Monday, 15 March 2010

Anak Emak: Mengharapkan Kelainan

Filem Melayu terakhir yang saya tonton adalah Sepet; itu pun atas desakan pelajar kolej yang meminta VCD filem berkenaan ditayangkan di auditorium kolej sebagai salah satu aktiviti Kelab Seni & Sastera.
.

Saya sentiasa mengharapkan “sesuatu” apabila menonton filem dalam bahasa apa sekali pun. Saya sentiasa mengharapkan supaya filem yang ditonton memberi kesan pada intelektual atau sekurang-kurangnya emosi.

.

Begitulah juga apabila saya menerima salinan DVD Anak Emak pada 24 Mac 2009 dan menontonnya sebanyak dua kali, dua hari kemudian.

.

Saya seorang penonton dan peminat filem yang berfikiran kritikal. Setiap frame biasanya mencuri tumpuan saya. Bagi saya, setiap aspek yang dipaparkan – serta teknik kesemuanya itu dipaparkan – perlu ada makna.

.

Realiti tidak perlu “make sense” tetapi fiksyen – termasuk filem – perlu.

.

Dan apa yang saya perkatakan seterusnya adalah pandangan saya secara terbuka dengan niat baik dan ikhlas.

.

Beberapa scene awal ternyata hanya berperanan sebagai “pengenalan”; suatu unsur yang memang perlu ada dalam filem – dan fiksyen – secara konvensional.

.

Namun, memandangkan Anak Emak “berbapakan” u-wei bin hajisaari, maka secara penuh sedar, saya masih mengharapkan sesuatu yang “lain daripada yang lain”.

.

Bahagian awal filem memperkenalkan watak-watak. Anisah (Melissa Saila) dan Saodah (Maszlin Malik) bekerja di kilang Polen (M) Sdn Bhd; Rashid (Sabri Yunus) berkenan pada Anisah; Lia (Wan Nurul Izzah) dan Halim (Dodi Mifzal) – anak-anak Anisah – bersendirian di rumah selepas sekolah; Anisah pulang lewat senja; ibu dan anak-anak makan malam.

.

Kemudian, saya mula berminat apabila Rogayah (Mariani) ditunjukkan – ulang: ditunjukkan – membancuh teh ambil menyanyi lagu “Bila Larut Malam”.

.

Unsur suspen mula saya rasakan bilamana Rogayah (Mariani) merokok dalam keadaan mengantuk di hadapan televisyen. Minda saya mula memikirkan bahawa kebakaran akan berlaku, wanita itu akan terkorban, dan kita sebagai penonton akan diberi peluang untuk mengetahui kisah silamnya.

.

Berlatar belakangkan bunyi “kebakaran” dan kereta bomba, kredit ditunjukkan – tulisan putih dengan latar belakang hitam.

.

Mungkinkah ada sebab khusus mengapa nama-nama dipaparkan dalam tulisan huruf besar – kecuali bagi nama u-wei bin hajisaari?

.

Saya tidak pasti berapa kali Anisah keluar dari kereta, membuka pintu pagar, masuk semula ke dalam kerata dan memandu masuk. Pada setiap kali itu, saya mengharapkan supaya “sesuatu” berlaku. Malangnya tiada apa-apa yang signifikan berlaku.

.

Ternyata saya seorang penonton yang tidak tahu apa-apa mengenai industri filem tetapi meletakkan harapan yang terlalu tinggi pada setiap filem yang ditonton!

.

Ada babak yang menarik perhatian saya semasa Anisah ke rumah kebajikan untuk membawa ibunya pulang. u-wei berjaya menggunakan visual untuk mengantikan “ratusan kaki filem” (walaupun tentu sahaja kamera digital digunakan) apabila kamera dipan dari Rogayah ke beg.

.

Keseluruhan filem juga tidak menggunakan khidmat A.R. Rahman untuk membantu menghasilkan muzik latar. Sebaliknya, natural sound digunakan.

.

Sewaktu Anisah memandu ibunya pulang, kita sudah dapat merasakan jurang komunikasi antara kedua-dua mereka.

.

Saya bukan memberi sinopsis filem tetapi lebih banyak bercakap mengenai perkara-perkara yang menarik perhatian saya dalam filem Anak Emak; apatah lagi selepas menontonnya sebanyak dua kali.

.

Di rumah Anisah, saya tertarik apabila Rogayah bertanyakan arah kiblat. Dialog ringkas “Engkau tu?” membawa seribu makna – khususnya apabila Anisah “diarahkan” oleh pengarah dan penulis skrip supaya segera menukar topik.

.

Sehingga ke hujung filem yang bermain dengan pelbagai emosi, konflik dan masalah, u-wei “tidak membazir masa dan filem” (tanda kutip disengajakan) untuk menunjukkan watak-watak dalam filem ini bersolat.

.

Saya percaya, tindakan itu disengajakan oleh u-wei sebagai suatu kritikan sosial serta mahu menggambarkan realiti seada-adanya.

.

Suatu lagi siri adegan/babak yang saya percaya disengajakan adalah kisah mengenai insurans. Mungkin disengajakan demi unsur mendidik masyarakat.

.

Lia dan Halim ternyata amat gembira dengan kehadiran nenek mereka. Kali terakhir mereka bertemu adalah enam bulan lalu – April – iaitu selepas datuk meninggal dunia.

.

Maknanya, kisah berlaku pada bulan Oktober. Anehnya, guru kepada Halim meminta pelajar membayar wang bagi kamera. Mungkinkah ada projek hujung tahun, selepas peperiksaan akhir tahun? Atau u-wei mahu menunjukkan bahawa sekolah memerah wang ibu bapa sepanjang tahun?

.

Terdahulu, sewaktu Anisah membeli-belah di UO Superstore, sekali lagi saya mengharapkan supaya sesuatu akan berlaku. Malangnya, tiada apa-apa yang signifikan berlaku.

.

Cuma, saya tertarik pada wajah Melissa Saila yang boleh “berbicara” tanpa sepatah kata. Mengingatkan saya pada seorang pelakon India yang memiliki ciri mukhabinaya yang sama.

.

Dalam babak di mana Shadan (Hasnol Rahmat) menelefon untuk mengatakan bahawa dia tidak dapat datang untuk membawa Halim dan Lia keluar, tidak dapat tidak, saya tabik pada kemampuan Melissa Saila bercakap seorang diri dengan penuh emosi.

.

Kehadiran Rogayah di rumah Anisah sebenarnya telah saya harapkan [perhatikan penggunaan kata “harap” yang muncul berulang kali] supaya memberi kesan kepada Lia dan Halim. Sekurang-kurangnya mengeratkan hubungan enenk-cucu.

.

Sebaliknya, apabila Lia bertanya “Kita nak buat apa?” Rogayah menjawab, “Main-main sendiri, melukis, tengok TV dengan nenek”. Dalam satu lagi babak, Lia memberitahu nenek bahawa dia lapar. Rogayah yang sedang sibuk bermain mahjung sekadar menyuruhnya mengambil makanan dari dapur.

.

Suatu lagi kritikal sosial mengenai perubahan yang berlaku dalam masyarakat Melayu?

.

Persoalan mengenai kontinuiti juga saya dapat kesan pada adegan di kilang; di mana Anisah memberitahu Rashid bahawa “hari ini (anak-anak) keluar dengan ayahnya”.

.

Anehnya, hanya pada babak “hari esok” ditunjukkan Lia dan Halim pergi bersama Shadan. Itu pun – cuba perhatikan betul-betul! – Lia tidak masuk ke dalam kenderaan yang dipandu oleh ayahnya.

.

Saya suka menonton adegan Rogayah dan Anisah (ibu dan anak yang sebenar dalam realiti) di meja makan sewaktu bersarapan roti. Kerenggangan hubungan antara mereka berdua yang kelihatan sejak awal menjadi lebih nyata pada babak ini.

.

Sekali lagi, tanpa suara, u-wei menyajikan “cerita” yang lebih daripada apa yang termampu dizahirkan oleh kata-kata/dialog. Lagi pun, bukankan media visual seharusnya memberi ruang berbicara pada visual!

.

Tonton filem pendek “Thaipoosam” (2006) oleh Shanjhey Kumar Perumal yang ditayangkan pada Festival Filem Antarabangsa ke-36 di Rotterdam, Belanda sebagai contoh.

.

Babak kunjungan Rashid ke rumah Anisah juga membuka peluang kepada Melissa Saila untuk membuktikan bakat lakonannya. Saya hampir terlupa bahawa dialog-dialog yang diucapkan itu sebenarnya adalah berdasarkan skrip!

.

Bercakap tentang skrip, antara dialog yang memberi serta meninggalkan kesan adalah “Saya tak nak dengar pendapat mummy tentang bagaimana nak bergaul” (Anisah kepada Rogayah; membuatkan kita tertanya mengenai kisah silam Rogayah), “Susunan semua dah bertukar” (Anisah sambil membuka laci di dapur dengan marah selepas Rogayah memasak steak; menunjukkan Rogayah mula “menyusun” hidup Anisah), “Emak aku lain, bukan macam emak orang lain” (Anisah kepada Saodah di tempat kerja), “Esok datang jemput pun saya terima kasih” (Anisah kepada Rashid selepas keretanya rosak).

.

Adegan lain yang melekat dalam minda saya adalah adegan Rogayah berpura-pura tidur, dan Anisah masuk sambil di tangannya kelihatan kunci rumah – salinan kunci yang telah disediakannya.

.

Bagi saya, adegan ini menunjukkan unsur pertentangan dan konflik dalaman Anisah. Dia tidak mahu rapat dengan ibunya, tidak mahu bercakap mengenai masa lalu ibunya, tidak mahu ibunya mengajarnya apa yang perlu dilakukan (seperti menyusun barangan dapur), tetapi masih sudi memberi “kunci” kepada ibunya untuk masuk ke dalam “hidup”nya.

.

Adegan tanpa dialog yang amat cantik!

.

Kecantikan media visual dalam berbicara diteruskan oleh u-wei dalam adegan imbas kembali secara spontan yang menunjukkan Rogayah pada zaman muda (lakonan Shasha Abdul Hamid, anak kandung Mariani) yang pulang selepas berdangdut. Anisah muda (lakonan Syazana Firas) menunggu kepulangannya; lalu dibawa oleh ibunya masuk tidur.

.

Adegan tanpa dialog yang amat cantik!

.

Kegemaran Rogayah terhadap gaya hidup lama ditunjukkan melalui sesi karaoke. Babak yang saya percaya sengaja dipanjangkan untuk memberi ruang nostalgia kepada golongan otai.

.

Anak yang pulang lewat malam, lalu dimarahi oleh si ibu menjadi terbalik dalam Anak Emak. “Apa salahnya aku jumpa kawan-kawan?” tanya si ibu, bukan si anak remaja seperti yang lazim berlaku!

.

Adegan ini juga membuka peluang untuk kita mengetahui konflik dalaman yang berlaku. Misalnya, seperti kata Anisah, “Mummy tak boleh ikut suka hati mummy. … Dari dulu sampai sekarang, rasanya kerja Ani menunggu sahaja: Mummy bila balik; selamat ke tidak.”

.

Babak kereta Anisah rosak di tepi jalan sedikit mengecewakan harapan saya. Saya mengharapkan Anisah tidak pulang ke rumah kerana dia sudah membenarkan ibunya membawa kawan-kawannya ke rumah untuk berkaraoke.

.

Sudut kamera dari dalam kereta yang dipandu Rashid menghampiri kereta Anisah memberi gambaran kepada kita bahawa Rashid sedang memandu dan kebetulan ternampak kereta Anisah.

.

Permainan kamera @ visual yang beralih daripada suasana dangdut masa kini kepada suasana Rogayah (Shasha) berdangdut (joget) pada zaman mudanya amat smooth dan wajar dipuji.

.

Bagi saya, kemuncak atau klimaks Anak Emak masih sangat bergantung pada dialog; lebih kurang begini:

.

“Jangan nak dedahkan cara dan dunia mummy yang terbawa-bawa sampai ke tua. Jangan bawak dalam rumah ini.”

.

“Dunia aku apa? Dunia aku cari duit nak besarkan engkau. … Salah orang engkau nampak, salah engkau sendiri kau tak nampak. Apa jadi dengan Shadan, bapa budak-budak tu?”

.

“Macam mummy layan ketiga-tiga lelaki?”

.

“Siapa nak kasi duit? Nak sekolahkan kau. … Kau dah malukan aku depan kawan-kawan.”

.

Mummy tak fikir malu saya? Ada emak perempuan joget!”

.

“Aku dah cakap, jangan jadi macam aku: Anisah, pergi sekolah; belajar tinggi-tinggi. … Anak tak mengenang untung!”

.

Betapa baik jika filem tempatan boleh berbicara melalui pelbagai media sebagai tambahan kepada media dialog semata-mata. …

.

Terus sahaja ke babak di hospital; Anisah di sisi katil Rogayah. Saya suka CU tangan Anisah dan Rogayah yang berbicara. Terpulang kepada penonton untuk memasukkan sendiri dialog pada hastabhinaya itu.

.

Bagi penonton yang tidak “mendengar” bunyi mesin yang menandakan Rogayah sudah tidak bernyawa, mungkin tidak memahami apa yang berlaku. Hal ini kerana penonton boleh “melihat” Rogayah masih bernafas!

.

Betapa baik jika bersama-sama bunyi degup jantung itu, kamera bergerak daripada LS kepada MS; dan seterusnya CU reaksi wajah Anisah selepas ibunya sudah tidak bernafas. (Sekurang-kurangnya penonton tidak nampak perut Mariani yang masih turun-naik! Dan saya percaya Melissa Saila mampu melahirkan emosi melalui mukhabinaya.)

.

Sayang seribu kali sayang!

.

Biar saya langkau sahaja babak di kubur dan kenduri. … Adegan beberapa saat yang menunjukkan katil Rogayah yang “kosong” membuka ruang bagi interpretasi yang pelbagai.

.

Cut to babak Rashid dan Anisah di kantin kilang.

.

“Ani tak cerita tentang emak selama ini. Saya jumpa hari tu, saya rasa seronok.”

.

“Apa yang orang nak dengar saya bercerita? Dia emak. Dia emak saya. Benda lain saya tak boleh cerita.”

.

Bukti bahawa ada waktunya, dialog tetap perlu walaupun filem memuatkan pelbagai elemen/media lain di dalamnya.

.

Namun, perlukah dinyatakan: “Halim dan Lia mesti tau, umi tak benci nenek. Umi sayangkan nenek” – seperti dilakukan oleh Anisah pada bahagian akhir? Tidakkah cukup sekadar Anisah, Halim dan Lia menari sambil lagu “Bila Larut Malam” (mewakili “zaman” Rogayah) berkumandang di TV.

.

Visualkan: selepas mereka bertiga menari dan berpeluk di hadapan televisyen sehingga lagu “Bila Larut Malam” tamat dan fadeout kepada end credit, disambung dengan sebuah lagi lagu lama sebagai latar kepada end credit. … Wah!

.

Bukankah sudah saya nyatakan: saya seorang penonton yang terlalu berharap.

.

.

Catatan:

Pandangan ini dikemukakan pada Diskusi Filem Tempatan: Anak Emak di Pawagam Mini P. Ramlee, Finas pada 28 Mac 2009, 3:00 petang. Panel terdiri daripada Hassan Muthalib, Melissa Saila, Zanita Anuar dan Uthaya Sankar SB.
.

Foto-foto yang dirakam semasa aktiviti ini boleh dilihat di Facebook. Sila ambil perhatian bahawa hanya individu yang mendaftar sebagai ahli Facebook (percuma) dan menambah uthayasb@yahoo.com.my sebagai ”rakan” boleh mengakses ke ”album foto” yang disediakan.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!