7 Apr 2022

Catatan Projek Buku Khanda Puranam

Dewa Shiva dan Daksha

Jika anda pernah menonton filem Thiruvilayadal (1965), maka anda tentu ingat kisah Dewa Shiva (lakonan Sivaji Ganesan) tidak diundang ke upacara yaagam (yagna) anjuran Daksha (lakonan O.A.K. Thevar).

Ia merupakan kisah yang diambil daripada Thiruvilayadal Puranam. Ada 64 kisah dalam purana itu tetapi hanya empat dimasukkan dalam filem. Drama bersiri Thiruvilayadal (2008) di Tamil Nadu, India dikatakan berusaha menampilkan kesemua 64 kisah.

Kisah persengketaan Shiva dan Daksha turut menjadi “pembuka tirai” dalam Skanda Purana yang selalu dilihat sebagai purana khusus bagi Dewa Murugan.

Kisah itu [bakal] boleh dibaca dalam Khanda Puranam (2023) yang merupakan penceritaan semula kisah-kisah terpilih Skanda Purana dalam Bahasa Malaysia. – 7 April 2022

Shiva dan Murugan

Nama dewa-dewi dalam kitab suci, epik, dan purana Hindu ada pelbagai. Malah, dalam ajaran Hinduisme, Tuhan bersifat eka aneka, iaitu tunggal walaupun dikenali dengan pelbagai nama.

Sudilah membaca makalah “Berapa Tuhan Orang Hindu?” dan “330 Juta Tuhan Hindu” dalam buku Malaiur Manikam (2015) untuk keterangan lanjut.

Dalam penceritaan semula Bhagavad Gita (2021), saya hanya menggunakan nama Krishna dan Arjuna, walaupun masing-masing memiliki puluhan (malah ratusan) nama.

Begitulah juga dalam Skanda Purana, rata-rata dewa-dewi, sura, asura, dan rishi memiliki pelbagai nama.

Dewa Shiva, misalnya, turut digelar Mahadeva, Sadasiva, Sankara, Rudra, Mahesa, Sambhu, Hara, Sulapani, Pasupati, Isvara, dan Sarva. Manakala Dewa Murugan dipanggil juga sebagai Skanda, Subramania, Kartikeya, Mahasena, Shanmuga, Velan, dan Kumaran.

Namun begitu, dalam versi penceritaan semula Khanda Puranam, saya akan menggunakan nama Shiva dan Murugan sahaja. Langkah ini bagi memudahkan orang ramai mengikuti jalan cerita tanpa perlu menghafaz puluhan atau ratusan nama berbeza bagi watak yang sama. – 8 April 2022

Patung Dewa Murugan

Foto patung (bukan “berhala”) Dewa Murugan di Batu Caves, Selangor menjadi amat cantik apabila diberi sentuhan Photoshop oleh Rames Harikrishnasamy – baca di sini.

Patung Murugan berwarna emas di Batu Caves siap pada Januari 2006 dan tingginya 42.7 meter (140 kaki).

Patung Murugan setinggi 44.5 meter (146 kaki) di Salem, Tamil Nadu, India (foto) pula siap pada April 2022 dan kini diisytihar tertinggi di dunia – baca di sini.

Murugan ialah dewa yang diraikan dalam Skanda Purana; walaupun kisah Dewa Shiva dan dewa-dewi lain juga amat menonjol di dalamnya. Projek Khanda Puranam pula versi penceritaan semula purana Hindu itu dalam Bahasa Malaysia. – 9 April 2022 

Murugan dan Ganesha

Asalnya, dalam purana Hindu, Dewa Murugan ialah abang kepada Dewa Ganesha yang berkepala gajah.

Selepas insiden perebutan buah sakti yang terkenal dalam purana Hindu (dan filem Tamil), Ganesha diberi kedudukan “abang” kerana didapati menunjukkan sikap “matang” (matured) berbanding Murugan yang suka merajuk seperti kanak-kanak.

Ramai yang tahu kisah perebutan buah sakti itu (khasnya daripada filem Thiruvilayadal) tetapi rata-rata kaum India di Malaysia tidak tahu-menahu kisah Ganesha dan Murugan “bertukar” kedudukan sebagai abang dan adik.

Saravana Kumar (Seberang Jaya, Pulau Pinang) berkongsi pengalaman ini:

“Ketika masih kecil dulu, mendiang datuk saya pernah menceritakan bahawa Dewa Murugan dan Dewi Sakti adalah milk 100% orang Dravidian. Orang Aryan yang tidak bejaya menakluk minda orang Dravidian telah menggunakan konsep Dewa Ganesha sebagai anak dan Dewa Shiva sebagai suami Dewi Sakti untuk menunjukkan bahawa mereka adalah sekeluarga dan Dewa Ganesha adalah ciptaan pertama Dewi Sakti.” [sumber]


Projek penceritaan semula Khanda Puranam dalam Bahasa Malaysia [bakal] memberi peluang kepada orang ramai memahami kandungan Skanda Purana dengan lebih mudah, santai, dan bermakna (meaningful). – 10 April 2022

Shiva dalam Semua Purana

Terdapat 18 purana dalam tradisi Hindu. Ada purana khusus bagi Brahma, Vishnu, Shiva, Narada, Agni, Vamana, Skanda, Matsya, Garuda, dan sebagainya.

Akan tetapi, agak menarik untuk diperhatikan bahawa Dewa Shiva diraikan dan diperkatakan dalam kesemua purana berkenaan. Maka, penceritaan Khanda Puranam (Skanda Purana) juga bermula dengan kisah Shiva.

Memandangkan saya melakukan penceritaan semula dalam Bahasa Malaysia — dan karya ini bakal dinikmati khalayak pelbagai kaum dan agama — kisah purana disampaikan secara agak santai dan bersahaja.

Harapan dan impian saya supaya orang ramai mampu memahami dan menikmati kisah-kisah penting dalam Khanda Puranam. Tentu sahaja sokongan orang ramai diperlukan bagi merealisasi impian ini. – 3 Mei 2022

Saivisme dan Vaishnavisme

Pada masa silam di India, wujud sengketa antara mazhab Saivisme dan Vaishnavisme. Kitab Skanda Purana pula cuba menyatukan pengikut Shiva dan Vishnu. Kisah itu boleh dibaca dalam buku  Khanda Puranam versi Bahasa Malaysia.

Setiap hari, saya membaca, menghayati, memahami, dan menganalisis kandungan Skanda Purana dalam pelbagai versi — bercetak, digital, audio, visual. Saya melakukan penceritaan semula Khanda Puranam dalam Bahasa Malaysia supaya khalayak pelbagai kaum di Malaysia boleh menikmati kandungan teks itu dengan aat mudah.

Proses menulis manuskrip penceritaan semula  Khanda Puranam dilakukan sedikit demi sedikit. Lebih banyak masa digunakan untuk kajian berbanding menulis. Misalnya, sehingga 9 Mei 2022, panjang manuskrip hanya sekitar 5,300 perkataan.

Shiva Membunuh Dewa Cinta

“Saya sengaja membakar Manmatha sehingga tubuhnya hangus,” Shiva mengakui. “Manmatha terlalu tertumpu kepada kama (nafsu, cinta) sehingga membuatkan orang ramai alpa. Malah, kama yang tidak terkawal mengundang krodha (marah). Saya membunuh Manmatha untuk menghapuskan krodha yang semakin tidak terkawal.”

Mampukah Manmatha (Dewa Cinta, Cupid) dihidupkan semula supaya cinta kembali mekar di dunia? Dan bagi memastikan Khandan lahir.

Semua ini dan banyak lagi kisah purana dalam buku Khanda Puranam yang sedang diusahakan.

Kisah Kelahiran Murugan

Orang India-Hindu di Malaysia lazimnya sudah biasa mendengar kisah kelahiran Dewa Murugan. Selalunya, kisah purana ini didengar sejak usia kanak-kanak. Secara mudah, kebanyakan versi menceritakan kelahiran penuh magis dewa itu daripada api yang keluar dari mata ketiga (netrikann) milik Dewa Shiva.

Sebenarnya, kisah-kisah seumpama itu yang kononnya bersumberkan purana Hindu adalah versi yang sudah dimurnikan dan diberi sijil “U” (Umum) supaya orang dewasa (ibu, bapa, nenek, datuk, sami, pendeta, guru) tidak berasa kekok sewaktu menceritakan kisah kelahiran Murugan kepada kanak-kanak dan remaja.

Kisah sebenar kelahiran Murugan seperti yang disajikan dalam Skanda Purana berciri agak “18PL” (seram, ganas, seks, politik). Tidak hairanlah kisah itu (yang dikarang sebelum abad ke-8) terpaksa dilunakkan dan dimurnikan apabila disampaikan kepada kanak-kanak.

Buku Khanda Puranam versi Bahasa Malaysia yang sedang diusahakan akan mengekalkan cerita asal.

Utusan Malaysia, 14 Mei 2022

Bahagian 1 = 9,600 Perkataan

Teks Skanda Purana terdiri daripada 7 “buku”. Buku pertama mengandungi 3 “bahagian”. Bahagian satu itu terdiri daripada 35 “bab”.

Dalam projek Khanda Puranam yang sedang diusahakan, hanya “bab-bab” yang menyumbang kepada kisah Dewa Murugan dipilih.

Bahagian 1 (daripada “buku” 1) sudah diceritakan semula dalam Bahasa Malaysia. Panjang manuskrip (draf) untuk Bahagian 1 ialah 9,600 perkataan.

Perjalanan masih jauh dan saya masih mengharapkan sokongan orang ramai dalam bentuk modal sosial bagi menjayakan projek ini.

Tarakasura atau Surapadman?

Kanak-kanak kaum India-Hindu biasa mendengar cerita purana tentang Surapadman yang dibunuh oleh Murugan menggunakan vel pemberian ibunya. Inilah juga kisah asas yang diceritakan setiap kali menjelang Thaipusam.

Akan tetapi, jika anda membaca versi asal Skanda Purana, watak yang akan ditemui ialah Tarakasura. Skanda (Murugan) menggunakan vel untuk membunuh Tarakasura iaitu ketua golongan asura.

Maka, versi mana yang akan anda ceritakan kepada generasi akan datang? Pernahkah anda terfikir punca sebenar Surapadman atau Tarakasura mengganas? Mungkin Khanda Puranam yang merupakan versi penceritaan semula dalam Bahasa Malaysia ada jawapan dan penyelesaian terbaik.

Cerita Berulang-ulang

Skanda Purana adalah teks paling tebal dalam kalangan 18 buah Maha Purana. Ia terdiri daripada tujuh “buku” merangkumi 81,000 sloka.

Semasa mengkaji teks ini dengan teliti bagi projek Khanda Puranam, saya menyedari bahawa beberapa kisah diceritakan secara berulang-ulang dalam versi yang berbeza-beza.

Misalnya, kisah perkahwinan Shiva-Parvathi dan kisah kelahiran Murugan. Memang banyak unsur 18PL” (seram, ganas, seks, politik) dan diceritakan pula dalam beberapa versi — sekali gus membuktikan Skanda Purana ditulis dan ditokok tambah oleh beberapa pengarang dalam tempoh yang berbeza.

Dalam versi penceritaan semula Bahasa Malaysia yang saya usahakan, kisah yang berulang-ulang diminimumkan atau dibuang. Turut dibuang adalah bahagian berupa ritual agama dan puja-pujaan yang tidak menyumbang kepada perjalanan cerita.