Baca Cerpen Kathakali
Penganjur Bersama
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan)
Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS)
Tarikh
24 Januari 2010 (Ahad)
Masa
8:30 pagi – 11:30 pagi (Waktu Kavyan)
Tempat
Perpustakaan Raja Tun Uda, Persiaran Bandar Raya, Shah Alam
Latar Belakang
Program Baca Cerpen Kavyan anjuran bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Selangor dan Kavyan pada 29 Ogos-2 September 2003 berjaya mencatat rekod dalam The Malaysia Book of Records berikutan pembacaan 384 cerpen secara berterusan oleh 166 peserta selama 96 jam 32 minit. Baca Cerpen Kavyan menjadi asas bagi memulakan tradisi membaca cerpen dan novel di khalayak anjuran Kavyan dengan kerjasama pelbagai pihak. Kavyan sering bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam menganjurkan acara membaca cerpen di pentas. Masyarakat juga semakin berminat untuk mendengar serta mengambil bahagian dalam acara seumpama ini. Maka tradisi ini wajar diteruskan dan diperhebatkan; khususnya dengan mengangkat karya Bahasa Malaysia yang dihasilkan oleh Sasterawan Kavyan sendiri.
Objektif
1 Memberi penghormatan kepada golongan penulis karya sastera
2 Memupuk minat membaca dan menghayati karya cerpen dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum; membudayakan baca cerpen
3 Meneruskan tradisi baca cerpen yang dimulakan melalui program Baca Cerpen Kavyan; memasyarakatkan sastera
4 Membuka peluang kepada peminat sastera membaca naskhah cerpen Uthaya Sankar SB
5 Memartabatkan Bahasa Malaysia serta memupuk semangat cinta akan Bahasa Malaysia dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum
Jumlah Cerpen
Sebanyak 16 cerpen yang terkandung dalam kumpulan cerpen Kathakali (2009) dijadikan teks bacaan. [Maklumat lanjut DI SINI] Setiap peserta hanya perlu membaca petikan beberapa halaman; sebagaimana ditetapkan oleh pihak penganjur. Teks cerpen akan dipilih dan ditetapkan oleh pihak Kavyan, dan dimaklumkan lebih awal kepada para peserta supaya boleh berlatih dan membuat persediaan.
Tokoh Sasterawan
Uthaya Sankar SB adalah pengasas dan presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang berjaya mencatat nama dalam The Malaysia Book of Records pada 2003 melalui acara Baca Cerpen Kavyan (96 jam 32 minit). Pada tahun 2005, Kavyan menerima Anugerah Budayawan Selangor daripada Kerajaan Negeri Selangor manakala Uthaya Sankar SB menerima anugerah Duta Keamanan daripada Universal Peace Federation pada tahun 2008.
Penyelarasan
Program pembacaan cerpen akan diselaraskan dan dikendalikan oleh wakil Kavyan secara terancang, sistematik dan profesional berdasarkan pengalaman menyelaras dan mengendalikan Baca Cerpen Kavyan (29 Ogos – 2 September 2003); serta siri baca cerpen/novel sebelum ini. Kavyan juga berhak membuat keputusan muktamad berhubung sebarang pertikaian yang mungkin timbul mengenai peserta, penonton, cabutan bertuah dan sebagainya.
Jumlah Peserta/Pembaca (*)
Lima belas (15) individu pelbagai kaum, berumur minimum 15 tahun, yang menawarkan diri secara sukarela. Penyertaan terbuka kepada sesiapa yang berminat dan mampu membaca naskhah cerpen dengan gaya persembahan yang mantap dan sesuai untuk persembahan di khalayak. Pembaca juga akan diminta bercakap (mengulas) mengenai cerpen yang dibaca.
Pendaftaran dan Pemilihan Peserta (*)
Bagi tujuan Baca Cerpen Kathakali, orang ramai yang berminat perlu mendaftar lebih awal kerana jumlah peserta adalah terhad kepada 15 orang sahaja. Pendaftaran peserta diuruskan oleh pihak Kavyan dan PPAS. Pendaftaran dilakukan melalui kaedah ”yang dahulu didahulukan”.
Cenderamata Peserta (*)
Kavyan akan menyediakan sijil penyertaan serta senaskhah kumpulan cerpen Kathakali bagi 15 peserta terbabit. Kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) diminta bagi menyediakan cenderamata bagi peserta dan penonton. Cenderamata ini secara tidak langsung membantu menggalakkan minat membaca dalam kalangan masyarakat; serta mempromosi kempen galakan membaca. Sijil penyertaan hanya bagi individu yang mendaftar nama pada/sebelum 15 Januari 2010.
.(*) Syarat Peserta/Pembaca
”Peserta” dan ”pembaca” merujuk kepada individu yang mendaftar awal untuk mendapatkan teks cerpen; mendaftar di Perpustakaan Raja Tun Uda sebelum pukul 9:00 pagi pada tarikh acara; membaca teks cerpen di pentas mengikut giliran yang ditetapkan; menyertai acara dari mula hingga akhir; dan tidak meninggalkan acara lebih awal.
Penonton (**)
Orang ramai – khususnya peminat sastera, siswa-siswi, pelajar, guru, penulis dan ahli Kavyan – dipelawa menghadiri acara Baca Cerpen Kathakali sebagai penonton. Penonton berumur minimum 15 tahun perlu mendaftar di Perpustakaan Raja Tun Uda sebelum pukul 9:30 pagi pada tarikh acara untuk membolehkan mereka layak menyertai cabutan bertuah.
(**) Cabutan Bertuah
Cabutan bertuah akan diadakan semasa acara berlangsung. Hanya ”peserta” dan ”penonton” berumur minimum 15 tahun yang mendaftar awal layak memenangi hadiah melalui cabutan bertuah ini. ”Peserta” dan ”penonton” mestilah berada di tempat acara sepanjang masa. Sekiranya ”peserta” atau ”penonton” tidak berada di tempat acara semasa namanya diumumkan, kemenangannya terbatal secara automatik. Sebarang rayuan tidak akan dilayan.
Promosi
Promosi dan publisiti bagi acara ini dilakukan oleh Kavyan. PPAS diminta membantu membuat promosi dan publisiti untuk menarik penyertaan orang ramai; khususnya pengunjung perpustakaan.
Rangka Atur Cara (mengikut Waktu Kavyan)
8:30 pagi
Meja pendaftaran peserta dan penonton dibuka
Ketibaan tetamu, wartawan, peserta dan penonton
9:00 pagi
Pendaftaran peserta ditutup (Peserta yang lewat akan digugurkan)
Memperkenalkan tokoh sasterawan – oleh wakil PPAS
Taklimat ringkas kepada peserta – oleh wakil Kavyan
9:30 pagi
Pendaftaran penonton ditutup (untuk cabutan bertuah)
Baca Cerpen Kathakali bermula
..
10:30 pagi
Dialog bersama tokoh sasterawan – moderator PPAS
11:00 pagi
Penyampaian sijil penyertaan – oleh wakil PPAS & Kavyan
Sesi fotografi
* Cabutan bertuah dari 9:30 pagi hingga 11:30 pagi
Nasihat Akhir
Mana-mana individu yang menyertai mana-mana aktiviti Kavyan diingatkan supaya patuh pada masa yang ditetapkan. ”Waktu Kavyan” bermakna ”masa sebagaimana dinyatakan; bukan setengah jam kemudian”. [Maklumat lanjut DI SINI] Orang ramai juga dinasihatkan supaya mengenalpasti lokasi aktiviti sekurang-kurangnya sehari sebelum acara. Sebarang pertanyaan mengenai lokasi dan panduan jalan pada hari acara tidak akan dilayan.
Maklumat Lanjut
Untuk maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi e-mel infokavyan@yahoo.com.my atau telefon 012-3368142 (Uthaya Sankar SB).
Disediakan oleh
Jawatankuasa Kavyan
1 Januari 2010
No comments:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!