29 Nov 2010

Usah Perlekeh Kaum Sendiri

GEORGE TOWN - Adakah dengan memperlekeh kaum sendiri, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mampu meraih sokongan daripada pengundi pelbagai kaum dalam pilihan raya umum akan datang?
.

Ketua Penerangan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir, yang mengeluarkan soalan itu berkata, amat memalukan apabila ada pemimpin PKR kaum Melayu sanggup hina dan perlekehkan kaum sendiri semata-mata untuk kepentingan politik serta meraih sokongan kaum lain.

.

“Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail perlu membaca, meneliti dan memahami Perlembagaan yang mempertahankan hak orang Melayu tanpa boleh digugat oleh mana-mana pihak.

.

“Ia sudah tercatat dalam Perlembagaan. Semua kaum yang mendiami Malaysia sejak sebelum merdeka lagi mengiktiraf dan mengesahkan hak dan Ketuanan Melayu,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

.

Musa yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam mempersoalkan tujuan Dr Wan Azizah membangkitkan perkara itu pada ketika ini. [BACA DI SINI]

.

“Kenapa masih nak pertikai sesuatu perkara yang sudah dipersetujui bersama dan termaktub dalam Perlembagaan? Janganlah jadi perosak negara dan sanggup memperlekeh kaum sendiri semata-mata untuk mendapat populariti dan demi memenuhi politik sempit dalam PKR.

.

“Jangan hina orang Melayu. Kita ada maruah dan hak di tanah air sendiri, Kalau kaum lain boleh menerima hak dan Ketuanan Melayu, mengapa orang Melayu, terutama dalam PKR pula, sanggup mempertikaikannya,” katanya.

.

Menurutnya, pemimpin PKR tidak sensitif dengan hak orang Melayu dan kenyataan Dr Wan Azizah mengguris perasaan orang Melayu yang menjadi majoriti penduduk negara ini.

.

“Saya tidak faham perjuangan Dr Wan Azizah. Apa yang dicarinya selama ini? Kalau nak cakap kena teliti sikit. Jangan sampai menghina kaum sendiri,” katanya.

.

Sementara itu, kenyataan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail supaya konsep Ketuanan Melayu ditinggalkan dikecam kira-kira 300 badan bukan kerajaan (NGO) seluruh negara.

.

Setiausaha Agung Gabungan NGO Malaysia, Mohd Jurit Ramli, yang mewakili NGO berkenaan berkata, mereka akan bergabung dan mengadakan demonstrasi, mendesak Dr Wan Azizah memohon maaf.

.

“Kenyataan yang dikeluarkan beliau sungguh mengguris hati rakyat, terutama kaum Melayu.

.

“Kenyataan seperti itu menggambarkan betapa ceteknya pandangan pemimpin PKR itu. Beliau nampaknya tidak mengambil kira perjuangan pemimpin dahulu yang bergadai nyawa untuk mempertahankan Tanah Melayu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

.

Menurutnya, Wan Azizah perlu memohon maaf secara terbuka kepada Raja-Raja Melayu dan rakyat memandangkan kenyataannya mengenai konsep Ketuanan Melayu membelakangkan Perlembagaan Persekutuan dan Raja-raja.

.

“Kami akan bermesyuarat bagi mengadakan demonstrasi mendesak beliau menarik balik kenyataan biadab itu dalam masa terdekat.

.

“Perkara sebegini tidak boleh dibiarkan kerana akan merosakkan kaum Melayu dan agama Islam,” katanya.

.

Di Kuala Terengganu, Pengerusi Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak), Razali Idris menyifatkan ucapan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail dalam Kongres PKR di Petaling Jaya, kelmarin, sangat mengarut.

.

Selain itu, beliau berkata, ada ‘dalang’ di sebalik kenyataan itu yang menurutnya, seolah-olah refleksi kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi menyelamatkan dirinya daripada terus dibenci rakyat.

.

“Saya rasakan ucapan itu bukan lahir daripada tulisan Wan Azizah sendiri, sebaliknya tulisan Anwar yang dibaca Wan Azizah. Sebagai isteri, dia sudah tentu akur dengan arahan suaminya.

.

“Bagi saya, ia sangat mengarut dan hanya bagi menyelamatkan Anwar. Wan Azizah hanya dimanipulasi bagi mengelirukan rakyat dan bagi mendapatkan sokongan kaum lain,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

.

Razali berkata, ucapan itu berniat jahat kepada orang Melayu dan generasi terdahulu yang telah banyak berkorban demi membentuk negara seperti mana yang ada sekarang.

.

Katanya, Ketuanan Melayu masih relevan dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah salah satu contoh kejayaan yang dilaksanakan dari dahulu.

.

“Kita lihat ucapan Wan Azizah hanya bagi mendapatkan undi kaum lain. Bayangkan, bagaimana dia sanggup menghina dan pertikaian Ketuanan Melayu sedangkan dia membesar dalam sistem yang diteruskan selama ini.

.

“Ketuanan Rakyat yang diperjuangkan PKR bagi saya hanya retorik, begitu juga Pas dengan konsep Ketuanan Islam kerana bagi saya, Ketuanan Rakyat dan Ketuanan Islam adalah sebahagian daripada Ketuanan Melayu,” katanya.

..

(Sinar Harian, 29 November 2010)