26 Jan 2010

Ulasan Novel "Alpa"

Novel Alpa (DBP: 2006) karya M. Balachandran mengisahkan watak utama, Siva, seorang guru lepasan maktab perguruan dari Kuala Lumpur yang dihantar ke SJK (T) Ladang Selama, Kedah.
.
Siva, pemuda berusia 23 tahun itu menerimanya dengan hati yang berat. Namun, setelah memulakan tugas di sana, sikap Siva mula berubah. Dia mula menyedari nasib malang yang menyelubungi sistem pendidikan sekolah Tamil, penduduk estet dan rintihan golongan muda.
.
Melalui novel setebal 116 halaman ini, penulis cuba menggambarkan suasana sebenar di sebuah estet yang majoriti penduduknya adalah kaum India pada akhir tahun 1980-an atau awal 1990-an.
.
Dipaparkan watak-watak seperti Mandur Maniam iaitu Pengerusi Kesatuan Sekerja Ladang yang mementingkan diri, Ravi yang mengetuai sekumpulan pemuda radikal, Cikgu Rani iaitu anak kepada kerani yang berjaya menambat hati Siva, pihak pemaju yang bakal mengambil alih Estet Selama untuk tujuan pembangunan dan seorang tokoh politik kaum India yang sanggup membelot demi kepentingan peribadi.
.
Walaupun kedatangannya ke estet itu hanya sebagai guru, Siva tidak dapat mengelak daripada turut terlibat dalam pelbagai kejadian yang berlaku di luar sekolah. Masalah yang paling ketara adalah berkaitan pampasan yang sepatutnya diterima oleh para penduduk estet berikutan tindakan pemilik menjual estet berkenaan kepada pemaju perumahan.
.
Siva juga secara tidak langsung terheret ke dalam masalah penduduk tempatan apabila dia cuba membantu Ravi yang menjadi mangsa politik kotor Maniam yang mahu mengekalkan kedudukan sebagai Pengerusi Kesatuan Sekerja Ladang.
.
Para pembaca akan tertanya-tanya apakah yang mampu dilakukan oleh watak Siva dalam tempoh setahun dia berkhidmat di sekolah Tamil berusia 50 tahun itu. Apakah dia akan berjaya membawa perubahan di sekolah tempat dia mengajar. Apakah dia sempat memperjuangkan nasib penduduk estet yang tidak terbela.
.
Penceritaan kisah dalam novel Alpa yang terbahagi kepada sepuluh bab ini lebih banyak menggunakan sudut pencerita orang pertama, Siva, kecuali dalam Bab Dua dan Bab Empat. Teknik ini menjadikan penceritaan lebih meyakinkan kerana pembaca mendapat pelbagai maklumat daripada sudut pandangan watak Siva.
.
M. Balachandran merupakan penulis cerpen dan drama radio bahasa Tamil yang cukup terkenal di kalangan masyarakat India. Pemuda kelahiran Sepang, Selangor ini mendapat pendidikan rendah di sekolah Tamil. Beliau juga guru lulusan Maktab Perguruan Lembah Pantai sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Malaya.
.
Minat beliau untuk menghasilkan cerpen mula berkembang selepas menyertai Bengkel Penulisan Pelbagai Kaum anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1994.
.
Berbekalkan pengalaman yang luas, M. Balachandran berjaya menggambarkan masalah sekolah Tamil, suasana estet serta pemikiran kaum India secara penuh meyakinkan. Beliau juga mengkritik secara halus terhadap kepincangan yang wujud dalam masyarakat India, khususnya di ladang dan estet.
.
Masalah yang sekian lama menghantui sekolah-sekolah Tamil diceritakan melalui sudut pandangan watak Siva. Antara masalah yang dikemukakan adalah kekurangan kemudahan asas, bangunan sekolah yang lebih menyerupai kandang kambing, guru-guru sementara yang tidak komited, pihak pengurusan ladang yang tidak mengambil berat, serta ahli politik yang hanya mahu mengambil kesempatan atas penderitaan masyarakat.
.
Setiap bab beri tajuk yang menarik; misalnya “Orang Baru dan Tempat Baru”, “Sekolah Pondok di Hujung Estet”, “Komplot di Bawah Lampu Neon” dan “Ranjau yang Menusuk Hati”.
.
Ternyata M. Balachandran telah cuba melakukan apa yang terbaik melalui novel sulung ini dalam usahanya menggambarkan realiti masyarakat estet untuk bacaan umum. Khalayak berpeluang mengetahui secara lebih mendalam pelbagai realiti masyarakat estet yang selama ini banyak diutarakan dalam puisi, cerpen, novel dan drama bahasa Tamil.
.
Penulis juga berusaha mengaplikasi pengalaman menulis skrip drama radio dalam menangani teknik penulisan novel ini. Hasilnya, setiap bab diakhiri dengan penceritaan yang mengundang pembaca untuk segera membaca bab seterusnya.
.
Dialog-dialog juga ditulis secara dramatik dan sesuai dibaca seperti dialog daripada sebuah skrip drama radio. Malah, teknik panorama dan babakan yang digunakan oleh penulis boleh membantu pembaca menggambarkan persekitaran dan latar tempat seperti pada sebuah skrip filem.
.
Novel Alpa amat sesuai dibaca oleh golongan remaja pelbagai kaum untuk mengetahui, memahami dan menghayati suasana sebenar di sebuah estet yang terpinggir daripada arus pembangunan.
.
(Uthaya Sankar SB, Dewan Siswa, April 2007) * Novel Alpa mencetuskan idea bagi cerpen "Mengubah Alpa" (Kathakali, 2009). NOTA: Balachandran turut menyelenggarakan antologi Seruling di Persimpangan (1999). Beliau meninggal dunia pada 29 April 2015. Lihat juga: BIODATA PENULIS KAUM INDIA

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!