28 Apr 2021

DBP Membisu, Masyarakat Bersuara

Isu berkaitan tindakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mensyaratkan penggunaan “Tuhan” (huruf besar) hanya bagi orang Islam dan merujuk hanya kepada Allah, manakala Bukan Islam hanya layak menggunakan “tuhan” (huruf kecil) semakin mendapat reaksi orang ramai. [rujuk di sini]

Malangnya, DBP hanya membisu selepas mengeluarkan kenyataan “DBP jawab persoalan istilah Tuhan” (Malaysiakini, 20 April 2021). Seperti saya tegaskan dalam balasan bertajuk “Penulis tolak penjelasan DBP isu ejaan tuhan” (Malaysiakini, 21 April 2021), jawapan dan alasan yang cuba diberi DBP tidak dapat diterima akal rasional.

Lalu, beberapa individu lain turut tampil berkongsi pandangan yang rata-rata tidak bersetuju dengan tindakan licik DBP yang dianggap sengaja cuba memperlekeh dan menghina hak penganut Bukan Islam menggunakan kata “Tuhan” mengikut amalan agama masing-masing semasa menulis dalam Bahasa Malaysia. [rujuk di sini]

Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) mengambil inisiatif mengumpul pandangan masyarakat pelbagai kaum dan agama secara dalam talian (online). Sehingga pukul 1:00 tengah hari, 28 April 2021, sejumlah 975 orang mengemukakan pandangan dan komen. [baca reaksi orang ramai]

Hampir 99 peratus responden “membantah dan tidak bersetuju dengan pendirian DBP” dalam isu penggunaan “Tuhan” bagi orang Islam dan “tuhan” untuk Bukan Islam. Mereka juga mahu “DBP keluarkan kenyataan memohon maaf dan melakukan pembetulan dalam Kamus Dewan, Kamus Dewan Perdana, antologi Meredah Kabus, dan semua terbitan akan datang”.

Orang ramai sudah mula mempersoalkan makna yang terkandung dalam baris “rahmat bahagia Tuhan kurniakan” dalam lagu Negaraku serta prinsip “Kepercayaan kepada Tuhan” dalam Rukun Negara. Jika kata “Tuhan” itu hanya merujuk kepada Allah seperti ditegaskan DBP, perlukah dua versi Negaraku dan Rukun Negara disediakan bagi orang Islam dan Bukan Islam? [rujuk di sini]

Kita mendapati DBP bersandar kepada Kamus Dewan (2005) dan Kamus Dewan Perdana (2020) terbitannya sendiri untuk menegakkan benang yang basah. Sebenarnya, catatan dalam kedua-dua kamus berkenaan juga perlu dibetulkan kerana tidak tepat dalam mendefinisi “Tuhan”.

Malah, ada percanggahan yang jelas apabila kedua-dua kamus itu dirujuk. Misalnya, “Tuhan” (huruf besar) didefinisi sebagai “Allah yang mencipta alam semesta”. Definisi berciri Islamik itu selaras kenyataan Ketua Pengarah DBP bahawa “Tuhan” adalah kata nama khas yang merujuk kepada Allah Yang Maha Esa.  

Rencana penuh boleh dibaca dalam kumpulan esei Kisah Sasterawan Kavyan (2022).

________________________

Uthaya Sankar SB ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) iaitu gabungan penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia. Surat ini disiarkan di Malaysiakini pada 28 April 2021. Sila klik di sini untuk koleksi bahan berkaitan.