15 Feb 2010

Manichitratazhu

Filem Manichitratazhu (“The Ornate Lock”) terbit pada 1993 dan membawa tema yang amat baru dalam dunia filem Malayalam. Filem psychological thriller itu diarah oleh Fazil dengan dibantu Priyadarshan, Sidique-Lal dan Sibi Malayil.
.

Cerita ditulis oleh Madhu Muttam yang mengaku mengangkat kisah berkenaan daripada tragedi yang berlaku di Kerala pada kurun ke-19.

.

Kisah Manichitratazhu mengenai Nakulan (lakonan Suresh Gopi) yang membawa isterinya, Gangga (Shobana) ke rumah pusaka mereka. Pelbagai kejadian aneh dan mistik berlaku di sana.

.

Akhirnya, Nakulan meminta bantuan rakan karibnya, Dr Sunny Joseph (Mohanlal), seorang pakar psikiatri untuk menyiasat perkara itu. Sedikit demi sedikit, rahsia lama mula terbongkar. Rumah pusaka berkenaan pernah dimiliki oleh seorang lelaki kaya dan berkuasa, tetapi tua.

.

Lelaki tua itu membawa – secara paksa – seorang penari bharatanatyam bernama Nagavalli dari Tamil Nadu sebagai gundik. Nagavalli pula mencintai Ramanathan.

.

Apabila mendapat tahu mengenai Ramanathan, lelaki tua itu memancung pemuda berkenaan di hadapan mata Nagavalli. Sebab itulah kononnya roh Nagavalli merasuk tubuh Gangga.

.

Dr Sunny Joseph meminta Nakulan memakai pakaian menyerupai lelaki tua itu. Babak kemuncak diserikan dengan lagu “Orumurai Vandhu Paarpaiya” dalam Bahasa Tamil sebelum Nagavalli (Shobana) memancung kepala Nakulan yang dibayangkan sebagai lelaki tua itu. Tetapi tentulah Dr Sunny Joseph sempat menggantikan tempat Nakulan dengan patung sebelum dipancung.

.

Filem Manichitratazhu (1993) terus mendapat sambutan hangat di pawagam dan televisyen Kerala sehingga kini. Bagaimanapun, hanya lagu “Orumurai Vandhu Paarpaiya” yang sampai ke Malaysia!

.

Sila KLIK DI SINI untuk membaca lebih lanjut.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!