22 Aug 2010

Onam 1Malaysia

Berikut hanyalah petikan bahagian awal, tengah dan akhir daripada tulisan Uthaya Sankar SB yang disiarkan di TheMalaysianInsider pada 4 September 2009.
.

Menjelang sambutan Onam pada 2 September 2009, saya memohon cuti di tempat kerja. Sebagaimana lazim, majoriti tidak pernah mendengar mengenai Onam. Atau menganggapnya sebagai upacara keagamaan di kuil.

.

Saya secara peribadi sudah tidak hairan dengan segala “kejahilan” Bangsa Malaysia yang hanya mengenali Deepavali, Thaipusam dan Ponggal apabila bercakap mengenai perayaan kaum India.

.

Bangsa Malaysia” yang saya maksudkan pasti sahaja termasuk juga kaum India sendiri yang ketara menganggap dan mengandaikan bahawa semua penduduk kaum India di seluruh dunia adalah orang Tamil, hanya tahu Bahasa Tamil, beragama Hindu dan hanya merayakan Deepavali, Thaipusam dan Ponggal.

.

Onam secara tradisi disambut oleh penduduk di negeri Kerala, bahagian selatan India. Malah, di Kerala, sejak tahun 1961, Onam merupakan perayaan rasmi peringkat negeri dan diraikan secara besar-besaran.

.

Apa yang menarik, Onam diraikan oleh penduduk keturunan Malayali tanpa mengira agama. Maka, Onam adalah perayaan kebudayaan masyarakat Malayali; bukan perayaan penganut agama Hindu semata-mata.

.

(Sijil kelahiran saya mencatatkan keturunan saya sebagai “Malayalam” manakala pada sijil kelahiran anak saya pula tercatat “Malayali”. Semoga tidak timbul kekeliruan istilah.)

.

Mitos yang sering dikaitkan dengan sambutan Onam adalah mengenai Bali Chakravarthi atau Mahabali keturunan Asura yang dipercayai memerintah negeri Kerala pada zaman silam.

.

Di Malaysia pula, sambutan Onam hanya selama sehari; itu pun secara kecil-kecilan pada hari bekerja oleh sekitar 37,000 penduduk keturunan Malayali.

.

(Data yang dikeluarkan Jabatan Statistik Malaysia menunjukkan bahawa daripada 1,580,210 penduduk kaum India di Malaysia, 86.9 peratus adalah keturunan Tamil, 2.4 peratus Telegu, 2.3 peratus Malayali dan 2.1 peratus Punjabi.)

.

Maka, tidak hairanlah bahawa maklumat mengenai Onam kurang diketahui oleh Bangsa Malaysia; walaupun kita dengan penuh semangat melaungkan konsep “1Malaysia” dan kononnya meraikan perpaduan dalam kepelbagaian. [REALITY CHECK]

.

Bagaimanapun, adalah mustahil untuk mengharapkan sambutan Onam secara besar-besaran di Malaysia; sebuah negara yang meraikan perpaduan dalam kepelbagaian.

.

Mujurlah juga sejak belakangan ini, ada kesedaran yang semakin tinggi dalam kalangan generasi muda masyarakat Malayali mengenai sambutan Onam serta perayaan-perayaan lain yang ada kaitan dengan budaya tradisi masyarakat Malayali.

.

Belum terlewat untuk masyarakat Malayali di Malaysia mempromosi Onam secara lebih hebat dan berterusan, selaras dengan semangat “1Malaysia” dan “Malaysia Boleh” yang menjadi sebutan ramai.

.

Manalah tahu, menjelang sambutan Onam pada tahun 2010, Mahabali yang menziarahi masyarakat Malayali di Kerala; kemudian turut memutuskan untuk berkunjung ke Suwarnabumi dan menyaksikan sendiri kehebatan sambutan “Onam Satu Malaysia” oleh masyarakat pelbagai kaum di sini.

..

Catatan: Makalah ini mencetuskan idea bagi sebuah cerpen berjudul “Onam di Pulau Cinta” menjelang sambutan Onam pada 2010.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!