17 Apr 2010

Wanita

Wanita adalah selamanya hamba abdi yang lemah selagi mereka tidak memerdekakan diri dan minda. Kaum wanita tidak akan mendapat tempat yang mulia di mata dunia dalam era pembangunan ini selagi mereka masih menganiaya diri sendiri; mengikat diri pada amalan kolot yang tidak berasas.
.

“Selamat pagi, Puan Citra,” sapa saya apabila dia datang bersarapan di kantin.
.

Dia merenung tajam ke arah saya. Kemudian mengembungkan pipi sebagai tanda marah. Dia tidak jadi duduk semeja dengan saya. Lalu dipilihnya meja jauh di sudut hadapan kantin. Saya bangkit menurutnya.
.

“Boleh tumpang duduk?” tanya saya seraya meletakkan cawan teh dan naskhah Utusan Malaysia di atas meja. Kemudian duduk tanpa menantikan jawapan daripadanya. “Puan Citra marahkah?’
.

“Nampak ni?” Puan Citra menuding pada tanda namanya. “Tau baca tak?”
.

“Masakan pula saya tak tau membaca. Kalau tidak, macam mana boleh menjawat jawatan kerani akaun di sebuah kilang kasut terkenal seperti Malaysian Flavour ini.”
.

Bibir Puan Citra diherot ke kiri dan ke kanan berulang kali. Hodoh sungguh apabila wanita yang cantik menarik muka sebelas inci.
.

“Awak kena panggil saya sebagai Puan Ramachandran,” kata wanita bersari hijau kain kapas itu.
.

‘Tapi bukankah nama puan memang Citra?”
.

“Itu sebelum berkahwin.”
.

Wanita berumur 28 tahun itu mengambil naskhah akhbar dan membaca tajuk utama.
.

"Oh, jadi nama puan sudah bertukar sejak berkahwin sebulan lalu?” Saya berpura-pura tidak tahu.
.

"Hmm. Ikut nama suami."
.

Dia masih tekun meneliti tajuk utama pada akhbar. Memang sebelum berkahwin dulu, kami di pejabat memanggilnya ‘Cik Citra’ sahaja. Tiba-tiba selepas berkahwin dengan Encak Ramachandran, pengurus jualan di Kilang Kasut Malaysian Flavour cawangan Peria Pattanam, dia menukar namanya menjadi ‘Puan Ramachandran’. Nama pada pas kerja ditukar. Nama dalam hal surat-menyurat diubah. Rakan sepejabat memanggilnya ‘Puan Rama’ sahaja. Tanda namanya juga ditukar menjadi ‘Puan Ram’. Katanya, mahu menjimatkan ruang dan kerana lebih mudah dan enak disebut.
.

“Katakanlah seorang wanita berkahwin dengan seorang lelaki bernama Ramu,” kata saya setelah menghirup teh yang sudah suam, “nama wanita itu akan menjadi puan Ramu. Begitu?”
.

Puan Citra mengangguk sambil tersenyum manis.
.

“Kalau suaminya meninggal dunia, dia akan menggunakan nama ‘Balu Ramu’ ya? Dan kalau sudah bercerai dipanggil ‘Janda Ramu’? Bagaimana kalau wanita itu berkahwin lain; namanya akan berubah lagi?”
.

Merah padam muka Puan Citra. Saya nampak. Namun, saya tak kisah. Memang sudah lama saya mahu bertanya begitu kepada mana-mana wanita kaum India. Bukan kerana saya tidak faham tentang amalan menukar nama selepas berkahwin di kalangan wanita India. Sama sekali tidak. Cuma saya mahu tahu mengapa mereka berbuat demikian. Mengapa perlu menggunakan nama si suami; mengapa tidak nama sendiri?
....
Petikan cerpen “Wanita” karya Uthaya Sankar SB dalam kumpulan Siru Kambam (DBP, 1996 dan1997) dan Kisah dari Siru Kambam (2013).

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!