17 Dec 2023

Biodata Peserta Bengkel Penulisan Intensif di Taiping

Berikut biodata yang dihasilkan para peserta sewaktu menyertai Bengkel Penulisan Intensif di Taiping, Perak (15-17 Disember 2023). Peserta terdiri daripada penulis berpengalaman, penulis baharu, penulis remaja, dan bakat muda (kanak-kanak).

VK Ezhilarasi Velautham Krishnan berasal dari Segamat, Johor dan belajar di Maktab Perguruan Raja Melewar, Seremban, Negeri Sembilan. Seterusnya, beliau mendapat ijazah sarjana muda pendidikan dari Universiti Putra Malaysia (UPM). Pesara guru ini tinggal di Cheras, Kuala Lumpur. Beliau suka menulis cerpen dan rencana berkaitan golongan remaja kurang bernasib baik hasil pengalaman membantu golongan ibu bapa tunggal untuk menjaga anak-anak mereka. Antara karya awal Ezhilarasi ialah rencana di majalah Dewan Budaya (April 2016) dan cerpen di majalah Dewan Siswa (Februari 2020).  Hasil karya beliau turut termuat dalam antologi Busana Bahasa (2019) dan Landasan Hidup (2020) serta di portal Sastera Kavyan. Ezhilarasi giat dalam aktiviti Kavyan seperti Baca di Anak Baba (September 2023), Bengkel dan Persembahan Drama Pentas Megha Duta (April-Ogos 2023), Bakat Seni dan Sastera Bangsa Malaysia (Disember 2023). Bengkel penulisan yang disertai termasuk Sesi Penulisan Intensif I (Disember 2018), Sesi Penulisan Intensif II (Mac 2019), Lepak Menulis Rencana di Anak Baba (Oktober 2023), dan Bengkel Penulisan Intensif di Taiping (Disember 2023). Ezhlarasi merupakan Ahli Jawatankuasa Kavyan mulai 2023.

Jeffry Solomon Victor dilahirkan di Ipoh, Perak pada tahun 2002Beliau belajar di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Putra, Ipoh dan kemudian di Sekolah Menengah Kebangsaan Miharja, Kuala Lumpur sehingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Beliau menamatkan pengajian peringkat diploma dalam bidang sumber manusia dan kini menjadi tenaga pengajar di sebuah sekolah swasta. Jeffry terlibat secara aktif dalam program anjuran Kavyan seperti Bengkel dan Persembahan Drama Pentas Megha Duta (April-Ogos 2023), Lepak Menulis Cerpen di Anak Baba (September 2023), Bakat Seni dan Sastera Bangsa Malaysia (Disember 2023), dan Bengkel Penulisan Intensif di Taiping (Disember 2023). Karya Jeffry tersiar di portal Sastera Kavyan.

Thivyajayanthi Nair K Jayan lahir di Seremban, Negeri Sembilan pada tahun 1997 dan membesar di Segamat, Johor. Beliau belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Canossian Convent, Segamat sebelum berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan Ledang, Tangkak di mana perjalanan menulis beliau bermula. Beliau belajar teknologi maklumat di Universiti Teknikal Malaysia (UTeM), Melaka. Thivyajayanthi memenangi tempat keempat dalam Pertandingan Menulis Cerpen Bahasa Tamil anjuran Persatuan Koperasi Kewangan dan Tanah Kebangsaan (NLFCS) pada tahun 2014. Kini beliau menetap di Cheras, Kuala Lumpur dan bergiat aktif dalam program anjuran Kavyan seperti Bengkel dan Persembahan Drama Pentas Megha Duta (April-Ogos 2023), Lepak Menulis Rencana di Anak Baba (Oktober 2023), Bakat Seni dan Sastera Bangsa Malaysia (Disember 2023), dan Bengkel Penulisan Intensif di Taiping (Disember 2023).

Jessilyn Angel Jayadass dilahirkan pada tahun 2008 di Kedah dan dibesarkan di Johor Bahru, Johor. Beliau belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Thai Hong dan Sekolah Menengah Kebangsaan Impian Emas, Johor. Pada Julai 2022, Jessilyn berpindah ke Cheras dan melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Yaacob Latif, Kuala Lumpur. Remaja ini banyak terlibat dalam program bahasa dan sastera anjuran Kavyan seperti Bengkel dan Persembahan Drama Pentas Megha Duta (April-Ogos 2023), Lepak Menulis Cerpen di Anak Baba (September 2023), Bakat Seni dan Sastera Bangsa Malaysia (Disember 2023), serta Bengkel Penulisan Intensif di Taiping (Disember 2023). Karya Jessilyn tersiar di portal Sastera Kavyan.

Kirthigan Pandian lahir pada tahun 2009. Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan Seri Cheras dan Sekolah Menengah Kebangsaan Yaacob Latif, Cheras, Kuala Lumpur. Remaja ini terlibat dalam pelbagai program bahasa dan sastera anjuran Kavyan seperti Bengkel dan Persembahan Drama Pentas Megha Duta (April-Ogos 2023), Lepak Menulis Cerpen di Anak Baba (September 2023), Bakat Seni dan Sastera Bangsa Malaysia (Disember 2023), serta Bengkel Penulisan Intensif di Taiping (Disember 2023). Karya Kirthigan tersiar di portal Sastera Kavyan.

Pavitra Govalan dilahirkan pada tahun 2012 dan dibesarkan di Cheras, Kuala Lumpur. Beliau masih belajar di SJKT Jalan Cheras. Kanak-kanak ini terlibat dalam pelbagai program anjuran Kavyan seperti Bengkel dan Persembahan Drama Pentas Megha Duta (April-Ogos 2023), Bakat Seni dan Sastera Bangsa Malaysia (Disember 2023), dan Bengkel Penulisan Intensif di Taiping (Disember 2023).

Jerusha Carallyn Jayadass dilahirkan pada tahun 2012 di Kedah dan dibesarkan di Johor Bahru, Johor. Beliau berpindah ke Cheras, Kuala Lumpur pada Julai 2022 dan merupakan pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Kebangsaan Yaacob Latif. Kanak-kanak ini mengambil bahagian dalam beberapa program anjuran Kavyan seperti Bengkel dan Persembahan Drama Pentas Megha Duta (April-Ogos 2023), Bakat Seni dan Sastera Bangsa Malaysia (Disember 2023), dan Bengkel Penulisan Intensif di Taiping (Disember 2023).

 

Lihat juga — [Biodata Sasterawan Kavyan] – [Biodata Penulis Pelbagai Kaum] – [Biodata Peserta Perbincangan Meja Bulat]