23 Apr 2010

Intertekstualiti dan Pengarang

Menurut Julia Kristeva, pengasas teori intertekstualiti, kreativiti seseorang individu ditentukan oleh unsur luaran dan unsur-unsur dalaman yang mendominasi pemikiran mereka. Dalam struktur atasan minda terkumpul segala unsur luaran manakala unsur-unsur dalaman menghuni struktur bawahan minda.
.
Unsur-unsur luaran merangkumi pengalaman pengarang, budaya, agama, kepercayaan, tradisi, aspek sosial, sejarah, moral, pendidikan, falsafah, sikap, ideologi serta apa-apa yang memberi sumbangan kepada pembinaan sesebuah karya sastera. Manakala unsur-unsur dalaman merujuk kepada estetika, imaginasi dan ilusi pengarang itu sendiri.
.
Gabungan kedua-dua unsur iaitu unsur luaran dan dalaman akan mempengaruhi kreativiti pengarang semasa proses penciptaan karya. Faktor-faktor luaran akan mempengaruhi pemikirannya dari aspek pemilihan tema, pelukisan latar dan penampilan watak dalam karya kreatif yang ditangani oleh pengarang.
.
Malah karya adalah cerminan diri pengarang dari sudut intertekstualiti kerana menurut teori intertekstualiti, semua yang berada dalam minda pengarang akan mengalir ke dalam karyanya semasa proses penciptaan kerana unsur-unsur luaran tidak boleh dipisahkan semasa proses penciptaan karya.
.
Malah segala unsur ini akan menyerap ke dalam teks yang dihasilkan oleh pengarang dan boleh dikesan dalam karya pengarang terbabit. Justeru esei ini akan meneliti kreativiti dan pengaruh intertekstualiti dalam karya dua cerpenis India yang telah mencipta nama di persada sastera tanah air. Mereka ialah Saroja Theavy dan Uthaya Sankar SB.
.
Beberapa ciri persamaan dan perbezaan mendasari sebab pemilihan kedua-dua cerpenis ini. Allahyarham Othman Puteh pernah berkata, hanya dua cerpenis India yang dapat bertahan ke akhir abad ke-20, memasuki alaf baru, menulis secara konsisten, yakin diri dan memberi nama dan jalur dalam senario penulisan cerpen tanah air.
.
Persamaan kedua, mereka tergolong dalam kategori penulis generasi baru atau jalur kedua. Menurut Rahman Shaari, istilah penulis generasi baru merujuk kepada penulis yang muncul sesudah dua generasi selepas perang. Penulis yang tergolong dalam kategori generasi pertama selepas perang ialah Shahnon Ahmad, A. Samad Said, Ishak Haji Muhammad, Keris Mas serta penulis yang aktif dalam dekad 1950-an dan 1960-an.
.
Ketiga, mereka keturunan India, memiliki latar budaya yang sama dan berkarya dalam bahasa kebangsaan. Ciri ini penting kerana mereka menggunakan bahasa kebangsaan sebagai wahana untuk menyalurkan pemikiran mereka dalam karya kreatif.
.
Manakala perbezaan yang ketara antara kedua-dua cerpenis ini ialah teknik atau gaya menghantar muatan subjek dalam karya. Jika di tangan Saroja Theavy terserlah pengucapan yang konvensional, maka Uthaya Sankar SB gemar menyisipkan beberapa eksperimen dalam karya awal beliau.
.
Kristeva berpendapat bahawa pengaruh intertekstualiti banyak berlaku dalam aspek struktur penciptaan. Justeru esei ini akan memberi penumpuan kepada beberapa komponen yang membina sesebuah cerpen seperti gagasan atau tema, plot dan latar serta pengaruh intertekstualiti yang ketara dalam ketiga-tiga komponen tersebut.
.
Menelusuri cerpen-cerpen Saroja Theavy, didapati cerpenis wanita ini gemar memulakan cerita beliau dengan teknik pemerian. Pemerian atau deskripsi ialah penceritaan oleh pengarang dalam bentuk huraian yang disampaikan dalam bentuk ayat-ayat yang menarik dan teliti.
.
Melalui teknik pemerian, Saroja Theavy memberikan gambaran yang begitu terperinci dan pembaca dapat melihat, mendengar, merasa dan menghidu dengan berkesan melalui daya imaginasi mereka. Penggunaan bahasa yang segar, puitis dan bertenaga berjaya mencengkam perhatian pembaca untuk terus mengikuti kisah selanjutnya.
.
Seperkara yang ketara dalam cerpen-cerpen Saroja Theavy ialah kecenderungan untuk berbicara tentang alam sekitar, flora dan fauna. Malah alam sekitar amat akrab dan sinonim dengan cerpenis wanita ini.
.
Justeru, beliau gemar menyelitkan unsur-unsur alam dalam karya beliau. Ideologi beliau yang ingin membela nasib flora dan fauna tercermin dalam karyanya. Ini amat bertepatan dengan pandangan Mikhail Bakhtin bahawa corak dan jenis karya yang dihasilkan akan mencerminkan sikap dan aspirasi pengarang itu sendiri.
.
Jika Saroja Theavy menggunakan teknik pemerian di bahagian introduksi untuk memancing minat audiens, Uthaya Sankar SB menjerat pembaca melalui teknik in medias res.
.
Menurut Hashim Awang, teknik in medias res berasal dari ungkapan Latin yang bermaksud “berada di tengah-tengah benda”. Dalam kesusasteraan, in medias res merupakan satu kaedah bercerita di mana penceritaan sesebuah kisah dimulakan di bahagian tengah dan kemudian pengarang menghubungkannya semula dengan bahagian-bahagian yang terdahulu dan selepasnya.
.
Teknik ini amat dominan dalam cerpen-cerpen beliau. Malah hampir kesemua cerpen beliau menggunakan teknik ini di bahagian introduksi. Perbezaan dari segi kaedah penyampaian dipengaruhi oleh ideologi mereka yang berbeza. Ideologi mereka dipengaruhi oleh unsur-unsur ekstrinsik yang mendominasi pemikiran mereka.
.
Jika Saroja Theavy berpendapat bahawa adalah menjadi “tanggungjawab beliau untuk membela nasib alam sekitar, flora dan fauna” yang menjadi sebahagian daripada penghuni alam ini maka ideologi Uthaya Sankar SB bahawa “penulis ialah pencetus persoalan untuk renungan pembaca” menyumbang kepada pemilihan corak ekspresi untuk menyampaikan muatan cerita dalam karya.
.
Jika dalam cerpen Saroja Theavy pembaca dapat menjelajah ke alam imaginasi melalui penggunaan gaya bahasa yang puitis, cerpen Uthaya Sankar SB membawa khalayak ke alam realiti melalui penggunaan diksi yang tepat, padat dan informatif. Perbezaan dari segi pemilihan diksi dipengaruhi oleh latar diri, kerjaya serta faktor gender.
.
Saroja Theavy ialah seorang cerpenis wanita dan wanita sering dikaitkan dengan keindahan dan kehalusan jiwa. Justeru beliau menitikberatkan kepuitisan bahasa dalam cerpennya. Manakala Uthaya Sankar SB, seorang cerpenis lelaki, bekas penyunting berita di RTM dan editor forum dalam talian iaitu Kavya.
..
Tema ialah idea utama yang dipilih oleh pengarang untuk digarap dalam cerekanya. Idea utama ini merupakan sesuatu yang menjadi fikiran atau persoalan bagi pengarang. Menelusuri cerpen-cerpen Saroja Theavy dan Uthaya Sankar SB, ideologi serta aspirasi mereka tercermin dalam karya kreatif mereka.
.
Saroja Theavy yang sentiasa memikir akan alam sekitar menyalurkan aspirasi dalam cerpennya. Cerpen-cerpen beliau seperti “Di Sepenjuru Pantai Peru”, “Pengantin Hitam”, “Keinginan Kecil Di Celah Daun”, “Kami Akan Mati, Lin” dan “Di Celah-Celah Cinta Lepidoptera I dan II” di samping menyalurkan tema alam sekitar cuba menyemai cinta remaja terhadap spesies lepidoptera.
.
Manakala Uthaya Sankar SB yang sentiasa ingin menjadi sasterawan yang berani mengkritik bagi tujuan membina dan tidak sanggup melihat individu dan masyarakat turut dijadikan mangsa oleh beberapa individu telah memindahkan segala ketidakpuasan ini dalam cerpennya.
.
Malah sejumlah 19 daripada 66 buah cerpen yang dikaji menyalurkan pemikiran keadilan sosial. Beliau mendedahkan segala kepincangan, kelemahan dan ketidakadilan yang berleluasa dalam kalangan individu, organisasi serta masyarakat. Antara cerpen yang menyalurkan pemikiran keadilan sosial ialah cerpen “Mengubah Teks”, “Bitara Sita”, “Sasterawan Pulau Cinta”, “SB”, “Puteri Alus Gagah”, “Pedas”, “O”, “Sang Penulis” dan “Wanita”.
.
Ideologi serta aspirasi mereka yang berbeza menyebabkan tema yang dipilih oleh mereka berbeza. Kenyataan ini diperkukuh oleh pandangan Abd. Rahman Napiah bahawa aspek intertekstualiti dalam penciptaan karya dapat dilihat dari sudut hubungan antara pengarang dengan fahaman pemikiran atau ideologi yang dianuti mereka.
.
Ini adalah kerana semasa proses penciptaan, idea atau pemikiran pengarang akan mengalir terus ke dalam karya yang sedang ditulis oleh mereka dan seterusnya menjadi persoalan atau pemikiran yang digarap oleh pengarang.
.
Saroja Theavy dan Uthaya Sankar SB memiliki persamaan dalam aspek pemilihan latar tempat dalam karya kreatif mereka. Kedua-dua cerpenis ini cenderung menampilkan latar tempat di mana mereka dilahirkan dan dibesarkan. Negeri kelahiran mereka mendapat keutamaan dalam cerpen mereka. Jika dalam cerpen Saroja Theavy tempat-tempat dan bandar tertentu di Kedah mendapat keutamaan, maka dalam cerpen Uthaya Sankar SB tempat-tempat di Perak khususnya Taiping mendapat perhatian utama.
.
Pemilihan dan penggunaan latar tempat yang khusus dalam karya membuktikan akan kesahihan pandangan Mikhail Bakhtin dan Julia Kristeva bahawa pengarang akan memilih tempat-tempat yang akrab dengan diri mereka sebagai latar tempat dalam karya mereka.
.
Meneliti pengakhiran cerita dalam cerpen kedua-dua cerpenis ini ternyata mereka memiliki kreativiti tersendiri dalam menamatkan cerita mereka. Kreativiti mereka dipengaruhi oleh aspirasi dan pendirian mereka. Saroja Theavy menamatkan cerita beliau dengan penyelesaian yang munasabah kerana sebagai pendidik beliau berpendapat bahawa setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Manakala Uthaya Sankar SB membiarkan cerpen beliau dalam keadaan tergantung tanpa sebarang penyelesaian kerana beliau yakin pembacanya yang terdiri daripada kelompok bermentaliti tinggi mampu memikirkan akan kesudahan yang rasional untuk ceritanya. Beliau amat menghormati minda dan intelektualiti mereka justeru, tidak mahu menghampakan mereka dengan penyelesaian yang mutlak. Adalah tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa ideologi dan pendirian kedua-dua cerpenis ini terpancar dalam karya kreatif mereka.
.
(Raja Rajeswari Seetha Raman, Utusan Malaysia, 6 November 2005)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!