“Pasti sahaja kehilangannya amat mengejutkan. Othman adalah satu-satunya pendorong angkatan muda yang terus-menerus merangsang.”
SN Datuk (Dr) A. Samad Said
Penasihat Agung Kavyan
23 Oktober 2003
“Dr. Othman Puteh merupakan perangsang saya sekian lama. Melihat beliau beraksi di pentas sastera, sering menyakinkan saya bahawa sastera sangat penting, cerita manusia bukan hal remeh temeh. Kita terpaksa menelan hakikat pemergian beliau; dan kehilangan beliau mewujudkan suatu lopong yang sukar terisi.”
Saroja Theavy Balakrishnan
Anak murid Allahyarham
"Sumbangan Dr. Othman dalam mengasah bakat-bakat baru serta sumbangan beliau sebagai cerpenis tidak dapat dipertikaikan."
Uthaya Sankar SB, "Membudayakan Baca Cerpen", Utusan Malaysia, 17 Ogos 2003
Othman Puteh Meninggal Dunia Diserang Sakit Jantung
Kota Kinabalu, 19 Oktober 2003 – Penulis tanah air, Dr Othman Puteh, 59, meninggal dunia di unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth di sini, hari ini.
Seorang kenalan Allahyarham yang juga aktivis sastera Sabah, Ismail Bungsu berkata, Allahyarham dikejarkan ke hospital itu pada pukul 2:30 petang selepas didapati pengsan di hotel penginapannya.
Allahyarham meninggal dunia kira-kira pukul 3:10 petang kerana dipercayai mengalami masalah jantung dan penyakit kencing manis.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Timah Baba (55), dan lima orang anak iaitu Hizairi (33), Haizulsham (31), Mohd Hafiz (28) Sadhila (26) dan Marini (24).
Katanya, malam tadi, Allahyarham menghadiri acara baca puisi dan bicara buku Selamat Tinggal Sabah karya Raymond Majmumah di rumah Sasterawan Sabah, Datuk Ismail Abas di Kampung Ketiau, Putatan di sini.
Beliau berkata, Allahyarham yang juga Bendahari Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) pernah memenangi Anugerah Penulis SEA daripada kerajaan Thailand pada tahun 1998.
Utusan Malaysia, 20 Oktober 2003
Perginya Guru Penulis Muda
PENGARANG kreatif tanah air, Dr Othman Puteh, 59, pulang ke Rahmatullah Ahad lalu (19 Oktober 2003) di Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu, Sabah, selepas diserang sakit jantung.
Beliau yang juga bekas Pensyarah Jabatan Persuratan Melayu (JPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dikejarkan ke hospital itu pada 2.30 petang selepas didapati pengsan di hotel penginapannya dan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 3.10 petang.
Allahyarham Dr Othman yang juga mempunyai kencing manis meninggalkan seorang balu, Timah Baba, 55 dan lima orang anak, Hizairi, 33, Haizulsham, 31, Mohd Hafiz 28, Sadhila, 26 serta Marini, 24.
Beliau yang banyak memberi sumbangan dalam dunia sastera tanah air khususnya dalam bidang penulisan cerpen kanak-kanak dan remaja sedang menghadiri program baca puisi dan bicara buku Selamat Tinggal Sabah karya Raymond Majmunah di Kota Kinabalu.
Allahyarham Dr Othman antara tokoh yang banyak terbabit dalam mengendalikan bengkel Minggu Penulis Remaja (MPR) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sejak beliau masih lagi berkhidmat di UKM.
Antara peserta bengkel MPR di bawah asuhan Allahyarham Dr Othman yang berjaya mencipta nama dalam dunia sastera tanah air ialah Uthaya Sankar SB yang terus mencatat kecemerlangan dalam berkarya sehingga kini.
Novel sulung Allahyarham, Rahsia Hutan Dara (1974) dan sehingga kini sudah menghasilkan 30 novel kanak-kanak dan remaja di samping mempunyai antalogi cerpen termasuk Matra, Tasik dan Laut.
Allahyarham Dr Othman juga sering dipilih sebagai panel penilai sayembara anjuran pelbagai institusi termasuk peraduan menulis Novel Sejarah (1980) dan Novel Fiksyen Sains (1981).
Berita Harian, 21 Oktober 2003
Sesungguhnya sebagai peminat seni sastera tanah air, siapapun juga dari kalangan Sasterawan kita yang pergi meninggalkan kita untuk selamanya, amat kita rasai. Maski ramai penulis-penulis muda bakal lahir mengisi persada dunia sastera tapi bak kata papatah 'patah tumbuh hilang berganti' dan dikuatkan lagu Seniman Agung Negara P.Ramlee 'Dimana kanku cari ganti, serupa denganmu'. Semoga mereka damai di SANA.
ReplyDelete