29 Nov 2022

Memperjuangkan Bahasa Malaysia yang “Tidak Wujud”

Sesungguhnya projek buku Katha Sarit Sagara yang saya usahakan antara lain bertujuan mengangkat martabat Bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu, bahasa kebangsaan, dan bahasa perpaduan. Sama juga seperti setiap hasil tulisan saya sejak tahun 1992.

Sesungguhnya juga, setiap kali saya menggunakan istilah “Bahasa Malaysia”, pasti ada pihak mengetap gigi dengan penuh rasa benci. Kononnya, istilah “Bahasa Malaysia” tidak wujud dan tidak boleh digunakan.

Puak berkenaan sebenarnya buta sejarah. Maklumat terperinci — berserta bukti — mengenai kewujudan istilah “Bahasa Malaysia” bolehlah dibaca dalam Kavya Sastra (2021) iaitu buku yang diterbitkan daripada disertasi (tesis) ijazah sarjana sastera (M.A.) saya.

Beberapa rencana dalam Suvarna Bhumi (2022) juga boleh membantu membuka minda serta mendedahkan kebenaran yang cuba dinafikan dan disembunyikan puak tertentu.

Istilah “Bahasa Malaysia” terpakai sejak tahun 1960-an, iaitu sebelum digunakan secara rasmi mulai tahun 1970. Pada 21 Oktober 1966, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman mengusulkan supaya sebutan “Bahasa Malaysia” digunakan. Inilah Bahasa Malaysia yang saya gunakan sejak lahir.

Akhbar Utusan Malaysia (8 September 1973) melaporkan: “Kerajaan tidak akan berganjak dengan keputusan menjadikan Bahasa Malaysia bahasa pengantar sepenuhnya di semua sekolah dalam [mulai] 1982, tegas Pemangku Perdana Menteri, Tun Hussein Onn.”

Pada tahun 1999, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pernah cuba menafikan hak saya menggunakan istilah “Bahasa Malaysia”. Pengalaman perjuangan awal saya menegakkan hak boleh dibaca dalam tulisan bertajuk “My Right to Use Bahasa Malaysia” di akhbar New Straits Times (3 November 1999).

Sepertimana kata Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said: “Saya dapati bahawasanya Uthaya sememangnya suara yang melawan; bukan suara yang menurut. Bagi saya, lawannya itu adalah waras” (Malaiur Manikam, 2015).

Semasa meneliti dokumen lama dalam simpanan, saya terjumpa satu surat saya yang tersiar di majalah Pelita Bahasa (Mac 1992) terbitan DBP di mana saya menulis: “Saya ingin tahu akan perbezaan di antara istilah ‘bahasa Melayu’ dan ‘Bahasa Malaysia’.”

Petikan jawapan yang diterima: “Tidak ada apa-apa perbezaan antara bahasa Melayu dan Bahasa Malaysia; perbezaan hanyalah pada nama sahaja.”

DBP cuba menafikan hak saya menggunakan “Bahasa Malaysia” pada 1999. Kemudian, pada tahun 2007, Kabinet mengumumkan keputusan menggunakan istilah “Bahasa Malaysia”.

Sehingga kini, masih ada puak yang tidak mahu menerima hakikat kewujudan istilah “Bahasa Malaysia”. Dalam hal ini, Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Kamaruddin M. Said turut tertanya-tanya, “Apa salahnya kita gunakan Bahasa Malaysia; keputusan itu sudah dibuat Kabinet pada 2007” (Astro Awani, 21 April 2022).

Dalam situasi ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tampil membuat suatu pengumuman penting. Akhbar The Star (22 Mei 2022) memetik beliau sebagai mengesahkan ada beza antara “Bahasa Malaysia” yang digunakan di Malaysia dan “bahasa Melayu” yang digunakan di beberapa negara Asean.

Malah, beliau menegaskan, “tidak pernah terlintas di fikiran kerajaan untuk menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa Asean”. Sebaliknya, “hasrat yang ingin dirintis beliau (Ismail Sabri Yaakob) ialah menjadikan bahasa Melayu yang turut diguna pakai di beberapa negara jiran sebagai bahasa pengantar” (Astro Awani, 22 Mei 2022).

Sudah terbukti bahawa dalam keadaan sekarang, “Bahasa Malaysia” dan “bahasa Melayu” dilihat sebagai dua bahasa atau entiti yang berlainan. Bahasa yang saya gunakan untuk berkomunikasi — secara lisan dan bertulis — sejak lahir (1972) ialah Bahasa Malaysia. Bahasa Malaysia jugalah yang saya gunakan dalam penulisan karya yang terbit di pelbagai media sejak tahun 1992.

Kedudukan “Bahasa Malaysia” kini umpama bahasa Paisachi yang digunakan oleh Gunadhya untuk mengarang teks Brihat Katha tetapi tidak diiktiraf dan diperakukan oleh Raja Satavahana yang angkuh dan narsisistik. Huraian lanjut kisah ini bolehlah dibaca dalam buku Katha Sarit Sagara.

Walau bagaimanapun, harap maklum bahawa “Bahasa Malaysia” benar-benar wujud, walaupun DBP dan beberapa puak lain sentiasa berusaha menafikan hakikat ini. Tindakan DBP dalam perkara ini tidaklah menghairankan kerana sebagai sebuah badan bahasa yang rasis, fasis, hipokrit, etnosentrik, dan subversif, DBP turut menafikan hak umat Bukan Islam menggunakan istilah “Tuhan” (Suvarna Bhumi, 2022).

Sementara DBP dan sesiapa sahaja terus melalak dan melaungkan slogan “bahasa Melayu”, biarlah saya meneruskan agenda dan perjuangan memartabatkan Bahasa Malaysia.

DBP tidak berhak mengawal atau menghalang saya menerusi mana-mana akta kerana penulisan saya tidak tertakluk dalam lingkungan “bahasa Melayu” yang merupakan bidang kuasanya. Saya menggunakan Bahasa Malaysia yang “tidak wujud”.

[Uthaya Sankar SB adalah penulis dan pejuang Bahasa Malaysia. Rencana ini dipetik dan diubah suai daripada bahagian “Prakata” buku Katha Sarit Sagara (2023) untuk siaran Wacana Pemikir pada 28 November 2022.]