15 Sept 2023

Contoh Biodata (sebagai panduan)

Berikut dipaparkan beberapa biodata sebagai panduan kepada sesiapa yang mahu menulis biodata profesional dalam Bahasa Malaysia. Foto di atas hanya sebagai hiasan.

 

Malini Lakshmi Bai lahir dan membesar di Kuala Lumpur. Pada tahun 2012, beliau menyambung pengajian tinggi dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Bahasa Inggeris di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR). Beliau meminati bidang kesusasteraan sejak bangku sekolah. Pada tahun 2009, Malini mewakili sekolah dan daerah dalam beberapa forum pelajar, pertandingan debat, dan syarahan. Kini, beliau berkerjaya sebagai guru bahasa Inggeris dan penyelia di sebuah pusat pembelajaran bahasa. Malini juga menggalas jawatan penolong setiausaha dalam Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan). Hasil karya beliau termuat dalam antologi Lakaran Diri (2022) dan di portal Sastera Kavyan. Karya bahasa Inggeris pula diterbitkan di laman Eksentrika.

 

M. Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Cerpen Mahendran termuat dalam antologi seperti Menara (1988), Menara 4 (1991), Tanpa Mengira Warna (1993), Vanakam (2002), Segugus Aksara Sealur Kasih (2003), Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), Peluru Aksara (2020), dan Lakaran Diri (2022). Kumpulan cerpen Mimpi dan Impian (2013) merupakan terjemahan dalam Bahasa Malaysia yang dilakukan oleh beliau untuk penulis veteran Tamil, mendiang M. Ramaiah. Karupaya (2018) adalah kumpulan cerpen sulung Mahendran dalam Bahasa Malaysia manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen Tamil. Mahendran salah seorang pengasas Kavyan pada tahun 1999 dan beliau dipilih memegang jawatan pengerusi Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) pada tahun 2023.

 

Anuradha Chelliah berasal dari Banting, Selangor. Beliau mendapat pendidikan rendah dan menengah di Banting. Beliau meneruskan pengajian dalam jurusan Sarjana Muda Pembangunan Manusia dan seterusnya Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Putra Malaysia (UPM). Anuradha aktif menulis sejak 2016 dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Karya beliau boleh dibaca di The Star, Iris Magazine, Anak Sastra, Shakti – The Epitome of Power, dan ALS 2021: Anthology of Poems (2021). Karya Anuradha juga termuat dalam antologi Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), Peluru Aksara (2020), dan Lakaran Diri (2022).  Cerpen beliau turut termuat dalam Meredah Kabus (2021), Serpihan Memorabilia 2020 - Suara (2021), Patah Tumbuh (2021), Kisah Musim Wabak (2021), dan Anekdot Peribahasa Yang Tersurat Yang Tersirat (2022). Puisi beliau boleh dibaca dalam Antologi 3S Hari Guru Hatiki Terharu (2021), Antologi Sajak Momen,  Antologi Sajak Siluet Cinta Ayah Bonda (2022), dan Siri Warisan Budaya - Teluk Belanga dan Periuk Belanga (2023). Anuradha merupakan bendahari Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

 

Veralona Mollon Perrin lahir di Kudat, Sabah pada 8 April 1988 dan membesar di daerah Tuaran. Beliau bersekolah di SM St. John, Tuaran sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di Brickfields Asia College, Kuala Lumpur. Selepas 10 tahun menetap di Lembah Klang, beliau kini bermastautin di negara Perancis bersama suaminya, Mathieu Perrin. Veralona meminati muzik dan serta karya-karya humor dan satira.

 

Liew Meng Seng dilahirkan ke Jinjang Selatan Tambahan, Kuala Lumpur. Beliau belajar di SJKC Jinjang Selatan, SJKC Mun Choong, SM Raja Abdullah, dan SM Maxwell, kemudian meneruskan pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam jurusan kejuruteraan mekanikal. Liew Meng Seng pernah berkhidmat selama sedekad sebagai jurutera di sebuah kilang pembuatan pendingin hawa kereta di Shah Alam. Beliau berkecimpung dalam karya falsafah sejak mengikuti kursus ditawarkan Bulatan Omicron kelolaan SKY, lalu melanjutkan pengajian peringkat sarjana dalam bidang kesusasteraan Cina kontemporari dengan mengemukakan tesis berkenaan Iliad oleh Homer. Karya Liew Meng Seng pernah tersiar di akhbar Nanyang Siang Pao dan Keadilan versi Cina. Selain Bahasa Malaysia, beliau mempelajari tulisan Yunani kuno, Devanagari, dan Farsi. Sejak 2013, Liew Meng Seng menulis artikel pendek untuk disiarkan di blog Xue Weng Ji.

 

Thanusya Shanmuganathan merupakan graduan sarjana muda sastera dari Universiti Malaya (UM). Beliau sudah menghasilkan novel berjudul Tak Sengaja Cinta (2014), Cik Cemerkap vs Encik Selfie (2016), Savithri (2021), dan Hanya Kau Untukku (2022) menggunakan nama pena Meera Natasya. Thanusya juga aktif menulis skrip, cerpen, esei, dan sajak. Beliau aktif dalam Koperasi Penulis Nasional (KOPENA) dan Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan), serta merupakan pengasas Agni MN Media Resources.

 

Vk Ezhilarasi Velautham seorang pesara guru yang suka menulis cerpen dan rencana berkaitan golongan remaja kurang bernasib baik. Antara karyanya ialah rencana dan cerpen yang diterbitkan dalam majalah Dewan Budaya dan Dewan Siswa. Hasil karya Ezhilarasi turut termuat dalam antologi Busana Bahasa (2019) dan Landasan Hidup (2020).

 

A.R. Shah seorang pencerita antara-media yang membesar bermain di antara rumah-rumah papan bersama anak-anak muda pelbagai kaum dan agama di sebuah kampung yang kini tinggal sejarah, iaitu Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur. Dalam tempoh hampir sedekad bergelar penulis, karya kreatif dan eseinya dalam bahasa Malaysia dan Inggeris terbit di Berita Harian, Dewan Sastera, SeniKini, The Vibes, Cukaria, Thukul Cetak, Matahari Books, Gerak Budaya, dan pelbagai media lain. Selain bekerja sebagai penolong penerbit dalam sektor filem dan televisyen, Shah juga sebahagian daripada kolektif artis-kawan Projek Rabak yang meraikan kemanusiaan. Kumpulan cerpen PPR Kg. Laut Dalam (2023) merupakan buku persendirian sulung beliau.

 

Rupa Subramaniam seorang seniwati, kurator, dan pengarah kreatif. Antara karya seninya yang menjadi tular ialah This Body is Mine (2017). Karya itu dipamerkan di Balai Seni Negara, World Humanities Conference di Belgium, dan di London sempena Hari Wanita Sedunia. Rupa turut menghasilkan projek Antidote (2018) dengan menemu bual dan melukis pada tubuh 30 wanita dalam masa 30 hari semasa residensi seni di Rimbun Dahan. Beliau menerbitkan dokumentari web mengenai penyebaran imej intim tanpa persetujuan (2020). Karya terbarunya ialah jurnal kolaj bertema “imej tubuh yang sihat” menggunakan seni dan dipanggil Draw Your Way Home (2023). Rupa menerima pelbagai pengiktirafan bagi kerja seninya termasuk anugerah Top 40 Under 40 dari Prestige (2020), Amazing Women dari Marie Claire (2019), dan Tokoh Wanita dari majalah FEMALE (2019).

 

Koh Yok Hwa berketurunan Teochew dan dilahirkan di Yong Peng, Johor pada tahun 1963. Beliau mendapat pendidikan rendah di SJKC Yong Peng 1 dan pendidikan menengah di SMK Yong Peng, SM Teknik Johor Bahru serta Sekolah Tinggi Kluang. Pada tahun 1984, Koh Yok Hwa melanjutkan pengajian di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya (UM). Beliau menetap di Kepong mulai 1991 dan memulakan kerjaya sebagai penerbit buku menerusi Gemilang Publishing Sdn Bhd. Koh Yok Hwa memperolehi ijazah sarjana pentadbiran perniagaan (MBA) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 2021. Pada 2022, beliau menerima ijazah sarjana pengajian media dari UM. Beliau aktif menyumbangkan rencana untuk Utusan Malaysia. Karya beliau juga termuat dalam antologi Landasan Hidup (2020) dan Lakaran Diri (2022).


K. Pragalath lahir di Perak, membesar di Kedah, dan kini menetap di Kuala Lumpur. Beliau berkecimpung dalam dunia kewartawanan; bermula di Malaysiakini sebagai wartawan bahasa Inggeris dan pernah berkhidmat di beberapa laman berita lain. Kini, Pragalath di Harapan Daily sebagai penyunting berita Bahasa Malaysia. Dalam bidang kesusasteraan, beliau berjinak dengan penulisan cerpen dan sudah menghasilkan beberapa cerpen. “Dana dan Darah” diterbitkan di Eksentrika. Pragalath turut berkecimpung dalam bidang penterjemahan. Karya terjemahan pertama ialah “An Epic Ride” yang diterbitkan dalam kumpulan cerpen The Painted Cat (2023).

 

Chia Chen Eng dilahirkan di Muar, Johor. Beliau menamatkan pengajian Sarjana Muda Bahasa Asing (Kepujian) Bahasa Cina di Universiti Putra Malaysia (UPM), Sarjana Linguistik di Universiti Malaya (UM), dan Doktor Falsafah di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR). Chia Chen Eng meraih hadiah utama dalam Pertandingan Hua Zong (kategori prosa), tempat kedua dalam Pertandingan Prosa Bahasa Cina Antarabangsa Singapura, serta Anugerah Khas Pilihan Cerpen Pendek dari Taiwan United Daily News. Puisi kanak-kanak beliau terpilih untuk dimuatkan dalam antologi Membawa Banyak Beg ke Pantai: Kumpulan Puisi Kanak-Kanak Malaysia (2022) sementara cerpen mikro dimuatkan dalam antologi Pilihan Cerpen Mikro Malaysia Kontemporari (2010).

 

Hoo Ching Dew berketurunan Hockchew dan lahir di Sitiawan, Perak. Graduan Sarjana Muda Sains, Komputer dan Pendidikan serta Sarjana Sains Matematik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ini bertugas sebagai Naib Presiden Rantau Asia Pasifik di sebuah syarikat Amerika Syarikat. Beliau juga Naib Presiden Persatuan Penulis-penulis Aliran China Malaysia. Sebagai seorang penyair bebas, Hoo Ching Dew menerbit dua buku sajak dalam Bahasa Cina bertajuk A City Deploys Systematic Traps To Carry Out Cruel Betrayals dan Map of Flying Cities. Karya-karya beliau turut diterbitkan di China, Taiwan, Hong Kong, Eropah dan negara-negara ASEAN. Hoo Ching Dew menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Anugerah Sastera Bahasa Cina Kolej (kategori sajak), Anugerah Cun Cao Xin (kategori sajak) oleh Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, serta Anugerah Penerbitan Buku (kategori sajak) oleh Persatuan Hokkien Kuala Lumpur dan Selangor.

 

Uthaya Sankar SB lahir dan membesar di Taiping, Perak sebelum berpindah ke Klang, Selangor dan kini menetap di Shah Alam. Beliau terlibat dalam bidang penulisan karya Bahasa Malaysia sejak tahun 1991. Uthaya sudah menghasilkan lebih daripada 25 buah buku kanak-kanak, remaja, dan dewasa berkaitan topik bahasa, sastera, budaya, politik, sejarah, dan agama. Beliau turut aktif mengendalikan program bahasa dan sastera serta kempen galakan membaca di seluruh negara sejak tahun 1994. Sumbangan Uthaya kepada perkembangan Sastera Kebangsaan menerima pengiktirafan menerusi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (1996/97, 1998/99), Anugerah Duta Keamanan (2008), dan Anugerah Saraswati Samman (2023). Beliau pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan).

 

Rujuk juga [Biodata Sasterawan Kavyan] dan [Dokumentasi Biodata Penulis Malaysia]. Lebih banyak biodata dan maklumat penulis kaum India dalam buku Kavya Sastra (2021).