17 May 2021

Polemik Kata Tuhan: Menyanggah Tafsiran DBP

Sekali lagi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menimbulkan kekecohan dalam mentakrifkan sesuatu perkataan. Pada kali ini, DBP menimbulkan isu perkataan “Tuhan” sama ada menggunakan huruf besar atau huruf kecil.

Sebagai sebuah badan yang berfungsi sebagai pemelihara dan pemartabat bahasa kebangsaan, DBP tidak seharusnya dipengaruhi oleh sentimen perkauman, agama, ideologi politik dan warna kulit. DBP haruslah bersikap berkecuali dalam memberikan takrifan tentang sesuatu perkataan demi memperkaya dan memartabatkan bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan budaya di Malaysia.

Dalam isu perkataan “Tuhan”, alasan yang diberikan oleh DBP bahawa penggunaan huruf kecil adalah “nama am yang merujuk kepada dewa-dewa dan sebagainya yang mempunyai nama-namanya yang khas.” (Malaysiakini, 20 April 2021).

 

Dalam hal ini, DBP merujuk kepada masyarakat bukan Islam terutama masyarakat Hindu yang kononnya “percaya kepada banyak tuhan” dan hanya boleh menggunakan kata “tuhan” (huruf kecil).

 

Adakah pihak DBP mempunyai bukti bahawa masyarakat Hindu mempunyai banyak Tuhan? DBP perlu memahami konsep agama Hindu sebelum menuduh umat Hindu “percaya kepada banyak tuhan”. DBP boleh merujuk kitab Veda jika mahukan bukti Tuhan dalam ajaran Hindu.


 

Dalam agama Hindu, Tuhan hanya satu. Oleh itu, pandangan yang mengatakan bahawa orang Hindu menyembah banyak Tuhan adalah salah. Tuhan bagi orang Hindu hanya satu tetapi cara masyarakat Hindu mendekati-Nya adalah berbeza-beza.

 

Dalam Rukun Negara, perkataan “Tuhan” dieja huruf besar dan tidak disebut “Allah” kerana perkataan Tuhan dalam rukun tersebut merujuk kepada semua agama.

 

Dalam bahasa kebangsaan, perkataan “Tuhan” digunakan untuk mewakili konsep ketuhanan dalam semua agama yang diiktiraf di Malaysia. Jadi, adalah salah penggunaan huruf besar dan huruf kecil bagi membezakan Tuhan berdasarkan anutan agama.

 

Harap pihak DBP tidak mengelirukan orang ramai dengan membuat tafsiran sendiri. Sebaliknya, tumpukan kepada usaha memupuk minat masyarakat pelbagai kaum terhadap bahasa kebangsaan yang bersifat inklusif.


Suwedan Sellappan merupakan graduan Universiti Sains Malaysia (USM) dan kini pesara selepas 40 tahun menjadi guru subjek Bahasa Malaysia. Surat ini disiarkan di Malaysiakini pada 4 Mei 2021. Klik di sini untuk maklumat lanjut.