“Saya juga membuat permintaan yang sama sebelum meniup lilin pada kek hari jadi. Ayah tidak boleh membohongi saya hari ini,” kata Johnathan.
Saya pada mulanya kurang faham maksud kata-katanya. Setelah Johnathan bergegas lari keluar menaiki bas sekolah, barulah Isabella menerangkan kedudukan sebenar.
“Kau terlupa, Sam.”
Saya mula memikirkan apa yang saya terlupa. Ternyata sukar untuk mengingat sesuatu yang benar-benar sudah dilupai!
“Semalam hari jadi John yang keempat belas,” Isabella mengeluh sambil merenung anak-anak mata saya berulang kali.
Saya tidak punya alasan bagi menutup kesalahan saya. Sesungguhnya saya tidak ingat langsung bila hari jadi Johnathan. Malah hari jadi Isabella. Begitu juga dengan tarikh perkahwinan kami. Mei 1982, kalau tak silap saya. Semalam, 25 April. Ini bermakna Johnathan lahir pada 25 April 1983. Saya harus cuba menghafaz tarikh itu.
“Kau terlupa, bukan?”
Saya memilih untuk tidak menjawab. Saya kembali menatap halaman dua Utusan Malaysia. Seperti biasa, tiada apa-apa berita yang bermanfaat. Cuma laporan tentang menteri mana pergi ke mana untuk buat apa dan apa yang dikatakannya di sana.
Isabella nampaknya telah duduk di hadapan saya. Tentu dia telah lama merenung saya. Sewaktu saya habis membaca akhbar, dia masih merenung saya. Lalu renungannya itu saya balas dengan kerutan kening.
“Sam, kenapa kau bersikap begini?” Tanyanya dengan tenang seraya menyentuh tangan kanan saya dengan lembut. “John mengharapkan kehadiran kau malam tadi.”
“Aku lupa. Aku tak ingat,” kata saya dengan hambar; sekadar untuk menyembunyikan hakikat bahawa saya telah luangkan malam tadi bersama Jane.
Isteri saya menggeleng kecil. Amat kecil. Tangan yang menyentuh tangan saya ditariknya perlahan ke pangkuan.
“Kau tidak pandai menipu, Sam.”
Dia bangkit menuju ke tepi dinding. Matanya tertumpu pada foto Johnathan sewaktu berusia lapan tahun. Di kiri kanannya, saya dan Isabella. Wanita dalam foto itu tersenyum girang. Jauh berbeza dengan penampilan dirinya sekarang.
Seketika saya mula membanding-bandingkan Isabella dengan Jane, teman sekerja di firma guaman. Ternyata Jane lebih membangkitkan selera untuk dimesrai. Memang Isabella juga begitu suatu masa dahulu. Tapi itu dulu. Bukan lagi kini.
“Kau tahu, Sam?”
Segera saya menoleh ke arah Isabella; sekali gus mematikan khayalan terhadap Jane. Wanita itu masih berdiri di tempat tadi. Tapi pandangannya tidak lagi tertumpu pada foto di dinding. Dia sedang memandang saya dengan lesu.
“Kau tahu apa permintaan John semasa meniup lilin malam tadi?”
Sesungguhnya saya sudah tahu. Baru sebentar tadi Johnathan telah menerangkannya kepada saya: “Saya harap ayah tidak akan berbohong sekurang-kurangnya selama sehari.”
Impian dan permintaan yang bagus, bukan? Ternyata Johnathan terpengaruh dengan filem Liar Liar lakonan Jim Carrey. Aneh juga bagaimana seseorang boleh terpengaruh dengan filem seumpama itu. Apatah lagi sebuah filem lakonan si bodoh tolol itu!
...
No comments:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!