21 Apr 2021

Penulis Tolak Penjelasan DBP Isu Ejaan “Tuhan”

Penulis Uthaya Sankar SB menolak penjelasan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berkaitan penggunaan perkataan “tuhan” (huruf kecil) dan “Tuhan” (huruf besar).

Penulis pelbagai genre itu berkata, penjelasan DBP tidak boleh diterima akal, tidak meyakinkan dan menegakkan benang yang basah.

“Akan tetapi, apa yang ditemui [dalam penjelasan itu] hanyalah tindakan menegakkan benang yang basah oleh pihak DBP dalam menutup tindakan subversif menghina penganut agama-agama bukan Islam dengan cara sengaja meletakkan syarat menggunakan ‘tuhan’ (huruf kecil) dalam karya kreatif,” katanya.

DBP semalam berkata, menurut Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu terbitannya, Tuhan sebagai kata yang berhubung dengan agama hendaklah ditulis dengan huruf besar. [Baca di sini]

Uthaya bagaimanapun dalam kenyataan balasnya hari ini berkata, penggunaan perkataan oleh “masyarakat” yang dirakam kamus hanya merujuk kepada orang Melayu, “bukan masyarakat pelbagai agama di Malaysia.”

“Bersediakah DBP untuk menerima kenyataan daripada masyarakat bukan Islam yang menegaskan kami menggunakan ‘Tuhan’ apabila merujuk kepada Tuhan dan itu juga ‘perkembangan bahasa dan penggunaan oleh masyarakat’ yang wajar diiktiraf?

“Sejak bila pula masyarakat bukan Islam menggunakan “tuhan” (huruf kecil) bagi Tuhan?” katanya.

Uthaya minggu lalu membangkitkan perbezaan penggunakaan kata tuhan dalam terbitan DBP seperti dalam antologi Meredah Kabus (2021) yang didakwanya “usaha licik memperlekeh hak beragama orang bukan Islam”. [Baca di sini]

Katanya, perkataan “Tuhan” ditukar kepada “tuhan” (huruf kecil) dalam karya penulis bukan Islam.

“Nampaknya, bukan hanya istilah ‘Allah’ dijadikan milik eksklusif orang Islam di Malaysia, malah ‘Tuhan’ juga mahu diwartakan sebagai milik khusus orang Islam.

“Dikatakan bahawa ‘Tuhan’ (huruf besar) hanya layak digunakan bagi Allah,” katanya.

(Berita ini disiarkan di Malaysiakini pada 21 April 2021)