9 Jan 2010

Kelab Membaca Sinar Pintar

Kelab Membaca Sinar Pintar (KMSP) memberi ruang dan peluang kepada masyarakat umum untuk terlibat sama dalam usaha melahirkan generasi muda yang menjadikan amalan membaca sebagai budaya harian.
.

Malah, KMSP juga membantu merealisasikan “Bangsa Malaysia” yang diimpikan.

.

Golongan guru, ibu bapa, pesara, suri rumah dan sesiapa sahaja yang mempunyai minat membaca kini berpeluang berkongsi minat itu bersama-sama generasi muda, khasnya kanak-kanak dan remaja.

.

Dengan menjadi Mentor KMSP, seseorang boleh menjalankan aktiviti berkaitan membaca dan bahan bacaan secara lebih terancang di bawah pengawasan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).

.

Segala urusan dan proses menjadi Mentor KMSP dipermudahkan bagi memungkinkan perhatian dan tumpuan diberi terhadap usaha menjalankan aktiviti secara berkala.

.

Para Mentor juga diberi taklimat dan latihan sebagai persiapan untuk membantu mereka menjalankan aktiviti mengikut kesesuaian, keselesaan dan minat masing-masing.

.

Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) berasa bangga kerana diberi peluang untuk bekerjasama dengan PNM dalam menjalankan aktiviti KMSP. Malah, Presiden Kavyan, Uthaya Sankar SB dilantik menjadi Fasilitator kepada pada Mentor KMSP.

.

Selaras dengan usaha memupuk minat membaca, Kavyan menjalankan pelbagai aktiviti untuk menggalakkan lebih ramai anggota masyarakat menyertai KMSP sebagai Mentor dan Ahli.

.

Ahli KMSP terdiri daripada kanak-kanak dan remaja yang berminat untuk menjadikan buku dan aktiviti pembacaan sebagai aktiviti yang menyeronokkan dan membawa pelbagai manfaat.

.

Setiap kumpulan dalam KMSP terdiri daripada seorang Mentor dan 4-8 Ahli yang akan bersama-sama merangka dan menjalankan aktiviti setiap dua minggu.

.

Aktiviti yang dijalankan tidak berorientasikan peperiksaan. Perkara ini amat penting kerana generasi muda perlu menjadikan membaca sebagai amalan harian; bukan sekadar untuk dinilai dan diberi markah.

.

Antara aktiviti yang boleh dijalankan adalah membaca secara berkumpulan, membaca secara bergilir-gilir, menyanyi, berlakon, melukis bermain, menari dan bercerita.

.

Semuanya bergantung dan terpulang pada kreativiti Mentor untuk merangka dan mengendalikan aktiviti dua minggu sekali.

.

Selepas mengikuti bengkel dan latihan kendalian PNM, Mentor boleh merangka aktiviti yang sesuai untuk dijalankan.

.

Setiap aktiviti direkodkan dan perlu dikemukakan kepada pihak urus setia KMSP untuk memastikan aktiviti dijalankan secara betul dan teratur.

.

Bagi para Ahli KMSP, mereka berpeluang untuk mengembangkan imaginasi dan kreativiti. Aktiviti membaca dan pelbaga aktiviti berkaitan buku tidak lagi kaku dan membosankan.

.

Ringkasnya, KMSP merupakan permulaan yang amat sesuai dalam merealisasikan “Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya”.

.

Malah, penglibatan Mentor dan Ahli pelbagai kaum secara tidak langsung membantu menjayakan konsep “Bangsa Malaysia” di mana masing-masing berpeluang untuk saling mengenali, memahami, menghormati, bekerjasama dan mengukuhkan perpaduan.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!