. Jauh sebelum Malayan Union (1946), kita sudah ada Malay Union (1926) bagi orang Melayu jati (pure Malay) dan golongan “anak dagang” iaitu keturunan Aceh, Banjar, Boyan, Bugis, Jawa, Mandailing, Minangkabau, dan sebagainya dari Gugusan Kepulauan Melayu, khasnya Indonesia. Syarat ini menyebabkan sekelompok orang India Muslim gagal menjadi ahli dan memegang tampuk kepimpinan. Tentu sahaja keadaan ini amat berbeza dengan UMNO Pulau Pinang pada masa kini yang dikuasai golongan mamak. Sebuah esei ditulis untuk menceritakan perselisihan yang wujud akibat polemik “Melayu” pada masa lalu.
39. Buku teks Sejarah di sekolah dan universiti biasanya hanya menceritakan tentang usaha penjajah British membawa buruh Tamil dan Telugu untuk bekerja di ladang getah. Orang Malayali hanya digambarkan memegang jawatan lebih tinggi dan terhormat. Hampir tidak ada catatan — dalam buku teks atau dalam fiksyen Bahasa Malaysia dan Tamil — tentang sekelompok orang Malayali yang turut menjadi buruh ladang bersama-sama orang Tamil dan Telugu. Saya mengumpul data daripada pelbagai sumber, lalu menyajikannya dalam bentuk sebuah cereka.
28 Oktober 2021:
40. Pernah ada arahan di Sarawak bahawa “tuan besar” hanya boleh digunakan bagi Raja-raja Melayu. Di Malaya dahulu, “tuan” dikatakan hanya sesuai bagi “orang putih” dan orang Melayu berstatus tinggi; lelaki kaum India tidak boleh digelar “tuan”! Lelaki kaum Cina dianggap sesuai dipanggil “encik” manakala lelaki kaum India wajar dipanggil “ayya”, “tambi”, atau “mama” berdasarkan usia. Perihal penggunaan kata ganti nama diri pada masa lalu memang seronok diperhatikan kerana kita berpeluang memahami budaya dan pemikiran masyarakat pada zaman itu.
41. Bukanlah perkara mudah untuk anak muda kaum India terlibat sepenuhnya dalam bidang seni seramik. Tambahan pula, membuka sebuah studio dan terus gigih menghasilkan karya seni secara sepenuh masa semasa dunia diselubungi wabak Covid-19. Saya kagum dengan keunikan seni seramik Thanesh Kumar Letchumanan @ Thanesh Kichi yang memberi peluang kepada orang ramai menggunakan pancaindera bagi menikmati karya yang ada sentuhan budaya dan falsafah India-Hindu. Hasil perbualan dengan anak muda ini diabadikan dalam sebuah esei.
42. Raja Rajeswari Seetha Raman sudah menjadi simbol bagi data palsu dan fakta rekaan dalam penulisan. Anehnya, buku Direktori Penulis Malaysia (1990) terbitan DBP juga melakukan perkara sama. Beberapa individu yang dihubungi selepas saya membaca buku itu terkejut kerana mereka tidak pernah menghasilkan karya Bahasa Malaysia. Kisah ini mungkin dianggap lucu tetapi menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dalam usaha dokumentasi oleh pihak terbabit.
29 Oktober 2021:
43. Setahun selepas majalah Dewan Siswa diterbitkan, pelajar/remaja kaum India mula mengirim “surat pembaca”. Dari Januari 1979 hingga Disember 2012 (ruangan itu ditiadakan mulai Januari 2013), lebih daripada 80 remaja kaum India mengirim surat, termasuk untuk menyebut mereka gemar membaca cerpen-cerpen yang tersiar. Siapakah remaja ini dan apakah topik-topik yang menarik perhatian mereka? Suatu penelitian ringkas yang mungkin boleh membantu kita memahami psikologi pelajar kaum India sejak 40 tahun dahulu. Saya juga amat berharap dapat menghubungi mereka semua — berdasarkan nama yang dinyatakan dalam esei.
44. Dalam teks asal Bhagavad Gita gubahan Vyasa, kisah di medan perang Kurukshetra disampaikan menerusi 701 sloka yang diucapkan oleh Dhritarashtra, Sanjaya, Arjuna, dan Krishna. Akan tetapi, dalam penceritaan semula Bhagavad Gita (2021), saya “membuang” Dhritarashtra, Sanjaya, dan Vyasa. Pasti ada sebab mengapa saya bertindak demikian secara penuh sedar dan terancang. Sebelum saya memulakan kerja penceritaan semula pada 30 Januari 2021 di Shah Alam, Selangor, saya menulis sebuah esei pada 7 Januari 2021 di Kangar, Perlis untuk menjelaskan pendirian saya dalam hal ini.
45. Tindakan licik, fasis, dan subversif DBP memperlekeh dan menghina umat Bukan Islam dengan menafikan hak penggunaan istilah “Tuhan” (huruf besar) akhirnya pecah tembelang apabila saya membaca antologi Meredah Kabus (2021). Para penulis, penyelenggara, dan pembimbing terbabit hanya menyedari perbuatan khianat DBP apabila saya membuat pendedahan terbuka. Mereka juga kecewa tetapi tidak mampu — atau tidak mahu — berbuat apa-apa. Maka, saya bersuara mewakili golongan minoriti (umat Bukan Islam) demi menuntut hak dan keadilan.
46. Terus-terang, saya tidak terkesan jika sesiapa memanggil saya “Keling”. Hal ini kerana saya orang Malayali. Namun begitu, saya tetap menyanggah penggunaan gelaran itu kepada kaum India di Malaysia kerana memiliki konotasi negatif yang disengajakan. Sebenarnya, orang Tamil di Malaysia juga tidak perlu marah kerana istilah “Keling” tidak merujuk kepada orang India-Hindu. Ramai yang pasti terkejut apabila mendapat tahu hal sebenar yang sebenarnya sudah terakam kemas dalam Sejarah Melayu. Selepas membaca fakta yang disajikan dalam buku ini, orang ramai diharap menjadi lebih berilmu dan prihatin.
30 Oktober 2021:
47. Pada 21 Mei 2021, saya mengeluarkan kenyataan rasmi “tidak mahu ada apa-apa kaitan dengan mana-mana pihak yang menafikan hak umat Bukan Islam menggunakan ‘Tuhan’ (huruf besar) dalam penulisan”. Selagi hak itu masih dinafikan, saya “tidak akan berasa selesa untuk bekerjasama dengan DBP kerana sudah jelas ‘kami’ (penulis Bukan Islam) tidak diperlukan, apatah lagi dihargai”. Kavyan juga “tidak akan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang tidak membenarkan kami menulis ‘Tuhan’ dengan huruf besar dalam karya yang dihasilkan”. Abang Sallehuddin Abg Shokeran bersara pada 16 Oktober 2021 dan meninggalkan legasi sebagai Ketua Pengarah DBP yang mengesahkan DBP sebuah organisasi rasis, fasis, dan subversif yang wujud semata-mata untuk memperlekeh dan menghina umat Bukan Islam. [Dia dilantik semula ke jawatan sama pada 29 November 2021. Semoga sudah bertaubat pada kali ini.] Pelbagai hujah mengenai isu ini juga didokumentasi dalam buku ini.
48. Orang yang tahu menggunakan Bahasa Malaysia dengan betul akan tahu membezakan antara “Batang Berjuntai” dan “batang berjuntai”, “Abu Bakar” dan “abu bakar”, “Zaitun” dan “zaitun”, “Kancil” dan “kancil”, “Perak” dan “perak”, “Melayu” dan “melayu”, “Timah” dan “timah”, “Gerakan” dan “gerakan”, “Agong” dan “agung”, “Allah” dan “allah”, serta “Tuhan” dan “tuhan”. Saya terpaksa menggunakan beberapa contoh mudah dan paling asas seperti ini untuk mengajar DBP bahawa “Allah” tidak ditulis “allah” dan “Tuhan” tidak ditulis “tuhan”. Namun begitu, nampaknya minda fasis dan rasis terus mengabui mata dan hati badan bahasa itu.
49. Komuniti Chindian lahir menerusi perkahwinan antara orang Cina dan India. Menurut undang-undang Malaysia, keturunan “Chindian” tidak diiktiraf secara rasmi. Sebaliknya, keturunan si anak adalah berdasarkan keturunan bapa. Situasi ini menimbulkan pelbagai masalah, dilema, dan kekangan kepada orang Chindian. Mereka sering menjadi mangsa buli dan dipulaukan kerana “berbeza”. Pada pemerhatian saya, orang Chindian sangat mudah menyesuaikan diri dengan rakan-rakan pelbagai kaum, agama, dan budaya. Semoga esei ringkas dalam buku ini memberi kesedaran dan keinsafan kepada sesiapa yang pernah prejudis terhadap orang Chindian.
31 Oktober
2021:
50. Penyakit glaukoma yang dihidap sejak berumur 20 tahun menyebabkan Kamalah Suppiah hilang pandangan kedua-dua mata menjelang tahun 2008, semasa usianya 48 tahun. Namun begitu, wanita ini terus gigih menulis dengan cara tersendiri. Karya bahasa Tamil disiarkan di akhbar dan laman Facebook yang diuruskan oleh anak-anak. Sebuah cerpen Bahasa Malaysia yang terbit pada tahun 1988 terus melonjakkan nama beliau dalam Sastera Kebangsaan. Saya berjaya menghubungi Kamalah Suppiah dengan bantuan rakan-rakan pada Mei 2021 untuk diwawancara khusus bagi sebuah esei. Pasti kita boleh belajar sesuatu daripada beliau.
51. Golongan Chettiar terlibat secara langsung dalam pembinaan dan pengurusan sekurang-kurangnya 15 buah kuil Dewa Murugan di Johor, Selangor, Kuala Lumpur, Perak, dan Pulau Pinang. Lebih menakjubkan, kuil-kuil ini langsung tidak bergantung kepada sumbangan orang ramai mahupun kerajaan untuk beroperasi. Sebaliknya, harta dan perniagaan yang dimiliki jawatankuasa pengurusan kuil sudah lebih daripada mencukupi untuk menampung segala kos. Siapakah Chettiar? Apakah pula beza antara ceti, Chettiar, dan Chetti Melaka? Bacalah buku ini untuk keluar daripada situasi tidak tahu dan tidak pasti.
1 November
2021:
52. Apabila sekatan pergerakan penuh (SPP) diumum bagi tempoh 1-14 Jun 2021 susulan penularan wabak Covid-19, saya teringat kembali kisah Nabi Nuh (Noah; Manu) dan keluarganya yang menjalani semacam “sekatan pergerakan kendiri” mengikut arahan Tuhan. Kisah Nuh dan banjir besar dalam Quran, Bible, dan purana Hindu diteliti untuk membantu kita mengutip ilmu dan pengajaran berguna yang boleh dimanfaatkan. Tambahan pula, pembacaan kisah-kisah seperti ini bukan hanya membimbing kita mendekati kitab dan ajaran agama, malah turut membantu kita melakukan penilaian diri mengikut konteks semasa.
53. Rata-rata cerita moral yang pernah kita dengar sejak usia kanak-kanak bersumberkan cerita rakyat dari India. Hikayat Bayan Budiman dan Kisah Seribu Satu Malam juga terbukti menerima pengaruh dari India. Malah, kisah Kalila dan Dimna adalah terjemahan daripada Panchatantra. Teks itu menjadi sumber kepada ratusan cerita rakyat dan cerita moral yang tersebar ke seluruh dunia. Sebuah esei mendokumentasi fakta dan maklumat penting seperti ini supaya generasi muda tidak mudah lupa dan alpa tentang sumber asal cerita-cerita yang didengar, dibaca, dan ditonton.
54. Usaha penulis kaum India memaparkan watak dan budaya kaum India dalam cerpen Bahasa Malaysia adalah langkah yang amat membanggakan dan amat dialu-alukan. Golongan Sasterawan Kavyan menyumbang kepada usaha memperkaya Sastera Kebangsaan. Namun begitu, hasil penelitian mendapati rata-rata penulis hanya menggambarkan watak orang Tamil, manakala watak minoriti lain seperti Malayali, Telugu, dan Punjabi tidak diketengahkan. Saya berusaha mendapatkan pandangan (dan alasan) beberapa rakan penulis untuk memahami mengapa situasi ini berlaku.
55. Antologi Meredah Kabus (2021) memuatkan 23 cerpen oleh 12 penulis Bukan Melayu yang dibimbing oleh Azmah Nordin. Amat menarik kerana 6 daripada 12 penulis terbabit merupakan penulis kaum India. Secara umum, mereka berjaya memaparkan watak dan budaya kaum India untuk bacaan khalayak pelbagai kaum. Namun begitu, analisis lebih mendalam dilakukan untuk meneliti secara lebih terperinci kelebihan dan kekurangan yang wujud dalam sepuluh cerpen oleh penulis terbabit.
2 November
2021:
56. Pada Julai 2021, saya mula membaca kandungan Quran secara lebih teliti untuk mencari jawapan kepada beberapa persoalan yang gagal dijawab oleh rakan-rakan beragama Islam. Hasilnya, beberapa jawapan ditemui dan beberapa persoalan baharu mula timbul. Tambahan pula, sebagai pengamal multifaith, saya turut merujuk Bible yang menjadi pegangan ahli kitab bagi melengkapkan usaha mencari jawapan. Apakah sebenarnya hukum minum arak dalam Islam? Benarkah Allah memaafkan amalan syirik? Benarkah Maryam ibu Isa? Mengapa susunan bab Kavya Sastra (2021) begitu rupa? Saya membincangkan kesemuanya berpandukan Quran dan Bible.
57. Berapakah usia Aisyah binti Abu Bakar sewaktu dinikahi Nabi Muhammad? Mengapa para balu Muhammad tidak dinikahi para sahabat selepas kewafatan baginda? Mengapa Allah memberi amaran kepada Aisyah dan Hafsa binti Umar supaya tidak menyusahkan Muhammad? Benarkah Muhammad memiliki kekuatan 30 lelaki dan mampu menyetubuhi kesemua sembilan isteri dengan “sekali mandi”? Anda tidak perlu bertanya Don Danial, Azhar Idrus, Firdaus Wong Wai Hung, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu, dan sebagainya. Saya hanya berpegang kepada Quran dan sumber muttafaq ‘alayhi untuk mendapatkan jawapan paling sahih dan benar.
58. Seorang individu India-Hindu yang masuk Islam perlu bersedia untuk menyesuaikan diri dengan “budaya” baharu. Misalnya, amalan India-Hindu dan Melayu-Islam dalam soal hubungan serta kedudukan anak angkat, bapa angkat, ibu angkat, dan adik-beradik angkat adalah amat berbeza. Orang Islam “terikat” (bound) kepada firman Allah tentang kedudukan anak angkat susulan insiden penting melibatkan Rasulullah, Zayd ibn Harithah, dan Zaynab binti Jahsh. Saya menghuraikannya secara amat mudah dengan merujuk Quran dan Hadis Sahih.
3 November
2021:
59. Golongan balu dan janda memainkan peranan penting dalam hidup Nabi Muhammad. Sekiranya diteliti, hanya seorang daripada sekitar sepuluh isteri baginda merupakan anak dara. Ada Hadis khusus tentang wanita yang ditalak tiga tetapi berhasrat mahu kembali kepada suaminya. Kita sering mendengar istilah “Cina buta” tetapi tahukah anda apa hukumnya? Hasil rujukan sumber sahih — Quran dan Hadis — saya menulis mengenai kedudukan balu dan janda di mata Rasulullah. Sesuai dibaca dan dijadikan panduan Muslimin, Muslimah, dan Bukan Muslim.
60. Pasangan Muslim yang berzina boleh dijatuhi hukuman cemeti seratus kali setiap seorang. Selepas menghayati Surah An-Nur, saya membayangkan suasana Nabi Muhammad menghakimi kes seorang lelaki yang menuduh isterinya mengadakan persetubuhan haram dengan lelaki lain. Walaupun ini hanya sebuah fiksyen, setiap hukum dan syariat yang dinyatakan adalah tepat dan sahih. Saya bukan berdakwah, sebaliknya hanya mahu mengingatkan orang ramai — khasnya masyarakat Islam — tentang hukum Allah.
61. Dalam Surah Ar-Ra’d (Ayat 34), Allah menegaskan bahawasanya orang kafir pasti terseksa dan menerima azab di dunia. Malah, hukuman dan seksaan yang lebih teruk menanti mereka di akhirat. Tidak ada sesiapa yang boleh tampil melindungi atau menyelamatkan orang kafir daripada segala azab yang dijanjikan oleh Allah. Elok juga kita memahami perbezaan antara kafir zimmi, mu’ahad, musta’man, dan harbi kerana penting dalam konteks negara sekular seperti Malaysia. Pada masa sama, orang yang membaca Veda, Bhagavad Gita, dan purana Hindu akan menemui zat dan sifat Tuhan yang amat berbeza.
4 November
2021:
62. Rentas negeri yang dibenarkan mulai 11 Oktober 2021 menjadi berita gembira kepada orang ramai yang sudah lama tidak berpeluang bertemu keluarga dan saudara mara yang jauh secara bersemuka. Wabak Covid-19 juga sedang meninggalkan peringkat pandemik dan menuju tahap endemik. Saya menyarankan ibu bapa mengembalikan tradisi bercerita kepada anak-anak bagi mengisi masa lapang semasa PKP. Tentu sahaja saranan ini boleh terus diamalkan selepas tempoh pandemik kerana sesi bercerita mampu juga menyelamatkan nyawa.
63. Kita tahu bahawa orang Islam berpendirian anjing adalah haram disentuh dan dipelihara. Daripada pengalaman saya sendiri, alasan dan hujah yang diberi selalunya tidak lengkap dan kurang meyakinkan. Maka, saya memilih untuk merujuk Kitab Sahih bagi mendapatkan penjelasan tepat dan lengkap mengapa Nabi Muhammad memerintahkan anjing dibunuh — khususnya anjing berbulu hitam dengan dua titik putih di keningnya. Orang Islam dan Bukan Islam wajar mengetahui perkara ini bagi mengelakkan sebarang perselisihan faham.
64. “Ia (Quran) diturunkan ketika ada ramai pujangga dan penyair serta ahli sastera bahasa di Tanah Arab. Ayat al-Quran disusun dengan begitu indah sehinggakan bahasanya tidak dapat ditandingi penyair dan penulis Arab pada ketika itu.” Demikian pernah ditulis presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia, Taufiq Yap Yun Hin. Saya mengambil contoh Ayat 1-5 daripada Surah Al-Infitar dan Surah Al-Insyiqaq dalam Quran untuk membuktikan kebenaran kata-kata Taufiq. Ternyata para Sasterawan Negara kita tidak mampu menulis “sajak” seindah itu.
5 November
2021:
65. “Barangsiapa menjual arak, maka hendaklah ia menghalalkan babi!” Demikian sabda Nabi Muhammad yang didokumentasi dalam Kitab Sunan Abu Dawud. Orang Islam yang minum arak atau menghalalkan sutera mungkin dihukum Allah menjadi kera dan babi. Sejak bilakah babi diharamkan dalam Islam dan apakah sebab sebenar pengharaman itu? Bilakah pula masanya orang Islam boleh makan daging babi dan menerima organ babi menerusi pembedahan? Sertai saya dalam pencarian jawapan berdasarkan sumber sah dan sahih menerusi sebuah esei yang dimuatkan dalam buku ini.
66. Pada Mei 2021, saya meminta kerjasama masyarakat India mengisi borang soal selidik dalam talian. Tujuannya untuk mengetahui antara sebab kaum India kurang berminat melibatkan diri dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia. Sejumlah responden memberi alasan kaum India kurang diberi ruang dan peluang oleh akhbar dan majalah. Benarkah begitu? Pada Julai 2021, saya berbual dengan 13 responden yang sudi diwawancara. Pandangan dan pengalaman mereka dimuatkan dalam sebuah esei.
67. Benarkah kaum India — di mana sekitar 55% mendapat pendidikan awal di sekolah Tamil — tidak menyokong dan tidak membaca karya Bahasa Malaysia yang dihasilkan oleh penulis kaum India? Jika benar tiada sokongan, tentu ada sebab mengapa hal itu berlaku. Topik ini juga merupakan hasil dapatan borang soal selidik. Maka, saya berbual dengan sekumpulan responden untuk mendapatkan gambaran lebih menyeluruh. Perkongsian mereka pasti membantu orang ramai — termasuk Sasterawan Kavyan — memahami situasi sebenar dan melakukan muhasabah.
7 November
2021:
68. Tulisan Jawi asalnya daripada tulisan Arab yang dibawa ke Nusantara bersama kedatangan Islam. Sebelum itu, tulisan Kawi dan Rejang (Sumatra) digunakan bagi bahasa Melayu. Menerusi Akta Bahasa Kebangsaan 1963, diputuskan secara rasmi bahawa bahasa Melayu — kemudian Bahasa Malaysia — perlu ditulis menggunakan tulisan Rumi. Usaha melobi dilakukan sejak awal tahun 1950-an oleh sekumpulan penulis dan pejuang bahasa Melayu. Mereka menyenaraikan dua belas “kekurangan” tulisan Jawi yang boleh diatasi apabila bahasa Melayu menggunakan tulisan Rumi. Suatu dokumentasi penting yang wajar diketahui semua orang.
69. Nama orang India ada makna unik dan tersendiri. Sering kali ada kisah menarik di sebalik setiap nama — mungkin tidak disedari individu itu sendiri. Misalnya, nama-nama klasik seperti Manimekalai, Vimalan, Perumal, Mathavi, Valli, Kannagi, dan Meenachi. Sekitar 20 rakan kaum India berkongsi maksud nama sendiri dan ahli keluarga untuk didokumentasi dalam sebuah esei. Perkongsian ini diharap membantu kita lebih berminat untuk mengetahui dan memahami maksud yang dibawa oleh nama rakan-rakan kaum India.
70. Perkataan “keluarga” — termasuk dalam slogan muluk Keluarga Malaysia — adalah gabungan istilah kula dan warga daripada bahasa dan budaya Tamil, Malayalam, dan Sanskrit. Sesungguhnya Bahasa Malaysia yang bermula sebagai bahasa Melayu tidak akan lengkap tanpa sumbangan bahasa-bahasa lain. Hasil perbincangan bersama 13 orang rakan, saya menghuraikan sejumlah perkataan Tamil yang sudah sebati dengan Bahasa Malaysia yang digunakan penduduk majmuk di negara ini. Pasti sahaja ini suatu bacaan menarik untuk semua.
71. Teks Sejarah Melayu mendokumentasi asal-usul raja-raja Melayu daripada Raja Suran. Turut dipaparkan kisah Bhat yang muncul daripada muntah lembu. Keturunan Bhat merupakan satu-satunya golongan yang layak membaca mantera dan Surat Ciri pada majlis pertabalan raja-raja Melayu. Perihal alat-alat kebesaran yang dibawa oleh Raja Muzaffar Shah apabila dinobatkan sebagai Sultan Perak yang pertama boleh dibaca dalam buku teks Sejarah di sekolah. Akan tetapi, tidak banyak pendedahan tentang Bhat dan Surat Ciri. Maka, saya mencari maklumat itu dan menulis sebuah esei demi berkongsi pengetahuan dengan orang ramai.
8 November 2021:
72. Pada tahun 2007, HINDRAF tampil dengan dakwaan berlaku pembersihan etnik (ethnic cleansing) dan pembunuhan kaum (genocide) secara terancang ke atas kaum India di Malaysia. Gerakan itu menuntut kerajaan Britain membayar pampasan RM1 juta kepada setiap individu kaum India di Malaysia. Saya menulis sebuah esei mengenai situasi dan realiti kemasukan buruh Tamil dan Telugu ke Malaya lebih 100 tahun dahulu dan dibandingkan dengan pengambilan pekerja asing pada masa kini. Diselitkan juga beberapa fakta yang mungkin tidak diketahui penyokong HINDRAF.
73. Sambutan Deepavali biasanya tidak lengkap tanpa hidangan tose dan muruku kepada tetamu yang berkunjung ke rumah. Namun begitu, sekiranya diperhatikan, pelbagai juadah tradisional kaum India sudah semakin sukar dilihat apabila berkunjung ke rumah terbuka sempena pesta cahaya. Sepuluh orang rakan sudi berkongsi cerita apabila topik ini saya kemukakan pada Oktober 2021. Esei yang menutup tirai buku ini diharap menimbulkan minat orang ramai untuk cuba membuat beberapa kuih tradisional yang diperkatakan oleh rakan-rakan ini.
Mahu memiliki buku Suvarna Bhumi? — [klik di sini]