10 Jan 2011

Pena mahu teks Komsas kekal

SHAH ALAM - Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) menentang tuntutan daripada mana-mana pihak untuk menarik balik novel Interlok daripada senarai teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas).
.

Presiden Pena, Mohamad Saleeh Rahamad berkata, keputusan itu dicapai hasil dialog yang diadakan pada 8 Januari lalu.

.

“Panel yag terdiri daripada pengkaji sastera dan penulis, Dr Ilias Zaidi, Dr Fatimah Busu dan Penerima Anugerah Penulis Muda Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera), SM Zakir telah mengupas teks itu secara mendalam.

..

“Sehubungan itu, Pena bertegas meminta Kementerian Pelajaran mengekalkan novel Interlok sebagai teks Komsas,” katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian, semalam.

.

Katanya, sebarang campur tangan politik yang dibuat berdasarkan kepentingan peribadi dan perkauman dalam bidang persuratan dan pendidikan secara keterlaluan akan menimbulkan kekeliruan dan pergeseran yang tidak berkesudahan.

.

Interlok tidak menghina mana-mana kaum di negara ini sebaliknya hanya memberikan gambaran realiti sosial yang berlaku, di samping menonjolkan gagasan perpaduan untuk melestarikan kemerdekaan bagi sebuah negara yang baru dibentuk.

.

“Gambaran realiti masyarakat tiga kaum terbesar di Tanah Melayu sebelum merdeka dipaparkan secara representasi, yakni tidak menghakimi mana-mana kaum tetapi menggagaskan harapan wujudnya perpaduan yang mutlak,” katanya.

.

Dalam pada itu, mengenai peristiwa pembakaran novel Interlok yang dilaporkan media tempatan semalam, Mohamad Saleeh berkata, Pena mengutuk tindakan segelintir yang telah mengambil tindakan agresif dengan membakar novel serta menghina gambar Sasterawan Negara.

.

“Tindakan itu jelas cuba mengkucar-kacirkan kestabilan masyarakat di negara ini kerana selama ini telah terbukti tindakan agresif seperti itu hanya mendatangkan pergeseran kaum.

.

“Perbuatan itu boleh menimbulkan perasaan tidak enak dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, apatah lagi Sasterawan Negara ialah tokoh yang menerima anugerah daripada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

..

Disiarkan di akhbar Sinar Harian pada 10 Januari 2011. Baca kenyataan Kavyan DI SINI dan kenyataan PAS DI SINI.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!