Saturday, 20 March 2010

Patah Tumbuh, Hilang Tak Berganti

Besarnya sumbangan Allahyarham Dr Haji Othman Puteh dalam melahirkan penulis generasi muda tidak dapat dinafikan, apatah lagi dipertikaikan. Tanyalah pada mana-mana penulis yang lahir mulai tahun 1980-an dan pasti mereka mengaku “Raja Sastera Remaja” menjadi pembimbing dan guru; secara langsung atau tidak langsung.
..

Bagi kelompok penulis kaum India yang menulis karya bahasa kebangsaan, beliau turut menjadi pendorong dan pemberi motivasi. Sesungguhnya Allahyarham adalah “mahaguru” dan “bapa” kepada para penulis muda tanpa mengira kaum dan darjat.

..

Saya mengenali beliau secara peribadi sewaktu menyertai Minggu Penulis Remaja (MPR) pada tahun 1991. Pucuk diundang, ulam mendatang kerana karya-karya beliau – khususnya cerpen-cerpen non-konvensional – menjadi kegemaran saya sejak beberapa tahun terdahulu.

..

Saroja Theavy Balakrishnan pula lebih bertuah kerana berpeluang mendapat bimbingan formal daripada Allahyarham semasa menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia. Pada tahun 1990-an, peluang yang sama diperoleh Srivali Seeridaram dan beberapa individu lain.

..

Sering kali, apabila kami bertemu, Pak Haji Othman Puteh (demikian saya gemar memanggil beliau; rujuk Siru Kambam, hlm. x) akan menyatakan perlunya lebih ramai penulis kaum India terlibat dalam sastera kebangsaan.

..

“Pernah ada Jasgunaa Sangani mendapat bimbingan MPR sebelum Uthaya tetapi kemudian hilang begitu sahaja,” kata beliau pada MPR 1997 sejurus selepas saya menyampaikan kertas kerja. “Selepas Uthaya pula beberapa lagi remaja kaum India menyertai MPR. Sayang sekali mereka juga tidak meneruskan penglibatan dalam bidang penulisan.”

..

Saroja dan saya sendiri tersenarai sebagai “anak emas” beliau; walaupun kami tidak berpeluang menjadi “anak angkat” secara rasmi seperti Denial Jabon Janaun, Julia Unggai, Jariah Taha, Jonathan Kandok dan rakan-rakan mereka melalui Projek Anak Angkat DBP Cawangan Sabah.

..

Namun, pada hakikatnya, beliau merupakan father figure bagi kami. Beliau tidak pernah kedekut ilmu. Walaupun beliau sentiasa sibuk, namun, kesibukan itu tidak pernah dijadikan alasan untuk tidak menghulurkan bantuan.

..

“Apa cerita?”

..

Demikian beliau akan bertanya setiap kali saya menghubungi beliau. Pada Ogos 1999, saya menyampaikan ‘cerita’ mengenai cadangan menubuhkan persatuan khusus bagi penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia. Beliau menyatakan sokongan, mengucapkan tahniah serta menasihatkan supaya aktif.

..

Terdahulu, selepas saya kemalangan pada tahun 1994, Pak Haji Othman menelefon dan masih bertanya “Apa cerita?” sebelum bertanya sama ada saya ada cerpen baru untuk beliau nilai bagi antologi yang sedang diselenggarakan.

..

Saroja dan saya sendiri mungkin merupakan penulis kaum India yang paling bertuah kerana mendapat bimbingan dan galakan secara peribadi daripada Allahyarham. Tentu sahaja ada beberapa lagi individu kaum India yang turut menerima motivasi daripada beliau. Bezanya, Saroja dan saya tidak “mengecewakan” harapan Allahyarham yang mahukan kami “prolifik, komited, mantap dan menyerlah” dalam berkarya serta “mengungkapkan citra kaum India” dalam karya.

..

Malah, beliau sentiasa mengikuti perkembangan kelompok penulis kaum India dan tidak pernah ragu-ragu untuk memberikan nasihat dan teguran sebagai seorang bapa yang penyayang dan mengambil berat. Setiap kali ada acara yang sesuai, beliau juga tidak akan terlupa memanjangkan jemputan kepada kami.

..

Satu amalan yang agak pelik antara saya dan Allahyarham adalah amalan mengirim kad ucapan. Sejak tahun 1991, saya mengirim kad ucapan Deepavali kepada Pak Haji Othman. Beliau pula mengirim kad ucapan Hari Raya Aidil Fitri kepada saya. Malah – apologi kepada keluarga Allahyarham – baru pada 18 Oktober 2003 saya mengepos kad ucapan Deepavali kepada beliau.

..

Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) banyak terhutang budi kepada beliau. Walaupun pada peringkat awal beliau bukan merupakan penasihat Kavyan, saya tidak teragak-agak menghubungi beliau untuk mendapatkan nasihat dan panduan. Beliau seperti biasa akan bertanya “Apa cerita?” sebelum saya menceritakan perkara yang timbul; sama ada masalah peribadi atau masalah persatuan.

..

Misalnya, timbul satu situasi pada Julai 2003 apabila seorang individu marah-marah berikutan tindakan saya menyenaraikan namanya sebagai “penulis muda”. Katanya, dia harus digelar “penulis sedang meningkat” iaitu tahap lebih tinggi.

..

Saya merujuk perkara itu kepada Pak Haji Othman yang berada di Kota Kinabalu. Sambil tertawa, beliau mendefinisikan “penulis sedang meningkat” sebagai “individu yang baru belajar menulis dan belum pun sampai ke tahap penulis amatur”. Beliau juga berkata, individu berkenaan memang layak digelar begitu!

..

Dalam satu lagi situasi, seorang individu memberitahu saya bahawa tujuan dia menulis tesis sarjana adalah semata-mata untuk membuktikan karya-karya saya tidak bermutu. Terkedu dan hairan dengan sikap yang begitu, saya merujuk pada Prof Madya Dr Krishanan Maniam dan Dr Haji Othman Puteh. Mereka berdua sependapat bahawa individu terbabit tidak menunjukkan kematangan berfikir.

..

“Saya akan bercakap dengan dia dan nasihatkan dia. Kita kena tahu apa masalah peribadi yang dia sedang hadapi,” pesan Pak Haji Othman semasa bertemu di Kota Kinabalu pada Ogos 2003 semasa Simposium Penulis Pelbagai Kaum.

..

Sewaktu Kavyan merancang untuk mengadakan acara Baca Cerpen Kavyan pada 29 Ogos – 2 September 2003 bagi mencatat rekod baca cerpen berterusan dalam The Malaysia Book of Records, urus setia sebulat suara menyokong supaya Pak Haji Othman diberi penghormatan membaca cerpen pertama.

..

Terdahulu, pada tahun 2001, saya bertanya kepada Allahyarham mengapa beliau tidak mengambil bahagian dalam Ratib Seribu Syair anjuran GAPENA.

..

“Saya bukan penulis puisi,” jawab beliau sambil tersenyum. “Lainlah kalau baca cerpen. Tapi, adakah orang nak buat acara baca cerpen?”

..

Lalu, apabila saya mempelawa Pak Haji Othman untuk menyertai Baca Cerpen Kavyan, beliau tidak ada alasan untuk menolak. Malah, saya percaya, beliau menerima undangan itu dengan gembira. Dua cerpen yang dibacakan pada acara berkenaan adalah “Guruh” dan “Ario”.

..

Perlu dinyatakan bahawa kedua-dua cerpen di atas serta “Datuk Pom”, “Datin Sue”, “Hutan, Monyet dan Pisang”, “Arah Ke Tanah Besar” dan “Kecamuk” telah digabungkan dalam proses menghasilkan novel Kalut (1997). Dalam novel berkenaan, salah satu watak utama bernama ‘Uthaya Sankar’. Saya pernah bertanyakan perkara itu kepada Pak Haji Othman pada 20 Mei 1998.

..

Sambil tertawa, beliau berkata, “Semasa saya menulis novel itu di Iowa, secara spontan saja nama Uthaya muncul dalam fikiran.”

..

Seperti yang diketahui umum, Saroja dan saya termasuk dalam senarai “anak emas” Allahyarham. Menurut Dr Krishanan Maniam, Allahyarham suka menawarkan diri untuk memperkatakan karya kami berdua pada seminar dan ceramah. Misalnya, beliau menyampaikan kertas kerja bertajuk “Penelitian Cerpen Saroja Theavy a/p Balakrishnan dan Uthaya Sankar SB” pada Kolokium Kesusasteraan Melayu Moden V anjuran Bahagian Kesusasteraan Moden, Jabatan Sastera DBP pada 8-10 Mei 2001 di Port Dickson, Negeri Sembilan.

..

Dalam kertas kerja bertajuk “Cerpen Pada Awal Abad 21: Penglibatan Pengarang Pelbagai Kaum” pada Simposium Penulis Pelbagai Kaum IV di Kangar, Perlis pada 21-24 Ogos 2002, nama kami berdua memang banyak disebut. Malah, beliau menyifatkan penulis Bukan Melayu dalam sastera Bahasa Malaysia sebagai “aset dan pewaris kepada kelangsungan citra dan kehidupan kesusasteraan itu sendiri”.

..

Seterusnya, pada Simposium Penulis Pelbagai Kaum V di Kota Kinabalu pada 23-24 Ogos 2003, Allahyarham membentangkan kertas kerja bertajuk “Menelusuri Jalur Kepengarangan Uthaya Sankar SB”. Semasa pembentangan itu, Pak Haji Othman antara lain melahirkan rasa gembira kerana saya sudah aktif semula mengirim karya ke media cetak selepas “protes peribadi” selama tiga tahun (September 1999-Ogos 2002).

..

Bapa mana yang mahu “kehilangan” anak? Titik.

..

Satu lagi keistimewaan Pak Haji Othman adalah kemampuan beliau mengingat senarai nama pengarang, judul cerpen, wadah penerbitan serta maklumat diri para pengarang. Kelebihan ini ditambah pula kesungguhan beliau mengumpul maklumat berkaitan. Misalnya, pada Simposium Penulis Pelbagai Kaum IV, Allahyarham mampu memberikan statistik terperinci mengenai cerpen-cerpen karya penulis kaum India; serta sedikit ulasan cerita.

..

Saya secara peribadi menganggap diri saya cukup bertuah mendapat seorang “bapa angkat” dan “mahaguru” seperti beliau. Saya juga boleh berbangga menjadi satu-satunya sasterawan kaum India yang karyanya paling banyak termuat dalam antologi cerpen selenggaraan beliau.

..

Malah, beliau juga penilai bagi manuskrip Siru Kambam dan Panchayat. Pak Haji Othman yang gemar menonton filem Tamil dan Hindi mengatakan bahawa beliau antara lain suka membaca cerpen-cerpen saya kerana kaya dengan tema, persoalan, citra dan budaya kaum India. Novel Panchayat pula beliau rasakan seperti menonton sebuah filem Tamil yang dialih suara ke Bahasa Malaysia!

..

Allahyarham juga menyokong serta menggalakkan segala usaha Kavyan memperkaya sastera kebangsaan. Menyedari komitmen serta sumbangan beliau ke arah melahirkan penulis kaum India (selain penulis kaum-kaum lain), Jawatankuasa Kavyan dalam mesyuarat pada September 2003 sebulat suara bersetuju untuk melantik beliau menjadi Penasihat Kehormat.

..

Apabila saya menyatakan cadangan itu kepada Allahyarham melalui telefon beberapa hari sebelum tarikh mesyuarat, beliau tertawa seperti biasa dan berkata, “Saya tak jadi masalah” – Sementara SN Datuk Dr A. Samad Said yang dilantik sebagai Penasihat Agung pula masih tertawa lalu berkata, “Kalau Uthaya rasakan saya layak, saya terima saja.”

..

Begitu juga, Allahyarham sudah menyatakan persetujuan untuk membicarakan cerpen dan esei eceran pada Diskusi Karya Sasterawan Kaum India anjuran bersama Kavyan dan Bahagian Teori dan Kritikan Sastera DBP yang dijadualkan pada Disember 2003. Namun, siapa menyangka beliau akan pergi lebih awal menyahut panggilan Pencipta?

..

Pak Haji Othman sentiasa berusaha mengasah, membimbing, mengasuh dan melahirkan penulis baru pelbagai kaum. Patah tumbuh, hilang tak berganti. Pak Haji Othman Puteh yang merupakan Sasterawan Mapan dan Raja Sastera Remaja akan terus segar dalam ingatan masyarakat selagi wujud apa yang dinamakan “sastera”.

..

(Uthaya Sankar SB, Minda, Oktober 2004)

..

Nota: Sila KLIK DI SINI untuk membaca kenyataan akhbar oleh Kavyan pada 19 Oktober 2003.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!