Tuesday, 30 August 2011

Penulis Dakwa Royalti tak Dibayar

Lima penulis telah mengutuskan surat terbuka kepada Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin, berikutan kegagalan mereka menuntut bayaran terhadap karya-karya mereka yang digunakan sebagai teks komponen sastera dalam mata pelajaran bahasa Malaysia (Komsas) di sekolah-sekolah menengah.

Menurut surat yang diperolehi daripada penulis novel Uthaya Sankar SB yang menerimanya selaku presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), kelima-lima penulis berkenaan “tidak menerima satu sen pun” dalam bentuk royalti, walaupun karya mereka digunakan oleh ribuan pelajar di seluruh negara.


Penulis berkenaan, Rohani Deraman, Amy Suzani Mohd Ainuddin @ Natasya Puteri, Hazama Harun @ Aida Shahir, Mohd Izan Abd Hazes @ Mohd Faris Ikmal dan Erda Roslan Khairi, mendakwa bahawa pihak penerbit telah enggan melayan tuntutan mereka.


“Kami merasakan diri kami teraniaya kerana penerbit bagaikan menafikan hak kami berlima untuk menerima royalti bagi karya-karya itu yang merupakan hasil cipta dan harta intelek kami sebagai penulis kreatif,” kata mereka.


Berikut disiarkan surat berkenaan:


Kepada:
Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pelajaran Malaysia
Daripada:
1. Rohani Deraman, Johor


2. Amy Suzani Mohd Ainuddin @ Natasya Puteri, Kelantan


3. Hazama Harun @ Aida Shahira, Kuala Lumpur


4. Mohd Izan Abd Hazes @ Mohd Faris Ikmal, Kuala Lumpur


5. Erda Roslan Khairi, Putrajaya


Perkara: Surat Rayuan Terbuka kepada Menteri Pelajaran


Tan Sri,


Nasib kami berlima adalah ibarat kata peribahasa Melayu, “Malang Pak Kaduk, ayamnya menang, kampung tergadai”.


Karya kami, sama ada berbentuk puisi, cerpen atau novel, terpilih untuk dijadikan teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) tetapi kami merasakan diri kami teraniaya kerana penerbit bagaikan menafikan hak kami berlima untuk menerima royalti bagi karya-karya itu yang merupakan hasil cipta dan harta intelek kami sebagai penulis kreatif.


1. Cerpen Warkah Daripada Ibu karya Rohani Deraman diterbitkan oleh Penerbit Mega Setia Emas Sdn Bhd pada 2001. Kini cerpen itu diterbitkan dalam antologi Gema Sepi Gadis Genius (DBP: 2010) dan digunakan sebagai teks Komsas Tingkatan Dua. Malangnya, penerbit tidak mahu membayar royalti walau satu sen kepada penulis.


2. Novel Cempaka Putih Untukmu karya Rohani Deraman diterbitkan pada 2001. Kini novel itu digunakan sebagai teks Komsas Tingkatan Tiga di Johor, Sabah, Sarawak dan Labuan. Malangnya, penerbit tidak mahu membayar royalti walau satu sen kepada penulis.


3. Puisi Seorang Insan Istimewa karya Amy Suzani Mohd Ainuddin @ Natasya Puteri termuat dalam antologi Apologi Kepada Alam pada 2010 sebelum terpilih sebagai teks Komsas. Malangnya, penerbit tidak mahu membayar royalti walau satu sen kepada penulis.


4. Cerpen Limau Bali dan Semangkuk Daging karya Amy Suzani Mohd Ainuddin memenangi hadiah kedua Pertandingan Cerpen Perpaduan anjuran Jabatan Perpaduan Negara pada 1995. Cerpen itu tersiar dengan judul “Budi Semangkuk Daging” dalam antologi Budi Semangkuk Daging pada 2010 sebelum terpilih sebagai teks Komsas. Malangnya, penerbit tidak mahu membayar royalti walau satu sen kepada penulis.


5. Novel Di Sini Bukan Duniaku karya Hazama Harun @ Aida Shahira diterbitkan pada 2006. Novel itu diterbitkan semula dengan judul Bukan Duniaku dan dijadikan teks Komsas Tingkatan Satu di Kelantan, Pahang, Terengganu dan Melaka. Malangnya, penulis hanya diberi sedikit saguhati dan diminta menandatangani resit kononnya menerima bayaran hampir lima kali ganda. Penulis juga tidak diberikan salinan resit itu apabila diminta.


6. Novel Satu Pengajaran karya Mohd Izan Abd Hazes @ Mohd Faris Ikmal diterbitkan pada 2006. Novel itu diterbitkan semula dengan judul Hikmah dan dijadikan teks Komsas Tingkatan Satu di Perak, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. Malangnya, penerbit meminta penulis menuntut bayaran daripada penerbit asal manakala penerbit asal pula mengatakan ia sudah membuat bayaran kepada penerbit sekarang.


7. Cerpen Israk karya Erda Roslan Khairi tersiar di majalah Dewan Siswa pada tahun 2010. Kini cerpen itu diterbitkan dalam antologi Harga Remaja terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan dijadikan teks Komsas Tingkatan Empat di seluruh negara.


Malangnya, penulis tidak pernah dihubungi oleh penerbit mahupun Bahagian Buku Teks, Kementerian Pelajaran untuk memaklumkan hal itu atau meminta izin terbit bagi karyanya.


Dengan segala dolak-dalik pihak terbabit, kami berlima merasakan diri kami bagaikan teraniaya dan mungkin juga dipergunakan pihak tertentu untuk mengaut untung.


Maka kami berlima memutuskan untuk mengemukakan surat rayuan terbuka ini kepada Tan Sri.


Kami merayu Tan Sri menggunakan kuasa dan hak sebagai Menteri Pelajaran dan Timbalan Perdana Menteri untuk campur tangan dengan segera bagi menyelesaikan isu royalti, hak cipta dan harta intelek ini.


Pada masa sama, kami berlima memuji sikap profesional dan penuh beretika yang diamalkan oleh Sasbadi Sdn Bhd yang sudah pun membuat bayaran royalti pertama pada 25 Ogos 2011 kepada Timah Baba bagi karya anaknya, Hizairi Othman, yang termuat dalam antologi Gema Sepi Gadis Genius (DBP: 2010) dan dijadikan teks Komsas Tingkatan Dua.


Kami merayu Tan Sri membela nasib kami berlima sebagai penulis yang berhak menerima royalti dan hasil pendapatan halal menerusi penulisan karya sastera.


Kami berharap kes ini tidak dilihat sebagai kes terpencil dan dipandang ringan.


Kami berlima mengharapkan “berita gembira” berupa pembelaan terhadap hak cipta, harta intelek dan hak royalti kami menjelang 1 Syawal 1432.


Pada kesempatan ini, kami dan keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada Tan Sri sekeluarga serta seluruh warga Kementerian Pelajaran Malaysia.


Sekian. Terima kasih.


(Aidil Razak di Malaysiakini pada 27 Ogos 2011)