27 Aug 2010

Penulis Bukan “Penglipur Lara”

SAYA suka bercakap tentang karya-karya sendiri. I often quote myself. It adds spice to my conversation, seperti kata George Bernard Shaw (Reader’s Digest, Jun 1943). Ini terutamanya saya lakukan sewaktu berbincang dengan para Penulis Angkatan Baru tentang bidang penulisan.
.

Setiap kali menjelaskan sesuatu hal kepada para penulis yang meminta panduan dalam berkarya, saya akan merujuk kepada proses penciptaan saya sendiri. Saya suka menarik perhatian pembaca terhadap cerpen dalam Orang Dimensi (DBP: 1994) atau cerpen yang tersiar dalam Mingguan Malaysia dan Dewan Sastera.

.

Saya jelaskan bagaimana saya mendapat idea dan bahan bagi sesebuah cerpen. Bagaimana mengolah cerita supaya menarik. Bagaimana untuk menangkap makna yang tersirat dalam karya. Ini saya lakukan bagi membantu pemahaman mereka yang meminta panduan penulisan dan proses kreatif.

.

Akan tetapi, saya sentiasa tidak akan bercerita tentang cerpen yang belum saya hasilkan. Maksudnya, cerpen yang masih dalam proses penciptaan. Mungkin cerita itu sudah sarat dalam kepala saya. Segalanya bagaikan filem di layar yang menunggu masa untuk ditulis pada kertas. Namun, saya tidak akan menceritakannya kepada sesiapa.

.

Ini bukan bermakna bahawa saya bersikap kedekut ilmu. Jauh sekali takut idea saya diciplak oleh penulis lain. Ada pendapat yang mengatakan bahawa seorang penulis hanya menghasilkan sebuah karya sepanjang hayatnya. Saya tidak mahu membahaskan pendapat itu di sini. Bagi saya, seorang penulis boleh menghasilkan sebuah karya hanya sekali sepanjang hayatnya.

.

Dia mungkin menulis draf awal dan kemudian menokok tambah. Tetapi cerita itu hanya berupaya ditulis sekali sahaja. Jika dia berusaha menulis semula karya yang sama bagi kali kedua, misalnya kerana kehilangan manuskrip, dia akan menemui kegagalan. Mungkin karya kali kedua itu menjadi terlalu hambar dan hilang seninya.

.

Selain masalah manuskrip hilang, masalah juga timbul daripada sikap penulis sendiri. Penulis ketara bercerita secara lisan sebelum manuskrip cerpennya terhasil.

.

Saya sering berhadapan dengan penulis muda yang bersikap demikian. Mereka menceritakan kepada saya apa yang mahu mereka tulis. Mereka beritahu saya plotnya. Ceritanya begini, begini, begini. Watak itu berkonflik dengan watak itu berhubung hal itu-ini. Watak itu memperjuangkan haknya dengan cara begini. Klimaks cerita begini dan kisahnya berakhir begini.

.

Akan tetapi, apabila si penulis tadi mahu mula menulis cerpen yang sudah pun diceritakannya kepada saya, dia jadi terpinga-pinga. Katanya, dia tidak tahu apa yang mahu ditulis. Fikirannya buntu. Akhirnya cerpen itu terbiar begitu sahaja.

.

Jika ditulis sekalipun, ceritanya sudah tidak sama. Mutunya sudah kurang berbanding kisah yang diceritakannya kepada saya. Penceritaannya hambar dan kurang menarik. Seninya tiada.

.

Sebenarnya, secara psikologi, apabila ada sesuatu yang mengganggu fikiran dan perasaan kita, maka kita akan berusaha untuk meluahkannya kepada seseorang.

.

Demikianlah, apabila seorang penulis ada sesuatu yang mahu diluahkannya, dia akan menyalurkan perasaan dan fikiran itu melalui karyanya. Segala protes, marah, sedih, kebimbangan dan dilema dimanipulasikan dalam bentuk karya kreatif. Apabila dia meluahkannya melalui penceritaan lisan kepada rakan-rakan, dia tetap mendapat kepuasan.

.

Malangnya, apabila dia sudah terasa puas, jiwa seninya akan hilang upaya untuk mengungkapkan semula perasaan yang ada tadi. Maka akan gagallah dia menulis cerita yang dirancangkannya.

.

Mungkin bagi mengatasi masalah ini, penulis yang terlalu ingin bercerita perlu sentiasa bersedia dengan perakam kaset. Setiap kali dia bercerita dengan penuh ghairah kepada rakan-rakan, ceritanya harus dirakam. Kemudian didengar semula dan ditulis dalam bentuk cerpen!

.

Atau secara lebih praktikal, Penulis Angkatan Baru perlu meninggalkan sikap ayam yang riuh sebelum bertelur. Jangan jadi tin kosong. Jangan juga sekadar menjadi penglipur lara.

.

(Uthaya Sankar SB, Mingguan Malaysia, 22 Oktober 1995)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!