18 Mar 2010

Kit Siang Cadang Jawatankuasa Kaji Kejayaan 1Malaysia

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Ipoh Barat, Lim Kit Siang mencadangkan supaya satu Jawatankuasa Pilihan Parlimen (JPP) mengenai Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (PTK) 1Malaysia yang diketuai seorang Ahli Parlimen pembangkang ditubuhkan untuk menyelia dan melaporkan mengenai pelaksanaan dan kemajuan pelan berkenaan.
.

Kit Siang berkata, jawatankuasa itu bukan sahaja menyelia pelaksanaan prinsip-prinsip 1Malaysia “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” tetapi juga isu dan inisiatif berkaitan perpaduan termasuk ekonomi, pendidikan, interaksi sosial dan pengurusan polariti dan agama.

.

“Jawatankuasa Pilihan Parlimen 1Malaysia juga akan menyelia pencapaian-pencapaian enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) iaitu mengurangkan kadar jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan, menambah baik pengangkutan awam, memperkasa prasarana luar bandar dan meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah,” katanya semasa membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Diraja Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, 18 Mac 2010.

.

Terdahulu, Kit Siang berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak seolah-olah hilang kawalan dalam slogan dan konsep 1Malaysia yang diilhamkannya kerana kebanyakan pemimpin UMNO mengeluarkan kenyataan bertentangan dengan semangat gagasan tersebut.

.

“Adakah Perdana Menteri mendidik semua ahli Jemaah Menteri, termasuk Timbalan Perdana Menteri, supaya mereka faham sepenuhnya apa yang dimaksudkannya dengan konsep 1Malaysia,” katanya.

.

Beliau berkata, ada tiga ujian mudah bagi menguji sama ada pemimpin UMNO dan Kabinet benar-benar ikhlas, serius dan komited terhadap konsep 1Malaysia.

.

“Pertama, sama ada mereka bersetuju dengan penubuhan JPP mengenai 1Malaysia yang diketuai pembangkang; dan kedua, bersedia mengumumkan bahawa asas gagasan tersebut adalah ‘ketuanan rakyat Malaysia’ dan bukannya ‘ketuanan Melayu’.

.

“Ujian ketiga pula adalah sama ada mereka bersedia menyokong objektif 1Malaysia sebagaimana yang ditafsirkan PTK untuk membentuk sebuah negara di mana setiap rakyat menganggap dirinya sebagai rakyat Malaysia dahulu diikuti kaum, agama atau wilayah kemudiannya,” katanya.

.

Kit Siang juga berkata, musuh 1Malaysia bukanlah dari luar Barisan Nasional (BN) tetapi dari dalam UMNO sendiri. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!