Tuesday, 21 February 2012

DBP: Royalti Komsas sudah dibayar

[Baca juga nota dan kandungan SMS pada akhir catatan ini]

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hari ini menjelaskan royalti telah dibayar kepada penulis yang mana karya mereka digunakan sebagai teks komponen sastera dalam mata pelajaran bahasa Malaysia (Komsas) di sekolah-sekolah menengah.


Pengarah Penerbitan DBP Abdul Khalik Sulaiman berkata pihaknya telah membayar royalti tersebut kepada Erda Roslan Khairi - seorang daripada lima penulis yang menulis surat terbuka kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.


Tegas Abdul Khalik, empat penulis lagi - Rohani Deraman, Amy Suzani Mohd Ainuddin @ Natasya Puteri, Hazama Harun @ Aida Shahir dan Mohd Izan Abd Hazes @ Mohd Faris Ikmal - "tidak ada kena mengena dengan DBP".


Ini kerana, disebabkan perjanjian mereka adalah dengan penerbit asal bukan dengan lembaga tersebut.


"Tahun lepas, kita dah buat bayaran kepada penulis (Erda)... Saya sebenarnya sudah berhubung dan dapat bercakap dengan penulis berkenaan," katanya ketika ditemui Malaysiakini selepas Majlis Perjumpaan Bulanan Kakitangan DBP dengan Ketua Pengarahnya Dr Awang Sariyan.


Ditanya mengapa berlaku kelewatan pembayaran, Abdul Khalik berkata ia disebabkan penulis itu telah bertukar alamat dan tidak memaklumkan kepada DBP.


Menurutnya lagi, beliau dapat mengesan dan berhubung dengan Erda melalui laman sosial Facebook.


Malah, kata pegawai itu, sejak perkara berkenaan ditimbulkan oleh media, pihaknya mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan masalah tersebut.


Pada Ogos tahun lalu, lima penulis mengutuskan surat terbuka kepada Muhyiddin yang juga menteri pelajaran, berikutan kegagalan mereka menuntut bayaran terhadap karya-karya mereka yang digunakan sebagai teks komponen sastera dalam mata pelajaran bahasa Malaysia (Komsas) di sekolah-sekolah menengah.


Menurut surat yang diperolehi daripada penulis novel Uthaya Sankar SB yang menerimanya selaku presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), kelima-lima penulis berkenaan mendakwa "tidak menerima satu sen pun" dalam bentuk royalti, walaupun karya mereka digunakan oleh ribuan pelajar di seluruh negara.


Penulis berkenaan, Rohani Deraman, Amy Suzani Mohd Ainuddin @ Natasya Puteri, Hazama Harun @ Aida Shahir, Mohd Izan Abd Hazes @ Mohd Faris Ikmal dan Erda Roslan Khairi, juga mendakwa bahawa pihak penerbit enggan melayan tuntutan mereka.


(Abdul Rahim Sabri, Malaysiakini, 20 Februari 2012. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat terperinci isu royalti teks Komsas.)


Nota: “Dalam pada itu, pada 19 September 2011, seorang lagi penulis terbabit, Erda Roslan Khairi mengirim SMS untuk memaklumkan bahawa beliau sudah menerima cek bayaran royalti daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).” – BACA DI SINI


Kandungan SMS, 19 September 2011, 12:10 tengah hari:


“Salam Sejahtera, saudara. Saya ingin maklumkan bhw saya telah menerima bayaran royalti teks Komsas pada 19.9.2011 drpd DBP mengikut jumlah sebenar spt mana yg saudara pernah maklumkan kpd saya. Saya difahamkan DBP ada mengeluarkan cek bayaran royalti kepd saya bg thn 2010 dan 2011, tetapi malangnya cek tersebut tdk saya terima krn berlaku pertukaran alamat yg tidak sy maklumkn kpd DBP. Saya ucapkan jutaan terima kasih kpd saudara dan Kavyan kerana setelah isuini dibangkitkan dlm media, barulah DBP dapat trace saya semula bg tujuan byrn royalti. Jika tdk, tentunya saya dan DBP masing2 menyepi diri. Anehnya, setelah isu disebarluaskan barulah saya menerima mesej melalui Facebook daripada seorg staf DBP yg meminta no. telefon saya. Terima kasih, saudara, atas usaha menegakkan hak penulis, yang selama ini langsung saya tidak ambil peduli.” – Erda Roslan Khairi


Sila KLIK DI SINI untuk maklumat terperinci isu royalti teks Komsas.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!