21 Feb 2012

Awas! Tokoh Lidah Bercabang

Surat terbuka kepada para penerbit.

Sejak awal tahun ini, saya dihubungi sekurang-kurangnya tiga individu yang terlibat dalam bahagian editorial di tiga syarikat penerbitan.


Mereka memaklumkan bahawa mereka dihubungi/dikunjungi seseorang yang cuba menyebarkan fitnah dan pembohongan mengenai diri saya dan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan).


Orang berkenaan khabarnya “menasihatkan” tiga individu itu (secara berasingan) supaya tidak menerbitkan apa-apa bahan/manuskrip yang diterima daripada saya dan ahli Kavyan.


Alasan yang diberikan oleh orang itu adalah bahawa saya dan Kavyan mempunyai “agenda tertentu” dalam menyalurkan manuskrip kepada penerbit.


Untuk makluman, orang berkenaan adalah seorang tokoh yang terkenal dan disegani dalam bidang penulisan tanah air.


Modus operandi yang digunakan tokoh itu adalah membawa salinan “106 saranan pemurnian novel Interlok Edisi Murid dan menunjukkannya sebagai “bahan bukti” bahawa Kavyan ada “agenda tertentu”.


Untuk makluman, senarai 106 saranan pemurnian itu sudah diedarkan kepada umum mulai 25 Mac 2011 atas ‘permintaan’ menteri terbabit. Malah, kandungan saranan pemurnian itu diperakukan secara konsensus oleh Panel Bebas pada 4 Mac 2011.


Tokoh itu juga dilaporkan mempersoalkan mengapa saya dan Kavyan tampil memperjuangkan isu royalti teks Komsas melibatkan “penulis Melayu” sedangkan – katanya – “Gapena dan Pena sendiri tak mau peduli hal itu”.


Saya memaklumkan semua perkara ini kepada tuan/puan menerusi surat terbuka ini kerana saya tidak dapat menolak kemungkinan tokoh itu turut menghubungi tuan/puan dalam tempoh terdekat untuk menyebarkan fitnah dan pembohongan menggunakan modus operandi yang sama.


Sekiranya tuan/puan ada sebarang kemusykilan mengenai saya dan/atau Kavyan, sila berhubung terus dengan kami menerusi talian 016-3288142 atau e-mel infokavyan@yahoo.com.my untuk mendapatkan penjelasan dan pengesahan. Tuan/puan juga boleh merujuk blog www.uthayasb.blogspot.com dan www.kavyan.blogspot.com.


Anggaplah kandungan surat terbuka ini sebagai makluman sahaja. Semoga tokoh itu tidak tergamak menghubungi tuan/puan untuk menyebarkan fitnah mengenai saya dan Kavyan.


Harap maklum bahawa saya tidak diberi izin mendedahkan nama tiga individu dan tiga syarikat penerbitan terbabit. Bagaimanapun, saya sedia mendedahkan identiti tokoh itu jika timbul keperluan.


Saya juga sedia mendedahkan beberapa SMS yang dikirim oleh “tokoh lidah bercabang” itu kepada saya berhubung isu Interlok Edisi Murid sepanjang Januari 2011.


(Uthaya Sankar SB adalah presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan. Surat terbuka ini disiarkan di Free Malaysia Today dan The Malaysian Insider pada 20 Februari 2012; selain turut disiarkan di blog – BACA DI SINI.)