9 Jan 2010

Dr Lim Swee Tin

PROF. MADYA DR. LIM Swee Tin lahir di Kelantan pada tahun 1952. Pada 1988-1992, beliau melanjutkan pengajiannya di Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Pengajaran Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Pertama sebelum meneruskan perkhidmatannya di Negeri Sembilan dan Selangor selama 10 tahun lagi sebagai guru. Dalam tahun 1996-1999, beliau melanjutkan pengajian bagi memperoleh Ijazah Sarjana Sastera (M.A) dan 2000-2005 di peringkat Doktor Falsafah (Ph.D). Sejak 1 Disember 2000, beliau berkhidmat di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM.
.
Selain melibatkan diri dengan bersungguh-sungguh dalam lapangan kesusasteraan, Dr Lim juga merupakan pembimbing dan penceramah Bahasa Malaysia sejak tahun 1980. Beliau mengendalikan kursus seperti penulisan, KOMSAS dan memberi motivasi kepada pelajar, pelatih guru dan guru-guru di sekolah-sekolah di Malaysia dan di Singapura. Beliau turut menulis lebih daripada 10 buku panduan Bahasa Malaysia untuk pelajar PMR dan STPM. Pada tahun 2000, Dr Lim dianugerahi S.E.A. Write Award oleh Kerajaan Diraja Thailand di samping 25 hadiah kesusasteraan di Malaysia. Beliau menghasilkan lebih 50 buah buku kreatif dan nonkreatif sepanjang penglibatannya, dan karya-karya beliau terkumpul dalam 100 buah antologi bersama. [KLIK DI SINI]
.
Kini, Dr Lim dilantik selaku Ahli Lembaga Pengarah, Akademi Seni dan Budaya Warisan (ASWARA), Ahli Jawatankuasa Sastera, Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ahli anggota MASTERA (Majlis Sastera Asia Tenggara) dan terbaru, dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Memartabatkan Bahasa Kebangsaan, Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, dan Penasihat Kurikulum Bahasa Malaysia, Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zong). Beliau juga merupakan panel pemilih Penerima S.E.A. Write Award (Malaysia), dan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia sejak 2004.
.
Pada Jun 2009, Uthaya Sankar SB memulakan usaha secara serius untuk mencalonkan Dr Lim bagi Anugerah Sastera Negara yang membolehkan beliau menjadi Sasterawan Negara. [BACA DI SINI] Untuk melihat senarai sepuluh Sasterawan Negara, sila KLIK DI SINI. Pada 2011, Dr Lim dan Uthaya sama-sama dilantik untuk terlibat dalam Panel Meminda Novel Interlok.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!