Seperti yang disebutkan oleh Prof Madya Dr Hj Othman Puteh (Allahyarham) di kulit belakang buku ini, Uthaya Sankar SB cenderung menampilkan latar khusus Siru Kambam iaitu sebuah daerah berhampiran Taiping yang menggambarkan secara dominan kehidupan masyarakat India dan hubungan mereka dengan masyarakat majmuk di Malaysia.
Ternyata bahawa Siru Kambam membuka peluang kepada audien untuk mengenali citra budaya masyarakat India di Malaysia. Malah penulis sendiri mengakui bahawa “… saya beranggapan adalah menjadi tanggungjawab saya menampilkan kebudayaan kaum India untuk tatapan dan pemahaman para pembaca yang terdiri daripada pelbagai kaum”.
Proses penciptaan turut dihuraikan secara terperinci dan mendalam di bahagian pertama yang diberi tajuk “Penulis ialah Penimbul Persoalan …”. Memang bagi Uthaya Sankar SB, penulis hanya penimbul persoalan untuk renungan pembaca. Ideologi ini terpancar melalui hampir kesemua 16 cerpen yang termuat di dalam Siru Kambam.
Tema yang dikemukakan adalah pelbagai. Kasih sayang dan persaudaraan tetap menjadi pilihan penulis dalam “Persaudaraan Banyan” (judul asal ialah “Brotherhood of the Banyan”) dan “Orang Pulau”. Cerpen “Nayagi” dan “Kakak, Tolonglah Saya!” mengemukakan protoganis wanita manakala “Wanita” mengkritik sikap wanita kaum India yang semakin hilang peribadi.
Cerpen “Siru Kambatil” dan “Pancayat” masing-masing berlatarkan Siru Kambam dan Kubur Gajah; kedua-duanya di negeri Perak. “Bitara Sita” dan “Menyimpang” (@ “Sengketa Pulau Cinta”) pula berlatarkan Pulau Cinta yang dikatakan terletak di antara Pulau Kelang dan Pulau Ketam.
“Sang Penulis” adalah cerpen empat halaman! Namun, kritikan di dalamnya cukup tajam dan pedas. Begitu juga dengan “Sebuah Cerita Biasa”. Ia bukanlah sebuah cerita biasa pada erti kata sebenar. Pada mulanya kelihatan seperti sebuah cerita rakyat tetapi kemudian cerita berubah. Watak ‘putih’ tidak selamanya ‘putih’. Penggunaan sudut pencerita “Aku” @ seekor nuri menjadikan cerpen ini cukup menyentuh hati. Apatah lagi apabila burung itu bertanya terus kepada pembaca di akhir cerita: “ANDA faham, bukan?”
Sebenarnya Siru Kambam tidak sekadar menampilkan watak dan permasalahan hidup kaum India. Uthaya Sankar SB turut menyentuh tema kaum-kaum lain. Apa yang menarik, penulis mampu menghayati dan menjiwai sepenuhnya setiap watak dan perwatakan yang dikemukakan. Misalnya dalam cerpen “Orang Pulau”, penulis menggunakan sudut pencerita Ah Chee dan Hussein secara silih berganti. Apa yang menarik, apabila Ah Chee bercerita, watak itu nampak benar-benar Cina. Begitu juga, apabila Hussein bercerita, watak itu nampak benar-benar Melayu.
Penghayatan watak seumpama ini sudah pernah Uthaya Sankar SB lakukan dalam cerpen “Kucing Jalang, Kucing Tempatan” (Orang Dimensi). Begitu juga dalam “Impian Syarif” watak “Aku” kelihatan benar-benar Islam. Pembaca wajar juga meneliti cerpen “Aku dan Anak Itu” (Orang Dimensi) untuk melihat secara lebih mendalam keupayaan Uthaya Sankar SB menghayati watak Melayu-Islam.
Kumpulan cerpen Siru Kambam turut memuatkan beberapa cerpen yang tidak mudah difahami. Misalnya “Vis-à-vis” dan “Mengubah Teks”. “Vis-à-vis” hanya berisi dialog antara dua watak. Rupa-rupanya kedua-dua watak itu adalah individu yang sama!
Melalui cerpen “Mengubah Teks” pula, pembaca dibawa menjenguk ke dalam beberapa teks penulis lain. Malah watak “Aku” turut masuk ke dalam novel Hanuman: Potret Diri (DBP: 1996) dan cerpen “Mengubah Teks”. Wajar juga disebutkan di sini bahawa manuskrip asal “Mengubah Teks” ditulis oleh watak Khandan dalam “Persaudaraan Banyan”. Cukup ruwet dan memeningkan!
Walau bagaimanapun, peminat sastera bermutu pasti akan berasa seronok berada di Siru Kambam, Peria Pattanam, Kubur Gajah dan Pulau Cinta untuk turut mengalami apa yang dialami oleh watak-watak dalam kumpulan cerpen ini.
Peminat karya popular dinasihatkan agar menjauhi Siru Kambam.
Catatan: Selepas saya berusaha sejak 13 Februari 2007, akhirnya pada 21 Disember 2009, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak lagi mempunyai alasan untuk menghalang saya daripada mengambil semula hak penerbitan terhadap kumpulan cerpen Orang Dimensi, Siru Kambam dan Surat Dari Madras; selain novel Hanuman: Potret Diri dan cerita rakyat Nari! Nari! – Uthaya Sankar SB